Oleh Awang Sariyan
31 Mac 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan Zulkifli Jalil “Pedulikan Si Pesimis Bahasa Melayu” dalam Minda Pengarang Utusan Malaysia, 29 Mac 2022 mewakili sikap golongan yang optimis dan positif dalam menanggapi cita-cita Perdana Menteri untuk mengangkat bahasa Melayu di peringkat dunia. Golongan dedalu (“parasit” bagi yang sudah tidak lazim dengan kata Melayunya) yang ke arah membunuh pokok tamadun negara memang sentiasa ada dalam masyarakat. Kita abaikan sahaja “si pesimis” dan bergerak terus.

Masing-masing ada hak asasi untuk mengeluarkan pandangan. Biarkanlah “dedalu” itu dan kita terus berusaha memenuhi cita-cita untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Abaikan sahaja sindiran nakal atau dangkal jangan sampai menjadi kudis. Rancang dengan rapi dan laksanakan dengan sungguh-sungguh langkah mengisi cita-cita itu.

Masyarakat berhak diberi maklumat tentang sejarah bahasa Melayu yang pernah ratusan tahun menjadi bahasa antarabangsa, khasnya dalam zaman Kesultanan Melayu. Bukti nyata surat dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan di alam Melayu (termasuk yang etniknya bukan Melayu) dengan kerajaan asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris tersimpan di pelbagai pusat persuratan di dunia. Di Universiti Leiden, Belanda, Perpustakaan British di London, Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan lain, masih terpelihara surat dan perjanjian itu yang ditulis dalam Jawi. Adanya buku undang-undang seperti Undang-undang Laut Melaka turut membuktikan bahawa bahasa Melayu digunakan sebagai peraturan perdagangan dan kehidupan di kota Melaka yang kosmopolitan. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mencatatkan Melaka dengan penghuninya sekitar 80 kumpulan bangsa dan etnik dari pelbagai tempat, termasuklah Arab, India, China dan Parsi.

Dalam sejarah moden negara ini, bahasa Melayu bertulisan Jawi digunakan antara orang berlainan bangsa. Tersimpan surat Penguasa Polis Selangor pada tahun 1880 yang diutus kepada Kapitan Yap Ah Loy dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Sistem Kangcu yang diperkenalkan oleh Temenggung Daing Ibrahim Johor pada abad ke-19 untuk pengusaha ladang gambir dan lada hitam dalam kalangan orang Cina menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi dalam surat watikahnya. Ertinya, bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa.

Sarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Fancois Valentijn dalam kajian mereka merakam taraf keantarabangsaan bahasa Melayu pada abad ke-16. Bahasa Melayu disebut sebagai bahasa yang masyhur di sebelah timur hingga Filipina dan Turki, malahan setara dengan peranan bahasa Latin dan bahasa Perancis di benua Eropah. Orang dari luar alam Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu dianggap sebagai orang yang tidak terpelajar.

Apabila maharaja Dinasti Ming menjalin hubungan dengan alam Melayu, khasnya dengan Melaka pada abad ke-15, bahasa Melayu digunakan sebagai perantaraan. Di istana Maharaja China, bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa penting di jabatan jurubahasa dan juga di Akademi Latihan Jurubahasa. Sarjana Cina menyusun kamus bahasa Cina–Melayu untuk kegunaan pegawai dan pedagang yang berurusan di alam Melayu. Apabila bangsa Barat sampai, salah satu usaha awal mereka ialah menyusun kamus, seperti kamus Itali–Melayu, susunan Antonio Pigafetta pada tahun 1522. Erti semua itu adalah bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa.

Orang yang menilai sejarah sebagai kisah dahulu kala dan hanya untuk nostalgia tidak terpukau oleh fakta itu walaupun tanpa dahulu tidak mungkin ada kini. Baiklah, mari kita berbicara tentang bahasa Melayu pada zaman ini. Di seluruh dunia, ada lebih 100 institusi ilmiah yang memberikan perhatian kepada bahasa dan tamadun Melayu, baik dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan mahupun kegiatan. Fakta itu berdasarkan dokumen Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang bergerak aktif sejak tahun 2000. Dalam beberapa tulisan saya, termasuklah buku Pemartabatan Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun ada saya senaraikan sebahagiannya. Di Eropah, Amerika Utara, Rusia, Asia Tengah, Asia Timur, selain di Asia Tenggara terdapat institusi yang berkenaan.

