28 Mac 2022, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Penasihat dan Editor Umum, PTS Media Grup, Profesor Emeritus Abdullah Hassan membicarakan dengan panjang lebar tentang hal membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, menulis buku ilmu, adaptasi, dan terjemahan menerusi kertas kerjanya yang berjudul “Membina Kepustakaan dalam Bahasa Melayu” dalam seminar anjuran Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak di Dewan Kenanga, Hotel Casuarina Kuala Kangsar, pada 27 Mac 2022.

Oleh sebab banyak terlibat dalam bidang perbukuan, Profesor Abdullah banyak mengaitkannya dengan penggunaan bahasa Melayu yang murni menerusi kertas kerjanya yang dibahagikan kepada tiga perkara, iaitu “menulis buku am”, “mula menulis”, dan “kemahiran kecekapan dan alat baharu”.

Dalam “mula menulis”, antara perkara yang menarik berkaitan dengan bahasa Melayu yang disentuh oleh Profesor Abdullah termasuklah penggunaan ayat pendek, mudah, selapis, ayat gabungan, kata kerja, perkataan konkrit menggantikan adjektif dan adverb, perkataan perlu sahaja, perkataan biasa, perkataan pendek, perkataan Melayu, perkataan Melayu asli, analogi (perbandingan) dan berhemat menggunakan perkataan, serta mengelakkan ayat pancangan, bentuk per-…-an, peng-…-an, ke-…-an, adjektif dan kata penguat, kata adverb (sifat kerja), kata nama abstrak, dan ungkapan negatif dan pasif.

Dalam “kemahiran kecekapan dan alat baharu” yang dikaitkan dengan bahasa Melayu pula, beliau turut menyentuh tentang kemahiran baharu, kecekapan dan alat – kemahiran komunikasi: kolerasi prestasi dengan bahasa, Heskett & Schlesinger (1966) mengenal pasti enam ciri bahasa yang berlainan, tahap kemahiran komunikasi pelajar Melayu, bahasa tinggi, bahasa Melayu rendah seorang pegawai tinggi, bahasa Melayu tinggi – bahasa Inggeris rendah dan tinggi, bahasa terhad dan bahasa berkembang, kemahiran membaca: apa perlunya statistik buku dan penduduk, hal yang pelajar baca, kemahiran berfikir: falasi pengitlakan, serta kemahiran komputer dan animasi digital: tracker dan comment; kamus, tesaurus dan ensiklopedia dan cabaran masa depan.

Seminar yang bertemakan “Bahasa, Budaya, dan Adab Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21” itu merupakan seminar kedua anjuran LEPAS turut menampilkan Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhamad dari Universiti Putra Malaysia, dan Dr. Kamaruddin Yaakob  dari Universiti Sultan Azlan Shah sebagai ahli panel. Seminar ini anjuran bersama LEPAS dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Majlis Kebudayaan Negeri Perak, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Profesor Madya Dr. Salmah pula membentangkan kertas kerjanya iaitu, “Diplomatik Kesultanan Melayu: Adab Adat Istiadat dalam Kehidupan Raja-Raja Melayu” (dimudahcarakan oleh Mohd. Fauzi Ramli), sementara Dr. Kamaruddin pula dengan kertas kerjanya iaitu, “Kewujudan Budaya Bangsa Melayu Dulu dan Kini: Budaya yang Hilang dan Budaya yang Mendatang” (Mohd. Shuhaimi Zubir sebagai pemudah cara).

Perasmian Seminar Bahasa, Budaya, dan Adab Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi. Penutupannya pula oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Manong, Mohamad Zuraimi Razali, yang juga Ketua Dua LEPAS.

Majlis perasmian seminar turut diserikan oleh dendangan syair daripada Faridah Abu Seman (guru Sekolah Kebangsaan Kati), dan pencak silat Ilham oleh Rosli Hasnan (Pertubuhan Silat Gasak). Yang turut hadir ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, Rahimi Arifin; Setiausaha Dua GAPENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad; Ketua Satu LEPAS, Abd. Rashid Ahmad Rafie; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad; dan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!