Oleh Awang Sariyan
19 Mac 2022, 21:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai ucapan penggulungan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang juga Perdana Menteri, dalam Perhimpunan Agung UMNO yang mencadangkan kerajaan agar meminda Akta DBP untuk membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, termasuk di Pihak Berkuasa Tempatan.

DBP telah mengemukakan pindaan Akta DBP dalam tiga perkara utama. Pertama, pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, khasnya Perkara 152(6) yang memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Kedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walaupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia. Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat  dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai Urus Setianya.

Pindaan ketiga berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan. Sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan. Dengan kelulusan pindaan itu, DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.

DBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara. Di samping itu, kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia. Semoga iltizam Perdana Menteri disertai oleh semua pemimpin lain.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,
(Merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!