Oleh Kho Thong Eng
7 Mac 2022, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu aspek penguasaan kosa kata sesuatu bahasa ialah keupayaan seseorang untuk menentukan maksud sesuatu kata secara tepat. Selain itu, seseorang itu juga harus berupaya untuk membezakan pengertian dan penggunaan sesuatu kata yang maksudnya hampir sama dengan sejumlah kata yang lain.

Ada tiga patah perkataan dalam bahasa Melayu yang maksudnya hampir sama, iaitu kata dekat, hampir dan rapat. Sekali imbas, ketiga-tiga kata tersebut seolah-olah merupakan sinonim tetapi apabila meneliti dan mendalami maksudnya, kita akan mendapati bahawa maksud dan penggunaan kata tersebut menampilkan kelainan, selain menyajikan persamaan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Tempat itu dekat/hampir dengan rumah saya.

1b.  Dia duduk dekat/hampir dengan ibunya.

1c.  Dia duduk rapat dengan ibunya.

Dalam ayat 1a dan 1b, kata dekat dan hampir merupakan sinonim yang dapat digunakan secara bertukar ganti dalam ayat. Maksudnya ialah “tidak jauh”. Dalam ayat 1c pula, kata rapat membawa maksud “sangat dekat” atau “sangat hampir” dengan seseorang.

2a.  Hampir/dekat dua jam dia duduk di taman.

2b.  Hampir/dekat 200 orang hadir.

2c.  Barang itu hampir/dekat 10 kilogram.

Dalam kelompok ayat 2 di atas, kata dekat dan hampir mendukung maksud “kurang sedikit daripada” masa, jumlah, bilangan atau berat tertentu.

3a.  Perkahwinannya sudah dekat.

3b.  Perkahwinannya hampir tiba.

Dalam kelompok ayat 3 di atas, kata dekat dan hampir merupakan sinonim yang membawa maksud “tidak lama lagi”. Walaupun demikian, penggunaan kata-kata tersebut menampilkan kelainan. Dalam ayat 3a, kata dekat merupakan kata adjektif yang menghuraikan kata nama perkahwinannya. Dalam ayat 3b pula, kata hampir ialah kata adverba yang menghuraikan kata kerja tiba.

4a.  Hubungan antara mereka rapat/dekat.

4b.  Dia saudara dekat/rapat saya.

Dalam kelompok ayat 4, kata rapat dan dekat merupakan sinonim yang mendukung makna “erat (hubungan)”.

  1. Dia hampir terjatuh.

Dalam ayat 5 di atas, kata hampir ialah adverba yang membawa maksud “nyaris-nyaris”.

Kata dekat juga digunakan dalam bahasa percakapan atau bahasa basahan untuk mendukung maksud seperti kata sendi nama di. Sila lihat contoh yang berikut:

Bahasa percakapan

6a.  Rumahnya dekat sana.

6b.  Dia tinggal dekat sana.

 

Bahasa baku/persuratan

6a.  Rumahnya di sana.

6b.  Dia tinggal di sana.

 

Kata rapat dapat membawa maksud “susunan atau kedudukan yang tidak renggang”.  Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Anyamannya rapat.

7b.  Tanamannya rapat.

Kata rapat juga dapat digunakan seperti yang berikut:

8a.  Tin itu ditutup rapat.

8b.  Dipeluknya anaknya dengan rapatnya.

  1. Kawasan itu rapat dengan orang.

Dalam kelompok ayat 8 di atas, kata rapat menghuraikan kata kerja ditutup dan dipeluk. Maksudnya ialah “tidak bercelah” atau “tidak mempunyai ruang”. Dalam ayat 9 pula, kata rapat membawa pengertian “penuh sesak”.

Satu hal yang menarik ialah kata rapat juga merupakan kata nama yang mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Rapat itu sudah tamat.

11. Rapat ialah tumbuhan yang berguna.

Dalam ayat 10, kata rapat ialah kata nama yang sama erti dengan kata kerapatan, iaitu “majlis”, “perhimpunan” atau “perkumpulan”. Dalam ayat 11 pula, kata rapat ialah kata nama yang mendukung makna “sejenis tumbuhan”.

Kata dekat, hampir dan rapat boleh ditambah imbuhan untuk mendukung pelbagai makna. Sila lihat contoh yang berikut:

Ada perkaitan makna

12a.  Mereka berdekat/berapat/merapat untuk berbual.

12b.  Dia ke kedai yang berdekatan/berhampiran.

12c.  Itulah sekolah yang terdekat/terhampir.

12d.  Bukit itu ialah dekatan/hampiran yang paling tinggi.

12e.  Kereta itu semakin mendekat/merapat.

12f.   Dia mendekati/menghampiri/merapati rumah itu.

12g.  Dia mendekatkan/menghampirkan/merapatkan perahu ke pangkalan.

12h.  Dia memperdekat/memperapat keretanya.

12i.   Kedekatan/kehampiran sastera dengan realiti sering dibincangkan orang.

 

Tiada perkaitan makna

13a.   Dia menggunakan pendekatan yang kreatif untuk menyelesaikan

masalah.

13b.  Proses penghampiran tempat jenayah penting untuk mencari bukti.

13c.  Perapatan perahu itu berlubang.

13d.  Kerapatan itu sudah selesai.

13e.  Mereka berapat dua bulan sekali.

13f.   Mereka merapatkan isu hangat itu.

 

Kata dekat, hampir dan rapat boleh juga digandakan untuk mendukung pelbagai makna. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Mereka duduk dekat-dekat/rapat-rapat.

14b.  Dia hampir-hampir terjatuh.

14c.  Tutup pintu itu rapat-rapat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!