1 Mac 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mutakhir ini kita seringkali kita mendengar ungkapan seperti “Hai  guys, apa khabar, u all sihat tak?,” “Akum, bley x awak say something about topik tadi,” “tu dia anak depa speaking, berhabuk terus”, “peduli haper sayer,” tak gitew,” dan “gilerr lah”. Inilah  antara frasa yang popular dan meniti di bibir sebahagian masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan bahasa rancu ini diraikan oleh segelintir masyarakat bagi menggambarkan nilai komersial dan gaya sofistikated penuturnya selain menunjukkan ketinggian status sosialnya.

Senario ini dianggap normal semasa berinteraksi antara dua atau lebih individu berbanding dengan menggunakan bahasa Melayu standard yang terikat dengan hukum bahasa. Tanpa disedari, kelaziman penggunaan bahasa rancu dalam pertuturan seharian akan turut memberikan kesan pada stail penulisan yang kurang bermutu kerana golongan ini lebih mementingkan bahasa yang santai dan mempunyai daya tarikan berbanding dengan fokus pada mutu bahasa.

Kerancuan bahasa bukanlah suatu topik yang baharu untuk dibincangkan kerana sebelum ini sudah banyak sarjana yang berdiskusi tentang isu ini sama ada dalam penulisan ilmiah, penulisan popular dan juga pembentangan di majlis penting bahasa Melayu. Penulisan secara repetisi ini bukanlah untuk mencari kesalahan semata-mata dan menjatuhkan hukuman kepada penggemar bahasa rancu tetapi adalah untuk memastikan bahasa Melayu digunakan dengan betul serta kekerapan perbincangan tersebut adalah untuk mengingatkan masyarakat agar kembali kepada praktikal standard bahasa yang telah ditetapkan. Perkembangan bahasa rancu yang pesat dibimbangi akan melahirkan generasi yang tidak celik bahasa dan hilang jati diri bangsa.

Kerancuan bahasa dapat dikaitkan dengan percampuran kod atau yang juga disebut oleh Hishamudin Isam dan rakannya pada tahun 2018 sebagai ketidaktenteraman suasana linguistik standard kerana menyalahi hukum bahasa yang bukan sahaja dapat dikesan melalui komunikasi lisan tetapi juga pada pengiklanan dan papan tanda perniagaan yang tujuannya adalah untuk menyampaikan maklumat dengan jelas dan menarik kuasa beli pengguna.

Ungkapan pengiklanan seperti “Anda ingin miliki kulit flawless?”, tulisan pada papan tanda premis perniagaan seperti Dobi Family adalah antara bahasa rancu yang dikenal pasti digunakan oleh pemilik perniagaan sebagai tanda nama dan maklumat perniagaan. Selain itu, penggunaan loghat setempat juga dikesan digunakan pada papan tanda perniagaan. Masitah Muhammadin dan rakan pada tahun 2018 telah melakukan kajian tentang penggunaan papan tanda premis perniagaan di Terengganu, yang menemui penggunaan loghat Terengganu seperti Restoran Makang Sekak-sekak Nok bagi menarik pelanggan.

Dalam menangani isu ini, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengorak langkah drastik dan penuh dinamis telah membangunkan laman web DBP Sah Bahasa yang dapat dilayari di https://dbpsahbahasa.my. Dengan slogan “Gunakan Bahasa dengan Betul”, DBP menyediakan khidmat semakan dan pengesahan bahasa Melayu untuk pengiklanan sama ada bagi cetakan ataupun elektronik, papan tanda perniagaan untuk permohonan lesen kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan, penamaan nama bangunan, tempat awam dan jalan serta dokumen rasmi dan umum. Selain itu, untuk keselesaan ramai, DBP juga telah membuka kaunter khidmat kepada masyarakat yang mula beroperasi pada 27 Disember 2021. Tujuan dua saluran ini adalah berpusat, iaitu untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Ketidaktekalan dari segi frasa, kosa kata, ejaan dan istilah ini juga berlaku dalam aplikasi teknologi yang berperanan sebagai pemudah cara dalam mengeratkan hubungan tanpa sempadan. Dalam komunikasi tulisan di WhatsApp, Facebook, Twitter, dan Telegram, kelihatan pengguna begitu selesa dan sewenang-wenangnya menggunakan bahasa rancu tanpa kawalan.

Medium ini telah memberikan ruang pada pengembangan variasi bahasa dan dapat diumpamakan sebagai gedung pengumpulan kerancuan bahasa. Antara contoh kerancuan bahasa dalam medium teknologi ini termasuklah seperti “Salam. Ada yg boleh sharekan nombor ticer taska taman ABC?,” dan “Aku salute gaya berani mati lu.” Fuzirah Hashim dan rakan pada tahun 2017 juga memberikan contoh kerancuan bahasa dalam medium teknologi ini seperti “Spe x isi x dpt sijil… tulis name korg at the end of your opinion”.

