Oleh Kho Thong Eng
16 Mac 2022, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata penekan merupakan subgolongan kata tugas (kata pascakata) dalam bahasa Melayu. Kata tersebut ditandai oleh kehadiran morfem terikat atau unsur partikel -nya. Kata penekan tidak dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Pada umumnya, kehadiran kata penekan dalam ayat amat jelas. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Bangunan itu tinggi.

1b.  Tingginya bangunan itu!

1c.  Wah, tingginya bangunan itu!

 

2a.  Bunga ini cantik.

2b.  Cantiknya bunga ini!

2c.  Amboi, cantiknya bunga ini!

Kehadiran kata penekan -nya dalam ayat 1b, 1c, 2b dan 2c tidak mengubah maksud ayat. Perbezaan yang wujud hanyalah penekanan pada ketinggian bangunan atau kecantikan bunga yang berkenaan. Dalam hal ini, kehadiran tanda seru dan kata seru dalam ayat 1c dan 2c menekankan keluarbiasaan, keajaiban atau keunikan sesuatu perkara ke tahap yang tinggi lagi.

Jika kita meneliti ayat 1b, 1c, 2b dan 2c, kita akan mendapati bahawa kata penekan ditambah pada kata adjektif untuk menekankan sifat adjektif yang menjadi predikat ayat yang berkenaan. Dalam hal ini, susunan ayat perlu disongsangkan.

Kata penekan berbeza daripada sesetengah kata penegas bukan partikel yang sedia mendukung maksud kesangatan, keterbatasan dan keterlibatan. Selain itu, kata penegas memberikan penegasan kepada kata nama (KN), kata kerja (KK), kata adjektif (KA) dan frasa sendi nama (FS). Kata penegas tersebut merupakan bentuk bebas yang dapat berdiri sendiri dalam ayat. Ayat yang ada unsur penegasan pula tidak semestinya disongsangkan susunan komponennya. Sila lihat contoh yang berikut:

Maksud Kesangatan

3a.  Bangunan itu memang perpustakaan.        (KN)

3b.  Dia memang belajar.                                       (KK)

3b.  Bangunan itu sememangnya tinggi.          (KA)

3c.  Bahawasanya bangunan itu tinggi.            (KA)

3c.  Dia sesungguhnya ke Seremban.                (FS)

Maksud keterbatasan

4a.  Bilik ini sahaja bilik guru.                     (FN)

4b.  Dia hanya membuang masa.                 (KK)

4c.  Dia hanya rindu akan anaknya.            (KA)

4c.  Dia ke Taiping semata-mata.               (FS)

Maksud Keterlibatan

5a.  Dia pun guru.                           (KN)

5b.  Peserta itu menang lagi.         (KK)

5c   Dia cantik jua dahulu.              (KA)

5e.  Dia ke sana juga.                       (FS)

Selain kata pengas yang berbentuk kata penuh, ada juga kata penegas yang berbentuk partikel, iaitu -lah, -kah dan -tah. Partikel penegas tersebut tidak dapat berdiri sendiri dalam ayat. Selain itu, kata penegas itu mesti ditambah pada bahagian predikat ayat yang dikedepankan. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Yang menolong saya dia.

6b.  Dialah yang menolong saya.

7a.  Orang itu siapa?

7b.  Siapakah orang itu?

8a.  Daya kita apa?

8b.  Apatah daya kita?

Kata pembenda ialah kata (partikel) yang ditambah pada kata kerja atau kata adjektif, iaitu kata yang bukan kata nama, untuk menjadikannya kata nama. Partikel pembenda juga berbentuk seperti partikel penekan, iaitu ditandai oleh partikel -nya. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Jatuhnya kerajaan itu amat dikesali.

9b.  Kejatuhan kerajaan itu amat dikesali.

10a.  Kalahnya pasukan itu sudah dijangkakan.

10b.  Kekalahan pasukan itu sudah dijangkakan.

11a.  Lajunya kereta itu 120 kilometer sejam.

11b.  Kelajuan kereta itu 120 kilometer sejam.

12a.  Cantiknya gadis itu diakui.

