Oleh Periasamy Muthan
31 Mac 2022, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Datuk M. Periasamy.

Kesungguhan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan rasmi bersempena dengan lawatan beliau ke Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini amat menggembirakan pihak-pihak yang memperjuangkan pemerkasaan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik kerajaan dan ucapan rasmi julung-julung kalinya dilakukan oleh seorang Perdana Menteri Malaysia. Sudah pastinya hal ini menunjukkan kehendak politik (political will) beliau untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat diplomatik.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa Melayu oleh pemimpin utama kerajaan menggambarkan  perjuangan bahasa Melayu sudah matang malah berada di landasan yang betul dalam usaha menobatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Sementelah itu, Perdana Menteri juga memberikan jaminan bahawa beliau akan berusaha untuk memperhebat penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi di dalam negara dan di luar negara sekembali beliau daripada lawatan luar negara.

Susulan pengumuman Perdana Menteri tersebut, sebuah delegasi tokoh dan pejuang bahasa Melayu yang diketuai oleh YB Tan Sri Dr. Rais Yatim, Yang diPertua Dewan Negara telah bertemu dengan beliau di Parlimen bagi menzahirkan sokongan padu terhadap usaha beliau memperkasakan dan menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi.

Dalam pada itu, wujud segelintir pihak yang meluahkan rasa kejanggalan terhadap hasrat YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Nampaknya, “golongan” ini masih tidak memahami tentang kedudukan bahasa Melayu.

Mereka seharusnya sedar bahawa di bawah Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, jelas terkandung peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta bahasa kebangsaan negara. Penyata Razak 1956, Akta 1963 dan 1967 yang diluluskan oleh Parlimen turut mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras dalam institusi pendidikan tempatan. Bahkan Perkara 159 (5), iaitu menguatkan, mengukuh dan memperkasakan Perkara 152 dengan peruntukan khas, iaitu tidak boleh ada sebarang pindaan terhadap Perkara 152 tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), usul untuk menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah lama disuarakan dalam kalangan sarjana dan persatuan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina seawal tahun 1980-an.

Dengan mengimbas kembali sejarah, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua fanca di Nusantara sebelum kedatangan kuasa Barat lagi. Oleh itu, tidak harus timbul sebarang polemik terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi.

Pada masa yang sama, minat terhadap bahasa Melayu dalam kalangan orang bukan Melayu juga semakin meningkat, bahkan banyak penulisan dalam bahasa Melayu dalam bentuk fiksyen dan bukan fiksyen berjaya dihasilkan oleh mereka.

Terdapat segelintir pihak yang memperlekehkan bahasa kebangsaan sendiri yang membawa natijah yang buruk terhadap bahasa Melayu. Kajian-kajian yang dibuat menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin merosot dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi, termasuklah pelajar Melayu. Mereka menganggap bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa sains dan teknologi dan oleh itu tidak perlu diberikan perhatian.

Dakwaan yang mengatakan bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ilmu seperti bahasa Inggeris adalah tidak masuk akal sama sekali. Banyak negara maju yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing dalam semua aspek, iaitu dari pendidikan hingga ke peringkat hubungan antarabangsa. Bahkan para pemimpin negara tersebut seperti dari Perancis, Jerman, Rusia, Belanda, China, Jepun, Korea dan Arab bangga menggunakan bahasa sendiri semasa menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa.

Maka itu, sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia tidak lagi berpolemik terhadap keistimewaan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Sebaliknya kita seharusnya menyahut dan menyokong usaha kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, DBP perlu diberi kepercayaan yang lebih luas dari segi kuasa autonomi dan bantuan kewangan untuk memperkasakan bahasa Melayu. Melaluinya, DBP dapat melaksanakan program-program khas yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Penghasilan buku-buku berbahasa Melayu tentang ilmu sains dan teknologi serta sejarah perjuangan rakyat berbilang kaum perlu digiatkan agar rakyat Malaysia dapat memahami dan menghayati perjuangan semua kaum dalam membina negara Malaysia, di samping mendapatkan ilmu pengetahuan.

Rakyat Malaysia dari semua peringkat tidak kira rakyat biasa, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan penggunaan bahasa Melayu. Alangkah baiknya jika ahli-ahli politik terutamanya ahli parlimen yang  begitu sibuk dalam percaturan politik mengambil inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu di kawasan parlimen masing-masing.

Apa-apa pun, sudah sampai masanya untuk menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama bagi rantau ASEAN yang memiliki hampir 300 juta orang penuturnya. Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa rumpun yang setanding dengan bahasa-bahasa lain.

Marilah kita mengelakkan stigma bahasa Melayu bukan bahasa ilmu, sebaliknya menerima, menghayati dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan ideologi dan fahaman politik perlu menerima dan menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa Keluarga Malaysia. Ayuh kita berpegang pada slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”!

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!