28 Februari 2022, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Pada masa ini, teknologi digital merupakan satu wadah yang amat berkesan untuk memartabatkan bahasa Melayu khususnya kepada generasi muda. Namun begitu, penggunaan kamus juga dilihat berperanan penting dalam menambah perbendaharaan kata seseorang yang boleh menjadi panduan kosa kata kepada semua golongan masyarakat.

Encik Mohd. Rosle Said ketika bersiaran secara langsung.

Menurut Encik Mohd. Rosle Said dalam isu penggunaan kamus, kebanyakan guru yang mengajar bahasa Melayu jarang-jarang menggunakan kamus dalam sesi pengajaran. Hal ini menyebabkan pelajar sukar mencari kosa kata tentang penggunaan bahasa Melayu. Sementelah pula, guru sendiri pun ada yang kurang jelas tentang makna penggunaan kata, ejaan, bentuk kata dan sebagainya. Oleh itu, sekiranya guru tidak memanfaatkan penggunaan kamus dalam sesi pengajarannya, maka itu tindak yang kurang bijak.

Hal ini demikian kerana kamus banyak memberikan maklumat yang tepat yang boleh diperoleh dengan cara yang mudah serta banyak aktiviti juga boleh dilakukan semasa sesi pengajaran dalam kelas.

Guru seharusnya bijak memanfaatkan kamus supaya murid berupaya menguasai kosa kata dengan meluas dan sesi pembelajaran menjadi lebih menarik apabila murid dapat meneroka perkataan melalui pembentukan bahasa yang meluas hanya dengan menggunakan kata.

Kita bukan membaca kamus tetapi dengan cara merujuk dan menyelidik kamus, iaitu kamus dijadikan sebagai bahan bimbingan dan didikan yang akan dapat melahirkan murid yang berjaya menguasai kosa kata dengan mantap dan meluas.

Tambah beliau lagi, masyarakat perlu mengekalkan jati diri bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum menggunakan kata pinjaman untuk mengekalkan keunikan bahasa Melayu.

Di samping itu, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) merupakan enjin pencarian bahasa yang sangat berguna kepada masyarakat kini kerana pelbagai maklumat kebahasaan dapat diperoleh dengan cepat − semuanya berada di hujung jari. Portal ini juga dapat dijadikan sebagai sumber takungan kata, iaitu banyak ilmu dan tunjuk cara yang berkaitan dengan tatabahasa dan pembentukan kata dapat diperoleh secara mudah dan berkesan.

Puan Zack Kirana ketika bersiaran secara langsung.

Pandangan tersebut turut dipersetujui oleh Puan Zack Kirana. Menurut beliau, pemahaman konsep berkenaan dengan kamus sangat penting. Melalui kamus, kita akan dapat mengetahui maksud sesetengah bahasa dari aspek kesalahan ejaan. Iklan-iklan yang dibuat oleh media massa dan papan tanda juga didapati banyak menggunakan ejaan yang salah. Oleh itu, pihak-pihak yang berkenaan disarankan untuk membuat rujukan dan penyemakan ejaan dengan menggunakan kamus.

PRPM dapat melahirkan masyarakat yang peka bahasa dan melalui portal ini juga diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang cinta akan bahasa Melayu dan seterusnya melahirkan masyarakat yang berteraskan bahasa jiwa bangsa.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada Encik Mohd. Rosle Said (Munsyi Dewan) dan Puan Zack Kirana (Guru Bahasa Melayu) selaku ahli panel, manakala Puan Siti Norsuhaila Shamsudin (Perancang Bahasa) pula bertindak selaku moderator menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.30 petang tadi menerusi Rancangan “Sembang Tamu: Kuasai Kosa Kata, Terampil Berbahasa”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.