28 Mac 2022, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemabong – “Hilang bahasa lenyaplah bangsa”, demikianlah peribahasa yang diungkapkan oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Rubin Balang, Pengerusi Induk Jawatankuasa Pembikinan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Kemabong, dalam ucapan beliau semasa Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan, pada 26 Mac 2022, di daerah kecil Kemabong, Tenom, Sabah. Pada majlis yang sama, YB Datuk Rubin Balang telah menyempurnakan pelancaran kamus tersebut.

YB Datuk Rubin Balang semasa menyampaikan ucapan.

Majlis yang berlangsung dengan meriah, penuh simbolik dan berwarna-warni dengan budaya etnik Murut Tahol turut dihadiri oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang mewakili Ketua Pengarah DBP, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Encik Zulfikar Yusof, Pengerusi Persatuan Warisan Budaya Murut Tahol Sabah (PEWARIS), Encik Rosdi James Emis Bambangan, Timbalan Pengerusi I Jawatankuasa Induk Pembikinan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan, Pegawai Daerah Tenom, wakil-wakil Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri.

YB Datuk Rubin Balang semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan.
YB Datuk Rubin Balang, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Puan Aminah Awang Basar bersama-sama pendraf dan pengesah Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan.

Menyedari betapa pentingnya melestarikan bahasa etnik agar tidak pupus dan kekal relevan kepada generasi muda, DBP dengan kerjasama Persatuan Murut Tahol Sabah, Persatuan Murut Sabah (PMS), Pertubuhan Warisan Budaya Murut Tahol Sabah (PEWARIS) dan Pertubuhan Kebudayaan Kebajikan Murut Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan.

Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan.

Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya menyatakan bahawa usaha ini selaras dengan peranan DBP sebagai badan yang diberikan amanah memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. DBP berperanan dalam mendokumentasikan pelbagai kamus berkaitan dengan bahasa etnik atau subetnik agar bahasa ini terakam menjadi rujukan para penggunanya. Penerbitan kamus ini merupakan antara usaha DBP untuk mendokumentasikan dan melestarikan bahasa-bahasa peribumi di Sabah.

Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa menyampaikan ucapan.

Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan merupakan kamus etnik Murut Tahol pertama di negeri Sabah yang dihasilkan oleh DBP Cawangan Sabah. Kamus ini memuatkan 4150 entri dan subentri yang dilengkapkan dengan padanan dalam bahasa Melayu. Penerbitan kamus ini akan memberikan manfaat dan menjadi rujukan kepada para pengguna, khususnya kepada etnik Murut Tahol, kumpulan penyelidik serta pihak yang ingin mempelajarinya. Semoga kamus ini dapat dimanfaatkan oleh pengguna, para pengkaji dan pencinta bahasa Murut Tahol, terutamanya dalam kalangan generasi baharu yang penguasaan bahasa ibundanya sudah kian terhakis dan lebih membimbangkan kian pupus.

YB Datuk Rubin Balang dalam ucapan menyatakan bahawa proses pembikinan kamus ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah, tambahan pula negara berada pada fasa pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, perjuangan dalam melestarikan bahasa Murut Tahol tercapai dengan terbitnya kamus yang menjadi wadah pemerkasaan bahasa Murut Tahol agar tidak pupus di dunia. Perkara ini amat membanggakan apabila kamus ini siap dan diterbitkan dalam tempoh yang singkat, iaitu dua tahun lapan bulan. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu dalam merealisasikan penerbitan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan.

Majlis diserikan lagi dengan tarian sambut tamu (Magunatip), persembahan nyanyian lagu oleh Puan Ivy Elchristtia Idin, Encik Eddy Andayol dan Encik Rosdi James Emis Bambangan, deklamasi puisi etnik oleh Encik Matussin Elloh dan deklamasi puisi oleh Encik Yus Amir Firza Muslimat. Yang turut diadakan ialah gimik pengusungan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan yang diiringi oleh lagu rakyat etnik Murut Tahol. Pameran dan jualan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan oleh pihak persatuan turut diadakan bagi memudahkan masyarakat Kemabong membeli kamus berkenaan.

Dalam ucapannya, YB Datuk Rubin Balang turut menyatakan hasrat bahawa Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan edisi kedua akan diusahakan penerbitannya; perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikan bahasa Murut Tahol diperkenalkan sebagai mata pelajaran sekolah dan diajar kepada pelajar sekolah; dan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat untuk membantu subetnik Murut yang lain dalam pembikinan seterusnya penerbitan kamus.

Dalam Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan juga diadakan penyampaian penghargaan kepada 32 orang pendraf dan lapan orang pengesah yang terdiri daripada penutur dan penyelidik bahasa Murut Tahol. Pendraf dan pengesah Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan diketuai oleh YB Datuk Rubin Balang. Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan boleh disaksikan melalui pautan yang berikut: https://www.facebook.com/DBPMalaysia/videos/810433397015774/

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!