10 Mac 2022, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, cukup optimis dengan perkongsiannya yang bertajuk “Bahasa Melayu Penggerak Budaya Perpaduan di Persada Dunia” menerusi slot Sembang KL yang dikendalikan oleh DJ Mimie.

Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ketika bersiaran secara langsung.

Menurut Dr. Jessica, dengan adanya 300 juta penutur bahasa Melayu di negara rumpun Melayu, usaha untuk merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa akan tercapai. Malaysia juga pastinya berupaya menjadikan bahasa Melayu sebagai penggerak budaya perpaduan di persada dunia kerana rakyat Malaysia itu sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan latar budaya.

Yang paling penting menurut beliau ialah keyakinan seluruh Keluarga Malaysia untuk memahami bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Aras pemikiran rakyat terhadap integriti bahasa Melayu juga berupaya membina dan melahirkan rakyat yang berjiwa patriotik khususnya dengan menghormati prinsip Rukun Negara.

Bahasa Melayu juga menjadi identiti bagi jati diri rakyat Malaysia tidak kira di mana-mana sahaja. Oleh itu, rakyat negara ini wajar merujuk negara dunia lain yang cukup taat akan bahasa kebangsaan mereka seperti Jepun, China, Korea dan lain-lain.

Tegasnya lagi, dengan mengutamakan bahasa Melayu, tidak bermakna bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan sebagainya dipinggirkan. Usaha menguasai pelbagai bahasa juga digalakkan namun mestilah memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara ini.

Beliau juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia supaya menyedari akan kewujudan portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang merupakan enjin carian bahasa Melayu yang dapat membantu khalayak dalam hal ehwal bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.