Oleh Yusaida Yusof
27 Mac 2022, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok   Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, Pro-Canselor Universiti Malaysia (UMK) Kelantan, menyeru ahli sarjana dan ilmuwan, khususnya di UMK menterjemahkan tesis atau buku masing-masing daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa rasmi negara di persada dunia.

Dalam titah ucapannya pada pagi tadi, ahli akademik serta cendekiawan berperanan dan bertanggungjawab untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penulisan dan persuratan. Menurut beliau, usaha menterjemahkan buku tersebut merupakan tanggungjawab moral dalam mengimarahkan bahasa, sekali gus membina kehidupan bernegara.

Saya yakin bahawa UMK dan DBP boleh bekerjasama dalam penerbitannya, sekali gus memastikan pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu yang bermanfaat kepada kemaslahatan ummah dapat diwariskan kepada dunia berbahasa Melayu, khususnya.

Beliau berkata demikian dalam titah ucapannya sebelum majlis pelancaran buku yang melibatkan tiga penerbit, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Islam Kelantan (MAIK), yang berlangsung di ruang legar Auditorium Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK, Bachok, Kelantan.

Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan tetamu khas ketika sesi pelancaran buku.

Buku terbitan DBP yang dilancarkan ialah Pasak Citra (4 jilid), Nik Mohd Mohyideen Wan Musa: Perintis Pendidikan Islam di Malaysia, Kumpulan Puisi: Melorek Kenangan dan Syair Adat Istiadat Kesultanan Melayu Kelantan. UMK menampilkan buku Serantaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan dan Wayang Kulit: Tok Dalang Che Ann. Selain itu, MAIK pula menampilkan empat buah buku terbitannya, iaitu Jati Diri Bangsa, Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2), Fathul Mu’in dan Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi.

Sementara itu, menurut YBhg. Dato’ A Aziz Deraman yang telah menghasilkan tiga buah buku (Pasak Citra, Jati Diri Bangsa dan Kumpulan Puisi: Melorek Kenangan)  yang dilancarkan hari ini menaruh harapan agar peminat buku pemikiran peradaban, penulis serta sasterawan, pendidik dan pelajar dapat menelaah buku-buku tersebut.

Buku-buku ini membicarakan persoalan kedaulatan negara, bahasa, sastera, kebudayaan, pendidikan dan isu global. Di manakah letaknya jati diri bangsa Malaysia kini dan mengapakah bahasa, sastera dan budaya dikatakan menjadi pasak kepada pembinaan peradaban bangsa dan peranan Islam dalam zaman globalisasi ini? Semua persoalan ini dirungkaikan dalam buku ini untuk pemahaman dan penghayatan pembaca.

Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menerima cenderamata DBP daripada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.
Gerai jualan buku turut diadakan untuk pengunjung yang menghadiri program Kembara Titah Kelantan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.