8 Mac 2022, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dongeng tentang hinanya bahasa Melayu yang dikatakan tidak mempunyai apa-apa ilmu dan hanya berdiri dengan empat perkataan, iaitu tanah, besi, padi dan babi, memuncakkan iltizam tokoh bidang etnosains negara, iaitu Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain (Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia), dengan membuktikan bahawa dakwaan tersebut sebagai usaha untuk merendahkan pencapaian bahasa Melayu.

Menurut beliau, dongengan yang sengaja dicipta oleh pihak tertentu untuk memperkecil peranan bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban Melayu termasuklah dakwaan bahawa bahasa Melayu tidak memiliki sebarang ilmu. Bahasa Melayu didakwa hanya mempunyai tulisan yang merakamkan ilmu yang dimiliki oleh bangsa lain dan tidak memiliki ilmu yang boleh dibanggakan.

Tambahnya lagi, golongan tersebut turut mendakwa bahawa bahasa Melayu semata-mata berdiri tegak dengan bahasa pinjaman bangsa asing tidak pernah wujud bahasa Melayu yang asli. Bahasa Melayu juga dikatakan miskin dan hanya memiliki ilmu yang diasaskan oleh orang lain.

Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain ketika bersiaran secara langsung.

Beliau berkata, golongan ini percaya bahawa bahasa Melayu sebelum kedatangan Islam tidak mempunyai kandungan ilmu serta tidak stabil kerana tiada tulisannya yang khusus melainkan setelah kedatangan Islam yang mewujudkan tulisan Jawi yang kemudiannya berkembang dengan pesat.

Sehubungan dengan itu, beliau dan rakan-rakannya mengusahakan satu penyelidikan untuk menyangkal dakwaaan tersebut dan membuktikan bahawa bahasa Melayu berperanan penting dalam mempertingkatkan peradaban Melayu secara keseluruhannya sejak era Hindu, Buddha dan akhirnya Islam bertapak hingga kini. Kajian dan penyelidikan tersebut membuktikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang mengandungi bidang ilmu tertentu yang telah berkembang pesat hingga ke Timur Jauh.

Tulisan pallava dan rencung merupakan dua jenis tulisan awal yang telah membina peradaban bahasa Melayu yang telah dibuktikan melalui 500 batu-batu bersurat atau batu bertulis yang juga dikenali sebagai prasasti yang telah ditemui di Asia Tenggara khususnya di Sumatera, Tanah Melayu, Jawa, Bugis dan yang paling banyak di wilayah Indo-China dalam bahasa Melayu Champa. Tulisan Jawi pada batu bersurat telah digunakan sejak awal kurun 1300 Masihi. Kemudian, evolusi tulisan dan bahasa Melayu berkembang pesat melalui manuskrip, iaitu yang terdapat pada kertas, kulit kayu tar atau daun lontar. Pada abad ke-16, terdapat banyak manuskrip yang telah dihasilkan dan di dalamnya mengandungi pelbagai disiplin ilmu. Sejumlah 20 ribu manuskrip bahasa Melayu bertulisan Jawi ini telah tersebar di serata dunia kerana ilmu yang terdapat di dalamnya.

Menurut beliau, ilmu yang cukup terkenal yang telah disumbangkan oleh peradaban bahasa Melayu ini antaranya termasuklah kamus, ilmu ekonomi, falsafah, melakukan terjemahan bagi pelbagai ilmu daripada peradaban luar dan karya yang berunsurkan sains, iaitu perubatan, astronomi dan kosmologi atau ilmu falak. Ilmu perubatan dalam bahasa Melayu telah dibawa hingga ke China dan telah terakam  menerusi 10 jilid  dalam bahasa China, iaitu hasil terjemahan ilmu perubatan dalam bahasa Melayu pada abad ke-6 Masihi.

Demikian antara penjelasan menarik daripada Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain berkaitan dengan bahasa Melayu yang menjadi teras perkembangan ilmu sains sejak dahulu. Beliau telah bersiaran melalui Radio IKIM melalui segmen Resolusi yang bertajuk “Sains dalam Bahasa Melayu pada Abad ke-20” bersama-sama pemudah cara, Norhayati Paradi pada pukul 10.15 pagi tadi.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.