12 Mac 2022, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Dr. Rusmadi Baharudin ketika bersiaran secara langsung.

Kuala Lumpur Sejak pandemik COVID-19 bermula pada tahun 2020 hingga tiga bulan terawal tahun ini, sejumlah 350 istilah baharu khususnya dalam kesihatan awam diterjemahkan atau diberikan padanan daripada istilah bahasa Inggeris. Istilah semasa ini digubal dan diumumkan melalui media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana terdapat permintaan daripada masyarakat umum khususnya pengamal media yang memerlukan istilah dalam bahasa Melayu. Demikian antara penjelasan Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dan menghasilkan satu-satunya istilah semasa yang menjadi keperluan media massa dan hal ini telah menarik perhatian Zetty Adriana, wartawan TV9 Media Prima, untuk mengetahui lebih lanjut usaha yang dilaksanakan oleh DBP, menerusi Buletin TV9 pada pukul 7.00 malam tadi.

Menurut Dr. Rusmadi, istilah yang berjaya digubal itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat umum. Antara istilah terkini yang mendapat perhatian umum termasuklah rumah mongel atau tiny house dan kekili, iaitu cerita baharu atau reels dalam bahasa Inggeris yang digunakan dalam Instagram.

Setiap istilah yang diwujudkan oleh DBP juga bersesuaian dengan perkembangan semasa khususnya ketika masyarakat berada dalam pandemik COVID-19. Dalam keadaan masyarakat menggunakan media sosial lebih kerap, penggunaan serta penemuan pelbagai istilah dalam bahasa Inggeris yang memerlukan padanan istilah dalam bahasa Melayu mewujudkan kepelbagaian dari sudut terjemahan istilah yang berpadanan atau bersesuaian dengan bahasa Melayu.

Tambah beliau lagi, melalui media sosial, masyarakat umum dapat terus berhubung langsung dengan DBP dan bertanya hal berkaitan dengan istilah yang menuntut kepekaan DBP  terhadap keperluan masyarakat khususnya dalam bidang ini. Situasi yang berlaku ini membuktikan bahawa masyarakat masa kini cakna istilah bahasa Melayu. DBP juga menyalurkan maklumat atau perkongsian istilah ini secara interaktif di media sosial dan mengambil peluang memuat naik istilah yang berhubung dengan isu semasa dan terbukti berkesan menarik perhatian umum khususnya pengikut media sosial.

Selain istilah, DBP juga menggunakan pendekatan penggunaan bahasa yang indah bersumberkan pantun, peribahasa dan pelbagai sumber tentang bahasa Melayu yang bertujuan untuk mendekatkan lagi bahasa kepada umum melalui media sosial. Wahana media sosial ini dilihat amat berkesan dan DBP akan terus melaksanakan usaha perkongsian istilah kepada umum melalui platform ini. Perkongsian istilah ini juga boleh dilihat dalam pelantar penerbitan digital DBP, iaitu JendelaDBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.