17 Mac 2022, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Semua pihak perlu cakna akan teguran Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob supaya menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah lawatan kerja di luar negara. Menurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, penegasan Perdana Menteri itu wajar dipuji kerana sememangnya bahasa Melayu sudah lama diterima sebagai bahasa antarabangsa.

Buktinya, banyak perjanjian antara kerajaan Melayu lama dengan pihak British, Belanda dan sebagainya ditulis dalam bahasa Melayu yang bertulisan Jawi. Tambah beliau, teguran itu seharusnya dilihat sebagai satu daripada cita-cita negara untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Menteri Luar Negeri Malaysia juga telah membuat pengisytiharan untuk menggerakkan satu gagasan baharu yang disebut sebagai Diplomasi Kebudayaan termasuklah dalam memperkasakan bahasa kebangsaan melalui pejabat kedutaan negara Malaysia di luar negara.

Ahli panel dan moderator ketika bersiaran secara langsung.

Yang turut mengulas mengenai perkara ini ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan. Tegasnya, pelbagai usaha telah diadakan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Menurut beliau, Malaysia sebenarnya ketinggalan berbanding dengan negara jiran Indonesia, yang telah pun membawa bahasa mereka sebagai bahasa rasmi ASEAN, dengan menempatkan guru-guru bahasa mereka di selatan Thailand. Negara tersebut juga menggerakkan kedutaan mereka sebagai agensi yang menyebarluaskan bahasa Melayu Indonesia kepada dunia luar.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu di persada global, dana besar perlu diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab memperkasakan bahasa kebangsaan seperti DBP. Bukan itu sahaja, Jabatan Bahasa Melayu juga perlu diwujudkan di peringkat antarabangsa dalam institusi tersebut agar usaha untuk terus memperkasakannya di luar negara dapat dilaksanakan secara lebih teratur.

Menurut Felo Kehormat, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman, yang membicarakan peranan bahasa Melayu dalam kemajuan negara terutamanya dalam era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), Malaysia juga seperti negara lain tidak dapat lari daripada IR 4.0. Pelbagai istilah dalam bahasa Melayu sebenarnya mampu menggerakkan negara dalam bidang sains dan teknologi tanpa meminggirkan kedudukan bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan. Jepun sebagai contoh masih mampu bergelar sebagai sebuah negara maju dengan hanya menggunakan bahasa ibunda mereka.

Penubuhan sebuah Majlis Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan mampu menjadi titik tolak untuk terus memperkasakan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Negara kita boleh membangun selaras dengan kemajuan IR 4.0 dalam acuan orang kita sendiri termasuklah dengan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini disebabkan oleh penyampaian ilmu dalam bahasa ibunda mampu membuatkan seseorang itu lebih memahami tentang maklumat tersebut berbanding dengan menggunakan bahasa asing terutamanya bagi para pelajar di luar bandar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, iaitu Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi mengulas tentang program yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan yang telah dijalankan oleh DBP seperti Dekad Bahasa Kebangsaan.

Saban tahun DBP mengadakan pelbagai program dan aktiviti kebahasaan sebagai hasrat untuk menyerlahkan jati diri dan citrawarna bangsa Malaysia. Namun begitu, dasar negara kita dilihat acapkali berubah apabila berlakunya perubahan politik dalam pemerintahan negara dan hal ini tidak berlaku di negara lain. Pelbagai istilah dalam bahasa Melayu juga sebenarnya telah diperkenalkan oleh DBP, namun penerimaan masyarakat masih kurang kerana kebanyakannya masih gemar menggunakan istilah dalam bahasa lain.

Tambah beliau, masih wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang memperkecilkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini mungkin disebabkan mereka sebagai golongan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ketika negara masih dijajah pada suatu masa dahulu. Walau bagaimanapun, usaha yang berterusan oleh semua pihak mungkin mampu untuk terus memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat global.

Demikianlah antara perbincangan dan ulasan menarik daripada barisan panel jemputan yang bersiaran menerusi aplikasi Zoom dan Facebook Universiti Putra Malaysia (UPM), serta Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10 pagi tadi dalam “Rancangan Peka Bahasa: Bahasa Melayu di Persada Global”. Program ini anjuran bersama oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dan DBP. Pengarah Pusat Pembangunan Akademik UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar telah bertindak selaku moderator forum yang telah berlangsung selama hampir dua jam.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!