12b.  Kecantikan gadis itu diakui.

Dalam ayat 9a dan 10a, kehadiran partikel pembenda -nya menukarkan kata kerja jatuh dan kalah kepada kata nama kejatuhan dan kekalahan. Dalam ayat 11a dan 12a, kehadiran partikel pembenda -nya menukarkan kata adjektif laju dan cantik kepada kata nama kelajuan dan kecantikan. Oleh itu, kata-kata itu dapat menjadi inti frasa nama subjek bagi ayat yang berkenaan. Dalam hal ini, kehadiran frasa nama penerang seperti kerajaan itu, pasukan itu, kereta itu dan gadis itu diwajibkan.  Tanpa kehadiran frasa nama tersebut, partikel –nya yang bercantum pada kata nama sebenarnya bukan kata pembenda tetapi merupakan kata ganti nama diri orang ketiga. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Jatuhnya amat dikesali.

13b.  (Hal) jatuh kerajaan itu amat dikesali.

13c.  Kejatuhannya amat dikesali.

14a.  Kalahnya sudah dijangkakan.

14b.  (Hal) kalah orang itu sudah dijangkakan.

14c.  Kekalahannya sudah dijangkakan.

15a.  Lajunya 120 kilometer sejam.

15b.  (Hal) laju kenderaan itu 120 kilometer sejam.

15c.  Kelajuannya 120 kilometer sejam.

16a.  Cantiknya diakui.

16b.  (Hal) cantik gadis itu diakui.

16c.  Kecantikannya diakui.

Berdasarkan kelompok ayat 13 hingga 16, dapat kita lihat bahawa tanpa frasa nama yang menyusuli frasa nama (frasa kerja atau frasa adjektif yang ditambah partikel -nya), kata kerja atau kata adjektif pada awal ayat yang berkenaan berfungsi sebagai kata nama. Oleh itu, partikel -nya dalam ayat 13a, 14a, 15a, dan 16a bukan kata pembenda tetapi merujuk frasa nama pihak ketiga seperti perkara itu, orang itu, kenderaan itu, gadis itu, dan sebagainya. Dalam ayat 13a, 14a, 15a dan 16a, kata kerja atau kata adjektif pada awal ayat ialah penerang kepada inti frasa nama yang telah digugurkan, seperti hal, perkara, kejadian, dan sebagainya.

Soal kata kerja atau kata adjektif yang berfungsi sebagai kata nama memang banyak terdapat dalam bidang sains, dan sering digunakan dalam perbualan seharian masyarakat Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata kerja sebagai kata nama

Rosaknya teruk.

Kerosakannya teruk.
(Hal) rosaknya teruk.

Gunanya banyak.

Kegunaannya banyak.

(Hal) gunanya banyak.

Terbangnya tinggi.

Penerbangannya tinggi.

(Keadaan) terbangnya tinggi.

Kata adjektif sebagai kata nama

dalam ketara = kedalaman ketara

(apparent depth, bukan *apparent deep)

dalam nyata = kedalaman nyata

(real depth, bukan *real deep)

lebar jalur = kelebaran jalur

(band width, bukan *band wide)

Panjangnya berapa meter?

(panjang = kepanjangan)

Ada kalnya, kehadiran kata pembenda dalam ayat membezakan struktur ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

17a.  Dia berlari laju.

17b.  Dis berlari dengan laju.

17c.  Dia berlari dengan lajunya.

Ayat 17a hanya merupakan ayat tunggal dengan pola Frasa Nama + Frasa Kerja.  Kata laju dalam ayat 17a berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja berlari. Ayat 17b merupakan ayat majmuk yang terbina daripada klausa bebas dia berlari dan klausa subordinat dia laju yang dihubungkan dengan kata hubung keterangan cara dengan. Ayat 17c merupakan ayat tunggal. Frasa sendi nama dengan lajunya (sendi nama + kata nama) merupakan frasa keterangan yang menghuraikan kata kerja berlari.  Dalam hal ini, kata lajunya (kata adjektif + kata pembenda -nya) sama erti dengan kelajuan (kata nama).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.