Pengalaman peribadi saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing sebanyak dua kali (2008-2011 dan 2016-2018) memberikan keyakinan yang tinggi tentang bahasa Melayu di pentas dunia. Sejak tahun 1961, bahasa Melayu telah mula diajarkan di Institut Pengajian Asing Beijing yang kemudian menjadi Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), tempat saya diutus oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pada tahun 2008, baru ada empat buah universiti yang menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun. Maklumat mutakhir tahun 2022 menunjukkan telah ada 15 buah institut pendidikan tinggi (IPT) di Republik Rakyat China yang menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu. Sebuah kolej pengajian asing di Hainan membuka program Diploma Bahasa Melayu selama tiga tahun. Di beberapa buah universiti, bahasa Melayu diperkenalkan sebagai kuliah elektif.

Sepanjang saya bertugas di sana, tidak kurang daripada lima persidangan antarabangsa tentang bahasa, sastera, budaya Melayu dan terjemahan Melayu–China telah dianjurkan. Untuk kali pertama, Sayembara Deklamasi Sajak bagi IPT seluruh negara itu diadakan pada tahun 2017. Beberapa orang pelajar jurusan Bahasa Melayu di sana telah menjadi johan dan naib johan Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia (PABM). Persembahan lagu, tarian, dikir barat dan seni budaya Melayu yang lain tidak asing kepada mereka. Program pertukaran pelajar dan program pemukiman pelajar jurusan Bahasa Melayu di universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia berterusan sejak tahun 2007.

Selain universiti, badan penyiaran Bahagian Bahasa Melayu Radio China Antarabangsa (kini Kumpulan Media China) turut memainkan peranan yang penting dalam pengembangan bahasa Melayu. Siaran radio, portal, terbitan dan program kembara anjuran badan itu turut menyemarakkan bahasa Melayu di negara laluan sutera itu. Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, khasnya melalui Jabatan Pendidikan Malaysia di Beijing aktif mengadakan kelas Bahasa Melayu pada hujung minggu untuk anak-anak warganegara Malaysia di kota itu, Konsul Jeneral Malaysia di kota Guangzhou melaksanakan program yang sama. Di Beijing, saya melatih pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Mandarin untuk menjadi guru Bahasa Melayu itu.

Di kaki bukit ke Tembok Besar China dan di gedung beli-belah awam di Beijing sudah menjadi hal yang biasa pelancong Malaysia mendengar peniaga berbahasa Melayu untuk menarik perhatian pelanggan. Malah di sesetengah masjid di Beijing (di Hong Kong juga), bahasa Melayu digunakan pada papan tanda atau tempat tertentu. Pelancong Malaysia biasanya dipandu oleh pemandu pelancong yang berbahasa Melayu dan malah mengingatkan mereka di masjid mana dapat dilakukan solat jamak qasar.

Hal lain yang membanggakan ialah kajian perbandingan yang dilakukan oleh sarjana di negara itu yang berkaitan dengan Malaysia dan Alam Melayu. Pada tahun 2009, saya diundang berceramah oleh Universiti Pengajian Asing Guangdong di kota Guangzhou. Saya berkenalan dengan seorang profesor kanan berusia 80-an, Prof. Xu Younian. Saya terkejut apabila diberi hadiah buku beliau tentang kajian perbandingan antara pantun dengan lagu rakyat China. Muridnya, Prof. Tan Xiao yang kini Dekan Fakulti Pengajian Asing universiti itu melanjutkan kajian perbandingan antara pantun dengan Xintianyou, juga lagu rakyat China.

Buku perbadingan pantun dengan lagu rakyat China oleh Prof. Xu You Nian.
Buku perbandingan pantun dengan lagu rakyat China oleh Prof. Tan Xiao.

Kajian lain yang menarik ialah perbandingan antara wayang kulit di Alam Melayu dengan di China oleh Prof. Madya Dr. Shao Ying (nama Melayunya, Adibah). Prof. Dr. Su Ying Ying (Suria), Prof. Madya Shao Ying, En. Chao Dan (Tuah) dan beberapa yang lain mengkaji perbandingan bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Pelajar sarjana saya, Lian Yan (Laila) mengkaji perbandingan pantang larang Melayu dan China. Seorang pelajar doktor falsafah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari China kini mengkaji perbandingan antara masyarakat Islam di Malaysia dengan masyarakat Islam di China, khasnya di Pulau Hainan.

Dalam bidang penerbitan, DBP, Persatuan Perspektif Institut Kebudayaan Han Malaysia bekerjasama menerbitkan terjemahan karya agung seperti Hikayat Tiga Negara, Hikayat Air dan yang lain, sementara di Universiti Peking, misalnya diterjemahkan Hikayat Hang Tuah. Dalam perancangan antara DBP dengan pihak penerbit di negara itu, tersenarai 100 judul buku sastera dan ilmu dalam bahasa Melayu yang akan diterjemahkan dan diterbitkan di sana dan 100 judul buku sastera dan ilmu dalam bahasa Mandarin yang diterjemahkan dan diterbitkan di Malaysia. Universiti Sains Malaysia terkehadapan dalam usaha terjemahan Melayu–China dan China–Melayu.

