23 Februari 2022, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Perkataan yang digunakan dalam peribahasa tidak menggambarkan maknanya secara langsung sebaliknya tersembunyi makna yang tersirat. Terdapat banyak pengajaran dan nasihat yang boleh diambil daripada peribahasa. Peribahasa Melayu yang dipelajari pada hari ini tiada penulis asalnya tetapi boleh digunakan secara meluas. Setiap peribahasa sebenarnya memerlukan pembacanya berfikir secara kritis terhadap makna yang terkandung di sebalik setiap perkataan yang ada di dalamnya. Demikian antara kupasan menarik oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Felo Tamu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam perkongsian ilmu itu, beliau turut mengemukakan beberapa fakta berkaitan dengan peribahasa Melayu. Antaranya termasuklah peribahasa Melayu yang masih dikaji oleh sarjana tempatan dan Barat pada tahun 2009 walaupun kini kurang dihayati dan dianggap sebagai tidak relevan oleh generasi muda negara ini.

Tambah beliau, terselit unsur kebijaksanaan dalam peribahasa Melayu. Walau bagaimanapun, peribahasa Melayu juga kerap diabaikan masyarakat pada zaman ini kerana kebanyakan masyarakat tidak memahami falsafah di sebalik peribahasa.

Terdapat beberapa peringkat bagi mencungkil kebijaksanaan dalam peribahasa Melayu, iaitu bermula dengan teori yang melatarinya, memetakan makna abstrak dengan makna konkrit dan akhir sekali, setiap objek yang dipilih dalam sesebuah peribahasa mempunyai falsafahnya yang tersendiri.

Katanya lagi, proses memahami peribahasa Melayu tidak mudah kerana makna abstrak di sebaliknya sukar difahami oleh masyarakat walaupun makna konkrit bagi setiap objek mudah difahami. Contohnya, mentimun dan durian. Makna konkrit yang berkaitan dengan objek (timun) tersebut lemah kerana mudah pecah manakala durian pula kuat dari segi bau, rasa dan fizikalnya. Bagi makna abstrak pula, lemah melawan kuat yang boleh membawa maksud senang ditindas. Peribahasa juga sebenarnya boleh menjadi multidisiplin dan mempunyai hubungan dengan kehidupan seharian.

Beliau turut menyatakan bahawa peribahasa relevan dalam bidang sastera dan linguistik. Dalam bidang linguistik, peribahasa dikaji daripada makna dan kemudiannya diteliti falsafah di sebaliknya.

Demikianlah perkongsian ilmu yang menarik yang bertajuk “Kearifan dalam Peribahasa Melayu” yang juga menampilkan Dr. Hasrina Baharum, iaitu Timbalan Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, selaku moderator dalam rancangan “Yang Lama Dijunjung – Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS)” yang berlangsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka pada pukul 11.00 pagi tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.