14 Mac 2022, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Sumbangan terpenting bahasa Melayu (Jawi) ialah melahirkan bangsa Melayu yang mempunyai jati diri yang begitu sebati dengan agama Islam. Menurut Encik Muhammad Syukri Rosli, Pengerusi Akademi Jawi, sesuatu bahasa itu amat sinonim dengan makna diri sesuatu bangsa dan juga agamanya. Penelitian terhadap peranan bahasa sebagai identiti, makna diri serta hakikat diri kepada sesuatu bangsa menduduki tempat yang terpenting serta kritikal, mendesak dan amat mustahak dipertahankan oleh mana-mana bangsa di dunia ini apatah lagi yang berhubung bahasa Melayu (Jawi) ini.

Tulisan Jawi merupakan warisan yang dimiliki oleh rakyat negara ini hasil pengaruh Islam yang cukup besar serta perkembangan ilmu yang pesat di Alam Melayu sejak kurun 1300 Masihi. Bermula di batu-batu bersurat, tulisan Jawi menjadi aksara yang menjelmakan berpuluh-puluh ribu naskhah yang mengandungi pelbagai ilmu dari Alam Melayu. Antara ilmu yang terkandung dalam pelbagai manuskrip itu termasuklah kosmologi, astronomi, ilmu falak, ilmu persuratan, agama, adat budaya, undang-undang, sains, perubatan dan lain-lain.

Tambahnya lagi, masyarakat pada hari ini perlu diberikan penekanan tentang bahasa yang berperanan secara langsung dalam menghubungkan bangsa dengan pembentukan jati diri sesuatu bangsa. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan ada memperincikan “Melayu” itu dengan takrifan sebagai seorang yang beragama Islam, mengamalkan adat budaya orang Melayu dan menggunakan bahasa Melayu. Unsur bahasa itu sangat dominan dalam menentukan takrif serta membentuk akal budi, jati diri serta hakikat diri sesuatu bangsa khususnya yang merujuk bangsa Melayu di negara ini.

Tegas beliau, yang membezakan bangsa dan budaya seseorang itu juga adalah berdasarkan bahasa yang dimilikinya. Oleh itu, bahasa mempunyai kedudukan yang terpenting dalam memaknakan diri sesuatu bangsa. Selain itu, bahasa Melayu (Jawi) juga telah mencetuskan satu tradisi keunggulan bangsa Melayu ketika era ini, iaitu Tradisi Persuratan Bahasa Jawi.

Demikianlah antara inti pati menarik daripada slot Pengajian secara dalam talian Akademi Watan (Kursus 3 Modul 6), yang bersiaran semalam menerusi FB Langsung Akademi Watan. Tajuk yang dihuraikan ialah “Bahasa Melayu (Jawi) Menunjukkan Akal Budi Bangsa”, yang dipengerusikan oleh Ahmad Ali Karim. Oleh itu, untuk mengikuti perkongsian ini dengan lebih terperinci, para pembaca bolehlah melayari laman rasmi Facebook Akademi Watan dan semoga perkongsian ini akan dapat menyuburkan rasa cinta kepada warisan Jawi yang dimiliki pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.