30 Mac 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejak lebih 800 tahun peribahasa kekal diungkapkan hingga ke hari ini dan kajian serta penyelidikan terus sahaja berlaku ke atas peribahasa oleh penyelidik tempatan dan luar negara. Keistimewaan peribahasa bukanlah semata-mata pada metaforanya tetapi bagaimana peribahasa ini berjaya mengungkapkan makna yang tersirat dan menyampaikan pengajaran kepada khalayak serta kekal relevan mendepani zamannya.

Sehubungan dengan itu, satu kupasan menarik tentang peribahasa telah disampaikan oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Felo Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pada pagi tadi. Beliau berkongsi maklumat tentang peribahasa kepada khalayak melalui slot Jendela Fikir terbitan BERNAMA Radio yang bertajuk “Peribahasa: Cerminan Genius dan Ekonomik” yang dikendalikan oleh Irfan Faruqi.

Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin ketika bersiaran secara langsung.

Menurut Prof. Dr. Nor Hashimah, peribahasa berbeza daripada simpulan bahasa, iaitu satu lagi warisan bahasa yang dimiliki oleh bahasa Melayu yang juga unik tetapi mengandungi kata yang lebih pendek seperti kaki ayam dan kaki bangku. Kedua-dua contoh simpulan bahasa ini memberikan makna berdasarkan penelitian masyarakat tentang keadaan sifat objek yang dilihat yang kemudian dianalogikan tentang sifat manusia itu pula.

Tambahnya lagi, ayat yang digunakan untuk menghasilkan peribahasa lebih panjang kerana mempunyai makna yang lain di sebalik apa-apa yang dibaca atau dituturkan seseorang itu melalui peribahasa tersebut. Jelasnya, sesuatu peribahasa itu memerlukan penghayatan yang tidak hanya di peringkat luaran dan harfiah sahaja, bahkan menuntut pemikiran yang mendalam terhadap maksud yang hendak disampaikan.

Peribahasa mempunyai metafora atau perlambangan yang sangat kompleks. Malah yang lebih unik, peribahasa yang diwarisi ini tidak diketahui penciptanya dan juga tiada penulis yang direkodkan. Peribahasa terhasil kerana pengamatan, pencerapan dan penghayatan yang amat tinggi oleh masyarakat kepada alam sekitarnya ketika itu.

Menurutnya lagi, peribahasa yang ada dalam bahasa Melayu ini walaupun mempunyai persamaan tema dengan peribahasa bangsa lain (contohnya peribahasa dalam bahasa Inggeris), telah terbukti sangat penting dalam menterjemahkan keintelektualan bangsa di Alam Melayu ini.

Berdasarkan pengamatan terhadap alam sekitar, bangsa Melayu di Alam Melayu menjanakan pengalaman serta keintelektualannya melalui peribahasa yang dihasilkan ini. Peribahasa yang terhasil ini mempunyai falsafah tersendiri dan mencabar minda masyarakat pada hari ini untuk berfikir dan seterusnya memahami peribahasa ini.

Hasil penelitian terhadap citra budaya, peribahasa terhasil daripada cara orang Melayu berkomunikasi secara beradab dan bertatasusila ataupun secara beralas. Peribahasa yang diungkapkan ini bukan sahaja untuk menyindir tetapi mengandungi pengajaran agar dapat mewujudkan keharmonian dalam masyarakat daripada penggunaan kata yang dipilih itu.

Peribahasa menggunakan kata yang padat dan ekonomik. Kata yang digunakan akan memandu penutur peribahasa dan membantu khalayaknya mentafsirkan makna yang dikehendaki. Tema peribahasa merangkumi alam sekitar, politik dan keseluruhan budaya sesebuah masyarakat dan bersifat menyeluruh.

Menurut Prof. Dr. Nor Hashimah, generasi pada hari ini amat terhad pengetahuannya untuk memahami dan menghayati peribahasa. Keadaan menjadi lebih buruk kerana ada dalam kalangan generasi muda yang tidak pernah melihat objek yang disebut atau diungkapkan dalam peribahasa tersebut.

Tambahnya lagi, peribahasa juga mempunyai kesan kognitif kepada penuturnya. Terdapat ilmu yang khusus di sebalik peribahasa. Contohnya, peribahasa seperti bagai duri dalam daging, yang telah menghubungkannya dengan sains makanan dan kesannya kepada manusia. Daging menjelmakan metafora realiti penyakit kanser kepada manusia dan juga melambangkan kanser bersifat abstrak, iaitu sikap negatif yang menjadi barah dalam psikologi masyarakat.

Prof. Dr. Nor Hashimah turut berpesan agar generasi pada hari ini tidak merubah dan mengabaikan peribahasa yang lengkap dengan pakej falsafah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!