29 Mac 2022, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Dalam pembinaan ketamadunan yang gemilang, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa budaya yang amat cemerlang. Bahasa Melayu ialah bahasa yang bersifat universal dan tidak statik. Hasilnya bahasa Melayu sesuai digunakan dalam pelbagai disiplin ilmu.

Bahasa Melayu juga sudah menjadi bahasa diplomasi sejak ratusan tahun dahulu. Kini, penutur bahasa Melayu telah tersebar luas di seluruh dunia termasuklah di Thailand, Brunei, Kemboja, Sri Lanka dan lain-lain.

Kenyataan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa Melayu apabila beliau menyarankan supaya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi di luar negara dan berhasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-11 (SALPBMXI) yang diadakan pada 29 hingga 30 Mac 2022, isu bahasa Melayu turut dibincangkan dalam seminar ini. SALPBMXI merupakan program anjuran Jabatan Bahasa Melayu dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Para tetamu yang hadir semasa majlis perasmian seminar.

SALPBMXI ini diadakan bagi membincangkan isu yang berkaitan dengan tema utamanya, iaitu “Mendepani Isu Bahasa dan Sastera Kontemporari untuk Menghadapi Cabaran Sarwajagat” selain untuk menelusuri dan mendedahkan perkembangan terkini bahasa Melayu dalam bidang kontemporari serta  menggembeleng idea dan mencari kesepakatan bersama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tan Sri Datuk Dr. Kamal Salih, iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Mahkota.

Majlis perasmian seminar ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Dr. Kamal Salih, iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Mahkota, yang bersiaran secara langsung menerusi FB langsung UPM https://www.facebook.com/UniPutraMalaysia pada pukul 8.45 pagi tadi.

Menurut beliau, usaha penganjuran seminar ini sangat baik kerana merupakan kegiatan kebahasaan yang mementingkan kelestarian bahasa dan pembudayaan yang dilaksanakan secara menyeluruh dan bersifat universal atau sarwajagat.

Bahasa Melayu juga telah bergerak lebih ke hadapan disebabkan sifatnya yang dinamik. Sejarah lampau menyaksikan kedudukan bahasa Melayu yang gemilang sebagai bahasa peribumi yang berfungsi sebagai lingua franca kerana kedinamikannya yang mengatasi bahasa asing yang lain.

Bahasa Melayu juga telah mempengaruhi budaya masyarakat Melayu sehingga penggunaan bahasa Melayu menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu pada  zaman dahulu. Hal ini menjadikan bahasa Melayu mampu mengangkat kegemilangan masyarakat Melayu pada ketika itu.

Sangat penting untuk melihat bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya kerana bahasa Melayu bukan hak mutlak bangsa Melayu tetapi sebagai bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia.

Tambahnya lagi, bahasa Melayu perlu diangkat sebagai khazanah yang sangat berharga dan menjadikan bahasa Melayu mampu menghadapi gelombang globalisasi. Namun begitu, ledakan teknologi maklumat membawa perspektif negatif bagi sesetengah masyarakat terhadap bahasa Melayu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan sejarah membuktikan kejayaan sesuatu tamadun itu bergantung pada bahasanya.

Tambahnya lagi, cabaran pandemik COVID-19 telah menjadikan masyarakat lebih bersedia dan matang dalam menghadapi kemungkinan yang mendatang untuk memastikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa tadbir urus, bahasa diplomatik dan seterusnya sebagai bahasa penyatuan di peringkat sarwajagat.

Di samping itu, para ilmuwan dan sarjana serta pengkaji juga harus mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu kerana nilai bahasa Melayu yang merupakan bahasa yang kreatif dan produktif sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu telah melahirkan banyak ilmuwan dalam pelbagai bidang. Saranan Perdana Menteri untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua peringkat ASEAN telah memberikan impak terhadap bahasa Melayu. Hal ini demikian supaya bahasa Melayu dapat dipraktikkan penggunaannya di persidangan dunia termasuklah di Persidangan PBB.

Para sarjana dan pengkaji juga diingatkan agar dapat mengetengahkan hasil kajian yang diperoleh bagi memasyarakatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu, seterusnya menjanakan budaya ilmu dalam kalangan sarjana dan ilmuwan negara ini.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang menggesa agar semua pihak dapat berganding bahu dan bersatu hati bagi memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Katanya, penganjuran seminar ini memang sesuai dan kena pada masanya kerana Kementerian Pengajian Tinggi turut mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu ketika menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi di negara ini.

Usaha DBP yang berterusan tanpa jemu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu telah menjadikan bahasa Melayu terus berkembang dengan  penambahan pelbagai kosa kata dan istilah dalam pelbagai bidang telah mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di peringkat ASEAN ialah usaha yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Masyarakat seharusnya tidak perlu kekok dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa supaya bahasa Melayu sentiasa meniti ke puncak kegemilangan.

Yang turut hadir sebagai pengucap utama ialah Prof. Dr. Tatiana Denisova (CASIS UTM), dengan judul “Historiografi Islam Melayu: Zaman Baharu Persuratan Kebangsaan” dan Prof. Dr. Rohaidah Kamarudin, selaku Pengerusi SALPBMXI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.