Untuk makluman, DBP telah mengusahakanl pelbagai rancangan pemantapan bahasa Melayu seperti memperbanyak istilah, melakukan pembaharuan ejaan dan pemantapan perkamusan Melayu sehingga terbitnya Kamus Dewan Perdana pada tahun 2020 bagi memastikan bahasa Melayu sentiasa relevan dan seiring dengan arus globalisasi serta berkeupayaan menjadi rujukan utama pelbagai bidang.

Khidmat Sah Bahasa merupakan antara perkhidmatan bahasa yang disediakan oleh DBP.

Hal ini merupakan antara penyelesaian dalam menangani isu kerancuan bahasa yang dapat menjejaskan pembinaan negara bangsa. Selain itu, badan berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga perlu mengambil pendekatan tegas bagi memastikan kerancuan bahasa tidak berlaku di media sosial dan juga dalam industri kreatif terutamanya yang melibatkan skrip lakonan filem dan drama televisyen. Walaupun situasi ini nampak mustahil tetapi jika diusahakan dengan serius akan beroleh kejayaan.

Fenomena kerancuan bahasa juga berlaku kerana keupayaan berbahasa oleh masyarakat majmuk di Malaysia semakin berkembang. Kehadiran gelombang migrasi ke Malaysia adalah antara faktor penyebab berlakunya pertembungan bahasa, adat dan budaya dengan masyarakat tempatan. Suatu perkara yang perlu diakui kebenarannya ialah pertembungan tersebut memberikan kebaikan kepada masyarakat dengan menguasai multibahasa yang mampu meluaskan jaringan sosial, memudahkan perbincangan politik dan melancarkan urusan perdagangan antarabangsa.

Bahasa Melayu yang bersifat dinamik tidak menolak penggunaan bahasa asing malahan menerima dan menyerap masuk bahasa tersebut sebagai kata pinjaman untuk memperkaya perbendaharaan kata. Namun begitu, di sebalik penerimaan tersebut, janganlah pula kita bertindak serampangan dengan melakukan kerosakan pada struktur, gaya dan tatabahasa bahasa Melayu yang telah mantap. Masyarakat perlu peka bahawa bahasa asing hanyalah bahasa tambahan dan tidak bertindak mengesampingkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan utama.

Sekiranya isu ini tidak dibendung dengan cekap dan telus akan mampu menenggelamkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Apabila penguasaan terhadap bahasa Melayu standard semakin lemah, maka semakin longgarlah semangat jati diri masyarakat Malaysia. Perkara ini bukanlah suatu perkara yang remeh dan hanya menganggap pejuang nasionalisme bahasa sahaja yang bertanggungjawab memperjuangkannya atau sekadar berpendapat bahawa isu ini adalah masalah linguistik yang boleh diatasi dalam perbincangan meja bulat pakar bidang sahaja.

Seharusnya masyarakat perlu mencermati isu ini bersama-sama dan berjiwa besar dalam mempertahankan bahasa Melayu standard serta tidak mengagungkan bahasa yang rancu. Adakah kita ingin melihat negara ini mempunyai bahasa yang cacamarba dan tidak memiliki identiti bahasa sendiri? Atau bersediakah kita menghadapi generasi yang keliru mengenal bahasanya sendiri? Tepuk dada tanyalah selera.

Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang telah dicipta sejak tahun 1952 dengan menekankan bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa dan menjadi identiti kebangsaan selain digunakan sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami dan bahasa ilmu sesuatu bangsa boleh terhalang dengan adanya pengaruh kerancuan bahasa dalam masyarakat. Slogan yang sudah sebati di halwa telinga dan begitu erat dengan DBP, janganlah dibiarkan berkumandang hanya di majlis tertentu seperti sambutan bulan bahasa atau Dekad Bahasa Kebangsaan sahaja. Slogan ini perlu diimplementasikan sepanjang masa.

Lanjutan daripada itu, dapatlah dinyatakan bahawa kerancuan bahasa bukanlah alat yang dapat memupuk perpaduan masyarakat, bukan juga menjadi simbol penilaian bagi ketinggian intelektual individu serta tidak dapat menggambarkan keaslian pemilik bahasanya. Oleh itu, pelbagai pihak perlu bersama-sama menangani masalah ini dengan menekankan penyampaian bahasa Melayu dengan betul dari peringkat sekolah, waima di universiti dan di rumah sekalipun demi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 yang menekankan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tercapai. Justeru pilihan golongan sofistikated untuk terus mengekalkan penggunaan kerancuan bahasa dalam pertuturan seharian perlulah dikekang dengan menyokong teguh dan berdiri di belakang DBP dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Marilah kita bersama-sama berganding bahu memelihara bahasa rasmi kebangsaan seperti yang tercatat dalam  perkara 152  perlembagaan  Malaysia.

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.