28 Mac 2022, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini bagi mendaulatkan bahasa Melayu hingga peringkat antarabangsa serta cadangan pindaan Akta DBP bagi membolehkan perancangan dan strategi memperkasakan bahasa kebangsaan dapat direalisasikan menarik perhatian banyak pihak.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari berkata, gagasan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ini amat dinanti-nantikan oleh pejuang dan pencinta bahasa serta DBP. Keseriusan dalam perancangan, pelaksanaan dasar serta pelan strategi berkaitan dengan bahasa kebangsaan ini akan berupaya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan bahasa bertaraf antarabangsa.

Kesemua pelaksanaan bagi pembinaan dan kemajuan bahasa Melayu sudah dilaksanakan DBP. Namun demikian, Akta DBP pada masa ini mengehadkan bidang kuasa yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu bagi dalaman sahaja. Oleh itu, pindaan Akta DBP ini sudah tentu menjadi kunci utama DBP untuk merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara utama.

Dr. Hazami Jahari

Menurut Dr. Hazami, pindaan Akta DBP akan menghuraikan bidang kuasa DBP secara lebih tegas dengan menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan, iaitu mana-mana pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan akan dikenakan tindakan, denda atau hukuman seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang pindaan akta tersebut.

Namun demikian, hal ini bukanlah fokus utama DBP, sebaliknya yang paling penting hendaklah seluruh rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menghormati dan menghayati bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan ini dengan sepenuh jiwa raga.

Menurutnya, pindaan Akta DBP ini menjelaskan DBP sebagai badan yang berautoriti untuk mengesahkan bahasa Melayu dengan penarafan dan piawaian yang ditetapkan. Melalui akta ini membolehkan DBP menubuhkan syarikatnya bagi pengkhususan dalam bidang perniagaan penerbitan berkaitan dengan bahasa dan sastera kebangsaan.

“Pindaan Akta DBP juga membolehkan DBP bergerak dengan lebih banyak program pada peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu,” katanya lagi.

Dalam program yang sama, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw berkata, sebagai ahli Keluarga Malaysia haruslah memahami konsep jati diri yang dibangunkan menerusi bahasa Melayu. Negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya dapat disatukan dengan satu bahasa mengikut acuan Keluarga Malaysia.

Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw

Contohi jati diri yang utuh melalui citra bahasa yang ditunjukkan oleh warga China, Jepun dan Korea. Bahasa mereka menjadi identiti bangsa di negara berkenaan. Faktor inilah yang menyumbang kekuatan bangsa yang mencerminkan jati diri melalui bahasa kebangsaan,” jelas Dr. Jessica Ong.

Slot MHI yang dikendalikan oleh Ahmad Fedtri Yahaya dan Fariha Onn mengupas perbincangan yang berkaitan dengan “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perantara Utama”.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!