3 Mac 2022, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Penggunaan bahasa yang tidak tepat akan memberikan gambaran tidak betul kepada pelajar bahawa bahasa itu tidak sebegitu penting. Oleh itu, perlu ada satu panduan tentang ketepatan berbahasa bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelajar ketika mempelajari dan menguasai tatabahasa yang menggunakan bahasa Melayu mengikut standard bahasa yang betul dan tepat.

Encik Muhammad Norrudin Abdul Aziz ketika mengupas buku tulisannya bersama-sama Encik Mat Ariffin Ismail, yang berjudul Kuasai Tatabahasa Mengikut Standard Pembelajaran terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mengatakan bahawa buku ini mengandungi pelbagai latihan bahasa Melayu dalam pelbagai aras dan membincangkan aspek bahasa dalam kurikulum sekolah rendah termasuklah golongan kata dalam bahasa Melayu.

Setiap golongan kata terbahagi pada beberapa jenis dan setiap jenis pula terbahagi pada subkata seperti kata nama yang terdiri daripada kata tugas; kata nama seperti kata nama am dan kata nama khas; kata kerja seperti kata kerja aktif dan kata kerja pasif; dan kata adjektif atau kata sifat.

Encik Muhammad Norrudin Abdul Aziz ketika bersiaran secara langsung.

Menurutnya lagi, penjodoh bilangan pula berfungsi sebagai pembantu kata bilangan dan pemadan kata nama. Pelajar biasanya mengalami kekeliruan dalam penggunaannya disebabkan oleh kekeliruan pada konteks kata nama.

Bentuk kata pula merupakan rupa bagi sesuatu kata dan terbahagi pada empat golongan, iaitu kata tunggal, kata ganda, kata majmuk dan kata imbuhan.

Tambahnya lagi, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar ialah pengguguran imbuhan dan penggunaan imbuhan yang tidak tepat. Selain itu, pelajar juga sering kali menjadi keliru dalam penulisan kata ganda dan kata majmuk. Kesalahan dan kekeliruan dalam kalangan pelajar ini kerap berlaku dari dahulu lagi. Antara faktornya termasuklah masyarakat majmuk yang menggunakan pelbagai bahasa untuk berkomunikasi seperti penggunaan bahasa ibunda mengikut kaum dan juga dialek.

Contohnya, bagi penutur yang terdiri daripada kaum Cina, mereka sudah sebati dengan bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Mandarin. Oleh itu, apabila mereka ingin bercakap menggunakan bahasa Melayu, pemerolehan struktur bahasa itu menjadi berbeza. Hal ini demikian kerana kebanyakan penutur ini sudah biasa menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa harian mereka untuk berkomunikasi dan sudah menjadi sebati dalam diri mereka.

Faktor kedua pula ialah pengaruh bahasa asing yang menyebabkan berlakunya kecelaruan struktur bahasa, iaitu tidak mengikut struktur bahasa Melayu yang betul.

Selain itu juga berlaku ketidakpekaan masyarakat mengenai peraturan bahasa dalam pelbagai sumber seperti media cetak, media massa dan sebagainya.

Oleh itu, semua pihak perlu menguasai bahasa dengan menguasai tatabahasa. Pengguna bahasa juga perlu menanam sikap mencintai bahasa Melayu dan perlu sentiasa mengangkat martabat bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu diterapkan dalam diri masyarakat untuk mengeratkan perpaduan pelbagai kaum dalam masyarakat negara ini.

Menurut beliau lagi, antara kelebihan buku ini termasuklah mengandungi banyak gambar sebagai rangsangan khususnya kepada murid Tahun 1 dan Tahun 2 yang lemah dalam tatabahasa. Buku ini juga dihasilkan untuk memudahkan para pelajar memahami tatabahasa mengikut standard pembelajaran terkini.

Demikianlah penerangan menarik daripada Encik Muhammad Norrudin Abdul Aziz (Guru Bahasa Melayu) menerusi Rancangan “Bicara Karyawan: Kuasai Tatabahasa Mengikut Standard Pembelajaran” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 10.00 pagi tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!