5 Mac 2022, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dialog dan monolog dalam penulisan kreatif bukan hanya sekadar untuk menyampaikan maklumat, bahkan untuk menghidupkan watak, mencetuskan konflik dan menimbulkan jangkaan tertentu kepada khalayak pembaca. Menerusi program Secangkir Kopi Jam 10 yang bersiaran pada hari ini, perbincangan berkaitan dengan isu ini dikupas dengan menggunakan cerpen “Bradford, Aku Datang!”, hasil karya Puan Azian Mohamed Isa yang telah tersiar dalam majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terbitan Mac 2022 sebagai rujukan.

Puan Rozninah Abd. Azib, Puan Azian Mohamed Isa dan Puan Nisah Haron ketika bersiaran secara langsung.

Dalam program yang bersiaran langsung selama lebih kurang dua jam tersebut, mantan editor Dewan Sastera, Puan Rozninah Abd. Azib dan Puan Azian telah bertindak sebagai panel bagi membincangkan penggunaan dialog dan monolog yang berkesan agar para pembaca mampu menyimpan emosi penulis menerusi watak-watak dalam penulisan kreatif. Dalam pada itu, penulis tersohor tanah air, Puan Nisah Haron pula bertindak selaku moderator program.

Dalam program itu, Puan Azian berkongsi tentang proses awal penulisan cerpennya bersama-sama khalayak. Menurutnya, banyak usaha diperuntukkannya untuk menghasilkan cerpen “Bradford, Aku Datang!” yang bertemakan kebahasaan, iaitu bahasa baku. Beliau turut menonjolkan dialek Perak dalam cerpen tersebut yang menjadikan cerpen tersebut semakin menarik.

Penulis akan melalui dua proses sebelum menghasilkan sesuatu karya, iaitu proses luaran (melalui bengkel dan bacaan) dan proses dalaman (memecahkan tembok persepsi negatif yang ada dalam diri masing-masing).

Tambah beliau, sinopsis cerpen “Bradford, Aku Datang!” juga melalui beberapa proses penambahan idea bagi menghasilkan karya yang cantik pada akhirnya. Oleh itu, setiap penulis pemula perlu ada sinopsis yang lengkap dari awal hingga akhir untuk menggambarkan bayangan babak dan secara tidak langsung akan membantu penceritaan berkembang secara semula jadi semasa proses menulis. Watak utama cerpennya itu pula diinspirasikan daripada Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017, iaitu Prof. Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.

Komunikasi watak atau kata bual dalam penulisan kreatif berlaku dalam pelbagai cara seperti dialog, monolog, bahasa tubuh dan sebagainya. Dalam hal ini, menurut Puan Rozninah, dialog ialah kata yang mengeluarkan suara dan mempunyai nada manakala monolog pula ialah kata-kata yang tidak mengeluarkan suara dan hanya ada di hati serta di fikiran watak sahaja.

Bahasa tubuh pula terdiri daripada mimik muka, pergerakan anggota badan dan pelbagai lagi. Yang terakhir ialah watak bukan manusia, halusinasi atau luar watak, iaitu dialog daripada watak ghaib, bisikan atau suara yang didengari dalam kes “schizophrenia”, yang ditulis dalam bentuk italik.

Dialog yang ditulis dalam bahasa asing dan dialek perlu diitalikkan oleh penulis dalam penulisan kreatif masing-masing. Contohnya, “Laju benor cikgu jalan tak terdaya teman kejor!”

Terdapat perbezaan penggunaan simbol dalam kata bual bagi penulisan dialog dan monolog. Contohnya, “Mohan, apa khabar? Tak sangka engkau pun ada di sini,” kata Meor Azman sambil menghulurkan tangannya kepada Mohan. Contoh bagi penulisan monolog pula ialah ‘Ah, Siti Suraya. Aku banyak terhutang budi kepada engkau. Dan engkau menghilangkan diri sebelum sempat aku mengucapkan terima kasih!’ jerit hati Meor Azman.

Dialog dalam penulisan kreatif perlu juga perlu disesuaikan agar tidak menjadi penulisan khutbah dan penulis perlu memastikan dialog yang perlu sahaja ditulis dalam penulisannya agar dialog tidak menjadi lewah. Para pembaca boleh membaca cerpen “Bradford, Aku Datang!” secara dalam talian melalui https://jendeladbp.my/ujana/.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.