Oleh Yusaida Yusof
27 Mac 2022, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok   Raja dan rakyat berpisah tiada. Sehubungan dengan itu, dalam hal ini, institusi diraja merupakan entiti yang sangat penting dalam memelihara dan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi rakyat negara ini.

Demikian antara inti pati ucapan  YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika berucap dalam majlis Kembara Titah Kelantan, yang berlangsung di Auditorium Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK, Bachok, Kelantan pada pagi ini.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau turut menyatakan bahawa keberangkatan hadir dan keprihatinan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz ke majlis yang diadakan itu memberikan makna yang besar terhadap perkembangan program persuratan dan penerbitan kerana beliau sentiasa menyokong penuh program seumpama itu.

Tambah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, antara kerjasama yang pernah terjalin antara institusi diraja dengan DBP ialah Majlis Penandatanganan Perjanjian Kerjasama Penerbitan Ensiklopedia Budaya dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (EBAIK), pada tahun 2019 dan Wacana Diraja: Ekonomi Negara Pasca-COVID 19, pada tahun 2020.

Menurut beliau, program yang berlangsung pada hari ini merupakan antara inisiatif DBP untuk mengukuhkan kerjasama dengan institusi diraja dalam usaha untuk memastikan bahasa kebangsaan terus dimartabatkan.

Bahasa Melayu juga telah menjadi wahana pengikat perpaduan ampuh, mewujudkan rasa kasih sayang dan muhibah dalam kalangan masyarakat Malaysia seiring dengan teras kebersamaan dalam Keluarga Malaysia.

Sementara itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran juga berharap agar hubungan baik dan kerjasama antara DBP dengan UMK dapat dipertingkatkan pada masa akan datang dengan jalinan pelbagai program dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Selain itu, tambah beliau lagi, DBP terus bergerak dan memperkasakan penerbitannya. Seiring dengan perubahan teknologi, DBP memperluas wahana penerbitan secara digital dan yang terbaharu telah membangunkan pelantar digital, iaitu JendelaDBP. Beliau juga berharap agar usaha pendigitalan ini akan terus memandaikan anak bangsa melalui bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.