15 Mac 2022, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Masyarakat dunia pada hari ini berdepan dengan cabaran di media sosial khasnya kepada kanak-kanak. Hal ini telah mempengaruhi tindakan dan pemikiran serta memberikan impak besar kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak. Kanak-kanak kini terdedah pada penggunaan gajet dan mereka turut memiliki akaun media sosial masing-masing. Namun begitu, tanpa disedari hal tersebut juga mengundang pelbagai risiko yang boleh menjejaskan kehidupan kanak-kanak.

Prof. Dr. Amer Siddiq Amer Nordin ketika bersiaran secara langsung.

Kebimbangan tersebut berasas dan dihuraikan oleh Prof. Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Universiti Malaya pada pagi tadi yang bersiaran melalui slot Koresponden BERNAMA TV, yang bertajuk “Internet dan Media Sosial: Risiko Keselamatan terhadap Kanak-kanak” yang dikendalikan oleh penyampai, Nurul Hidayah Umol. Berdasarkan beberapa perkara, pencipta akaun media sosial telah menetapkan usia 18 tahun sebagai syarat pendaftaran untuk mempunyai akaun media sosial.

Berdasarkan kajian beliau, terdapat kesukaran untuk mengawal dan mengehadkan tempoh masa bagi kanak-kanak melayari internet. Sekiranya ibu bapa mengambil ringan akan perkara ini, anak mereka akan berdepan dengan risiko hilang tumpuan dan ketagihan gajet. Antara kesan buruk yang akan dihadapi oleh kanak-kanak termasuklah amalan buli siber, intai siber dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Tambah buruk lagi, mereka juga berdepan dengan kandungan internet dan media sosial yang tidak sepatutnya.

Kesan tersebut boleh dialami oleh kanak-kanak dan pastinya akan menjejaskan atau mempengaruhi psikologi kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari akan hal ini, iaitu akaun media sosial yang dimiliki tidak boleh dikongsi kepada sesiapa dan mereka tidak boleh membuat pemantauan terhadap penggunaan media sosial anak-anak.

Secara kebiasaannya individu yang berada di media sosial tidak sama sifatnya ketika berada di luar media sosial. Keadaan ini dinamakan sebagai “ketanpanamaan” (anonymity) dan pengguna akaun media sosial sedemikian akan berada di luar batas normal dan bahasa yang digunakan tidak mempunyai akauntabiliti. Selain itu, penggunaan bahasa yang kesat dan kasar berlaku tanpa dapat dikawal serta telah diterima oleh masyarakat dan keadaan ini sudah tentu memberikan kesan buruk kepada kanak-kanak.

Tambah beliau, isu yang menjadi perhatian banyak pihak yang berkaitan dengan internet dan media sosial ialah hilangnya adab dan moral para pengguna akaun serta kebimbangan terhadap kesan budaya ini kepada kanak-kanak menjadi lebih buruk. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga memberikan amaran kepada masyarakat dunia betapa perlunya peranan orang dewasa dalam mengehadkan penggunaan masa kanak-kanak di internet dan media sosial termasuklah pada waktu malam.

Masyarakat juga perlu memahami tentang aspek keselamatan internet dan media sosial, risiko kesihatan dan juga isu hilang tumpuan yang boleh berlaku kepada kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dalam memastikan anak mereka diberikan panduan dan bimbingan dari segi penggunaan media. Tegas beliau lagi, pentingnya kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan internet dan media sosial kepada kanak-kanak agar kesan buruk daripada kecanggihan teknologi ini dapat dibendung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.