19 Mac 2022, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Kini terdapat 6000 bahasa yang masih diguna pakai di seluruh dunia tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang diberikan taraf bahasa rasmi dan satu daripadanya ialah bahasa Melayu. Oleh itu, aspek keyakinan perlu wujud dalam diri rakyat Malaysia bagi memastikan bahasa Melayu mampu “terbang tinggi” dan berada di kedudukan yang sepatutnya.

Demikianlah antara perkongsian penting oleh panel jemputan menerusi slot Wawancara Layar Putih, anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada hari semalam dengan tajuk “Bahasa Melayu ‘Terbang Tinggi’ di Serata Dunia”.  Program tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Pensyarah Bebas, Penyair dan Penterjemah. Program ini dikendalikan sendiri oleh Encik Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah ITBM.

Para panel ketika bersiaran secara langsung.

Menurut Encik Sakri, terdapat perkembangan positif terhadap bahasa Melayu belakangan ini khususnya setelah mendapat perhatian daripada pemimpin utama negara. Hal itu secara tidak langsung meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu dan citra bahasa itu sendiri. Walaupun masih ada yang meragui akan kemampuan bahasa Melayu, beliau mengharapkan komitmen pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat murni tersebut akan terus dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Dr. Jessica berjaya mencuri perhatian pelayar dengan maklum balasnya yang menyebut bahawa tidak semestinya kita menggunakan artis ternama untuk memperkenalkan bahasa Melayu. Golongan kurang upaya juga boleh diketengahkan sebagai ikon bahasa ketika merujuk perkembangan pesat negara Korea yang telah melebarkan sektor kreatif mereka yang membawa bahasa dan budaya Korea ke serata dunia. Dalam hal itu, Malaysia juga merasakan tempias budaya K-Pop tersebut termasuklah bahasa Korea itu sendiri.

Menurut Dr. Raja Rajeswari pula, citra keantarabangsaan bahasa Melayu era kini sudah pun berlaku dengan pesatnya. Beliau turut mengakui bahawa beliau antara individu yang dirujuk oleh pihak antarabangsa khususnya dalam usaha menterjemahkan puisi antarabangsa kepada bahasa Melayu dan sebaliknya.

Terdapat laman web khusus yang telah dibina oleh pihak antarabangsa dengan menjadikan laman web ini sebagai pangkalan menghimpunkan puisi dari seluruh dunia termasuklah puisi berbahasa Melayu yang dihasilkan oleh penyair dari negara ini. Hal ini berlaku kerana keistimewaan yang terdapat pada metafora bahasa Melayu yang telah terbukti mempunyai keunikan tersendiri.

Katanya lagi, metafora bahasa Melayu berbeza daripada bahasa Inggeris kerana diambil dari persekitaran, pemerhatian dan penglibatan orang Melayu yang sangat akrab dengan alam sekeliling. Hal ini bermakna bahawa bahasa Melayu mempunyai standard yang tinggi dalam menterjemahkan sesuatu puisi dan amat dikagumi oleh dunia.

Beliau turut berpesan kepada seluruh Keluarga Malaysia agar dapat membezakan antara kepentingan peribadi dengan negara. Menurutnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab seluruh entiti dalam negara ini tidak kira sesiapa pun wajib mengutamakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan identiti diri dan nasional.

Berdasarkan daripada perkongsian itu juga, Dr. Jessica menjelaskan bahawa seluruh Keluarga Malaysia perlu diberi pendedahan yang lebih meluas tentang kekuatan bahasa Melayu dan perlu bertanggungjawab untuk terus memperkasakannya ke peringkat antarabangsa. Di peringkat universiti juga memerlukan pemerkasaan yang lebih banyak melalui program dan aktiviti yang boleh membawa bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Sehubungan dengan itu, beliau turut mencadangkan agar ITBM diberikan tanggungjawab khusus dalam menyemarakkan lagi pemerkasaan dalam usaha terjemahan dan cara ini amat berkesan untuk meningkatkan citra bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.