Untuk pengembangan bahasa Melayu dengan lebih terancang, telah ditubuhkan Urus Setia Tetap Pengembangan Bahasa Melayu di China pada 1 Januari 2019, yang melibatkan 16 buah IPT di negara itu sebagai anggota. Penulis, Prof. Wu Zong Yu (Pengarah Pusat Pengajian Melayu BFSU) dan Haji Aziz How (Pengarah Jabatan Pendidikan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing) dilantik menjadi penasihat.

Penulis dengan Prof. Xu You Nian, sarjana perbandingan Melayu–China.
Penulis, Prof. Wu Zong Yu (Pengarah Pusat Pengajian Melayu BFSU) dan Haji Aziz How (Pengarah Jabatan Pendidikan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing) sebagai Penasihat Urus Setia Tetap Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China.

Demikian sekilas pandang semaraknya bahasa Melayu di Republik Rakyat China. Di Jepun, Universiti Pengajian Asing Tokyo (TUFS) menawarkan program ijazah empat tahun. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan  pernah dilantik menjadi Profesor di situ. Puan Faridah Mohamad, pensyarah Bahasa Melayu di TUFS telah berkuliah bahasa Melayu lebih 20 tahun bersama-sama sarjana berbangsa Jepun. Kira-kira 10 buah universiti lain di negara itu menawarkan bahasa Melayu sebagai kursus. Di Korea Selatan, dalam tinjauan saya pada tahun 2004, terdapat dua buah universiti yang menawarkan program ijazah Bahasa Melayu, iaitu Universiti Pengajian Asing Hankuk di Seoul dan Universiti Pengajian Asing Busan di kota Busan di bahagian selatan. Ada universiti lain seperti Universiti Woosong yang menawarkan kursus Bahasa Melayu.

Di Eropah, antara universiti yang terkenal dengan bidang pengajian Melayu termasuklah Universiti Leiden di Belanda, Universiti Goethe Frankfurt dan Universiti Hamburg di Jerman, dan Universiti London (khasnya di Sekolah Pengajian Ketimuran dan Afrika atau SOAS).

Benar bahawa bahasa Melayu di dunia kini lebih sebagai bidang pengajian. Namun begitu, anjakan peranan yang lebih meluas tentu dapat dirancang dan dimulakan dalam bidang diplomasi, perdagangan dan bidang lain. Rancangan Diplomasi Kebudayaan yang dilancarkan oleh Kementerian Luar Negara di bawah pimpinan menterinya, Dato’ Saifuddin Abdullah turut memasukkan rancangan meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Permulaan yang baik dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun lalu dengan berucap dalam bahasa Melayu di forum perubahan iklim PBB di Glasgow.

Kementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah segera apabila menubuhkan Urus Setia Induk Pengembangan Bahasa Melayu di IPT Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), dengan UKM sebagai terajunya. Pada bulan Mei 2022, dirancang diadakan sidang meja bulat IPT ASEAN di Kuala Lumpur untuk menyusun rancangan kerjasama dalam bidang pengajian, penyelidikan, penerbitan, portal dan kegiatan. Arahan Perdana Menteri agar pelajar negara luar negara diwajibkan mengikuti kursus Bahasa Melayu perlu disegerakan bagi IPT yang belum melaksanakannya. Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan Swasta 1996 telah menetapkan kursus wajib Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Agama/Moral. Tidak perlu ditunggu masa 20 tahun lebih untuk melaksanakan ketetapan dalam akta itu.

Hasrat Perdana Menteri untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu di pentas dunia nescaya tidak mudah tetapi tentu tidak mustahil. Perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak dapat menjadikan hasrat Perdana Menteri itu satu kenyataan. Mesti ada keyakinan dan kesetiaan penjawat awam dan semua pihak lain. Jangan ada Pegawai Diplomat Malaysia yang bersikap sinis, negatif dan menjadi gunting dalam lipatan. Jangan ada penjawat awam yang terus dalam kepompong kepercayaan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa antarabangsa. Di Universiti Goethe Frankfurt pada tahun 2009 diadakan persidangan tentang perdagangan antarabangsa sebagaimana yang diperikan dalam manuskrip Melayu lama.

Hanya yang berjiwa besar akan mencapai kejayaan. Yang berjiwa kecil dan lemah serta berminda terjajah tidak dapat membantu negara melangkah ke hadapan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!