30 Mac 2022, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Cadangan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 merupakan satu usaha murni pihak kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Susulan hal itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik cadangan pindaan akta tersebut oleh Perdana Menteri kerana pindaan akta perlu dilakukan sebagai satu usaha untuk DBP bergerak ke peringkat antarabangsa dengan lebih aktif.

Menurut YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, pemantapan akta ini membolehkan DBP bergerak lebih jauh ke hadapan secara lebih berkesan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Tambah beliau, DBP menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Usaha ini sangat bertepatan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai jati diri sendiri dari segi bahasa, iaitu bahasa Melayu. Sebagai sebuah negara yang merdeka, kebanggaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu merupakan lambang jati diri rakyat Malaysia.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika bersiaran secara langsung.

Apabila kita memasarkan budaya kita, maka kita akan memasarkan nilai komersial kita. Jadi, perlu kita berusaha menggunakan pelbagai kaedah yang sesuai dengan memanfaatkan segala peluang yang ada seperti filem yang boleh diakses oleh pihak luar. Apa-apa sahaja teknologi yang boleh diguna akan kita gunakan. Contohnya, melalui program di televisyen.

DBP turut menyokong usaha Kerajaan agar bahasa Melayu digunakan di persidangan antarabangsa. Hal ini bertepatan kerana penutur bahasa Melayu di peringkat ASEAN adalah yang paling tinggi. Statistik dunia menyatakan bahawa ASEAN mempunyai bilangan penutur bahasa Melayu ketujuh terbanyak di dunia, cuma negara ini tidak memanfaatkan ruang yang ada, lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat global, DBP sudah lama mengadakan usaha sama kebahasaan seperti peristilahan dengan negara Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand untuk mengembangkan bahasa Melayu.

Ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa jika kita mengutamakan bahasa Melayu, maka kita akan mengabaikan bahasa lain. Pemikiran seperti ini perlu diperbetulkan kerana bahasa kebangsaan ialah bahasa utama negara ini dan seseorang itu boleh mempelajari bahasa lain selain daripada bahasa Melayu. Oleh itu, kita perlu mengutamakan bahasa Melayu tetapi kita juga perlu memperhebat bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan sebagainya.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi), yang bersiaran secara langsung pada pukul 8.00 pagi tadi di saluran Berita RTM, TV1  dan RTM Klik serta FB Selamat Pagi Malaysia, bersama-sama pengacara, Ridwan Mustafa dan Syuhaida Ariffin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.