Oleh E Pian Pro Poul
28 Mac 2022, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), GAPENA Malaysia, Majlis Kebudayaan Negeri Perak, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak telah melaksanakan Seminar Bahasa, Budaya, Adab dan Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21.

Seminar ini menampilkan tokoh yang tidak asing lagi sebagai panel pembicara, iaitu Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Penasihat PTS Media Grup, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Dr. Kamaruddin Yaakob, Pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah.

Seminar yang dirasmikan oleh YB Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak ini turut dihadiri oleh wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin.

Dalam ucapan beliau, YB Dato’ Nolee Ashilin menyarankan agar aktiviti kebahasaan, persuratan dan kebudayaan seumpama ini kerap dilaksanakan oleh persatuan, bukan sahaja setahun sekali, malah beberapa kali dalam setahun supaya aktiviti ilmu yang berteraskan bahasa, sastera dan budaya ini terus subur. Hal ini seiring dengan suasana negara yang semakin pulih daripada pandemik COVID-19 dan menuju suasana endemik yang membolehkan aktiviti seumpama ini terus dilaksanakan.

YB Dato’ Nolee Ashilin menggalakkan aktiviti kebahasaan diadakan sepanjang masa.

Dalam pada itu, Haji Abd. Rashid Ahmad Rafie, Ketua 1 LEPAS Perak dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa LEPAS Perak akan menganjurkan Dialog Utara pada tahun ini yang akan melibatkan negeri di utara Semenanjung, utara Sumatera dan Selatan Thailand.

Haji Abd. Rashid Ahmad Ketua 1 LEPAS Perak.

Dalam sesi pembentangan kertas pula, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan membentangkan tajuk, “Membina Kepustakaan dalam Bahasa Melayu” yang menegaskan kepentingan bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar pendidikan pada semua peringkat kerana kata beliau, “Selagi kita tidak dapat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kita tidak akan dapat menjadi seperti Jepun kerana tidak akan timbul kreativiti peribumi daripada bahasa yang bukan bahasa ibundanya sendiri.”

Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad pula mengingatkan khalayak dalam pembentangan bertajuk, “Diplomatik Kesultanan Melayu: Adab Adat Istiadat dalam Kehidupan Raja-raja Melayu” dengan mengulangi petikan kata dalam Sulalat al-Salatin, “Rakyat itu umpama akar, dan raja itu umpama pohon, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri.”

Sementara itu, Dr. Kamaruddin Yaakob membentangkan tajuk “Budaya yang Hilang dan Budaya yang Mendatang” dengan mengungkapkan kepentingan budaya hidup kita sebelum ini diingati dan dikekalkan walaupun budaya hidup kita kini sudah semakin berubah kerana kehadiran teknologi moden.

Seminar yang berlangsung petang semalam diadakan di Hotel Casuarina Kuala Kangsar, Perak, menerusi  pertemuan secara maya, Google Meet.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.