Oleh Kho Thong Eng
4 April 2022, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam bidang sintaksis, frasa ialah binaan yang terdiri daripada satu perkataan atau lebih yang dapat berfungsi sebagai konstituen dalam struktur ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Buku berfaedah.
  2. Itu berfaedah.

Dalam ayat 1, terdapat dua frasa, iaitu kata nama umum buku yang menjadi frasa nama subjek dan frasa kerja berfaedah yang menjadi predikat. Dalam ayat 2, kata ganti diri tunjuk umum itu menjadi frasa nama subjek, manakala kata kerja berfaedah menjadi frasa kerja predikat. Hal ini dikatakan demikian kerana kata nama buku dan itu menduduki konstituen subjek ayat dan kata kerja berfaedah menduduki konstituen predikat.

Jika subjek dalam ayat 1 dan 2 dikembangkan, ayatnya tetap mempunyai dua frasa. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Buku itu berfaedah.

Dalam ayat 3 di atas, frasa nama buku itu menduduki konstituen subjek dan dikira sebagai satu frasa, dengan kata nama am buku sebagai inti frasa nama ditambah kata ganti nama tunjuk itu sebagai penerang frasa nama. Oleh itu, ayat 3 juga terdiri daripada dua frasa. Hal ini dapat dirumuskan seperti yang berikut:

Ayat = FN subjek (Inti + Penerang) + FK predikat

FN = buku + itu

Sesuatu frasa boleh juga menjadi komponen binaan frasa yang lebih besar.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Buku sejarah milik Ali berfaedah.

Dalam ayat 4, frasa nama subjek terbina daripada dua frasa nama yang lebih kecil, iaitu frasa nama buku sejarah dan frasa nama milik Ali. Hubungannya tetap terikat pada struktur Inti + Penerang. Dalam hal ini, kata sejarah ialah penerang kepada kata buku (inti), dan kata Ali ialah penerang kepada kata milik (inti).

Selain itu, frasa milik Ali menjadi frasa penerang kepada frasa inti buku sejarah. Hubungan yang berselirat ini dapat dianalisis dalam bentuk rajah pohon (tatabahasa Transformasi-Generatif) atau mengikut analisis konstituen terdekat (Leonard Bloomfield). Sila lihat rumus yang berikut:

Ayat = FN (buku sejarah milik Ali) + FK (berfaedah)

FN = FN1 (buku sejarah) + FN2 (milik Ali)

FN = FN1 (frasa inti) + FN2 (frasa penerang)

FN1 = buku (kata inti) + sejarah (kata penerang)

FN2 = milik (kata inti) + Ali (kata penerang)

 

Ayat 4 boleh juga dikembangkan lagi, seperti yang berikut:

  1. Buku sejarah Eropah milik Ali itu berfaedah.

 

Dalam ayat 5 di atas, ayat terbina daripada frasa nama subjek buku sejarah Eropah milik Ali itu dan frasa kerja predikat berfaedah. Dalam hal ini, inti frasa nama (buku) diikuti oleh frasa nama penerang 1 (sejarah Eropah), frasa nama penerang 2 (milik Ali) dan kata penentu belakang (itu). Oleh itu, analisis bagai ayat tersebut adalah seperti yang berikut:

Ayat = FN + FK

FN = buku sejarah Eropah milik Ali itu

FK = berfaedah

FN = Inti FN + FN Penerang 1 + FN Penerang 2 + Penentu belakang

Inti FN = buku

FN Penerang 1 = sejarah Eropah

FN Penerang 2 = milik Ali

Penentu belakang = itu

 

Dua frasa nama dapat juga wujud secara serentak atau berderetan sebagai subjek ayat. Dalam hal ini, frasa nama kedua boleh diselitkan sebagai keterangan atau maklumat tambahan secara parentesis, iaitu terpisah oleh tanda koma, tanda pisah atau tanda kurung. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Seorang murid, ketua pengawas sekolah itu, menyampaikan ucapan.

6b.  Seorang murid – ketua pengawas sekolah itu – menyampaikan ucapan.

6c.  Seorang murid (ketua pengawas sekolah itu) menyampaikan ucapan.

 

Ayat = FN + FK

FN = FN1 (FN2)

FN1 = seorang murid

FN2 = ketua pengawas (FNa)  +  sekolah itu (FNb)

FK = menyampaikan ucapan

 

Frasa nama kedua dengan maklumat tambahan yang diselitkan itu bersifat variasi atau alternatif frasa nama pertama. Oleh itu, frasa nama kedua boleh digugurkan atau dapat menggantikan frasa nama pertama tanpa menjejaskan struktur binaan ayat.  Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Seorang murid menyampaikan ucapan.

7b.  Ketua Pengawas sekolah menyampaikan ucapan.

 

Ada juga frasa nama yang dianggotai inti frasa nama dan frasa relatif. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Pokok yang tinggi itu telah tumbang.

8b.  Pokok kelapa yang tinggi itu telah tumbang.

Dalam kelompok ayat 8 di atas, subjek ayat ialah pokok yang tinggi itu (8a) atau pokok kelapa yang tinggi itu (ayat 8b). Dalam ayat 8a, kata inti frasa nama subjek ialah pokok dan penerangnya ialah frasa relatif yang tinggi itu. Dalam ayat 8b, frasa nama inti ialah pokok kelapa dan frasa relatif penerang ialah yang tinggi itu.  Sila lihat analisis yang berikut:

Ayat 8a

Ayat = FN + FK

FN = inti FN + frasa penerang relatif + penentu belakang

Kata inti FN = pokok

Frasa penerang relatif = yang tinggi

Penentu belakang = itu

FK = telah tumbang

 

Ayat 8b

Ayat = FN + FK

FN = frasa inti FN + frasa penerang relatif + penentu belakang

Frasa inti FN = pokok kelapa

Frasa penerang relatif = yang tinggi

Penentu belakang = itu

FK = telah tumbang

 

Binaan frasa nama biasanya terdiri daripada Inti + Penerang, menurut hukum D-M, iaitu unsur yang diterangkan (D) harus mendahului unsur yang menerangkannya (M). Walaupun demikian, ada kalanya terdapat juga kecualiannya, iaitu unsur yang menerangkan (M) mendahului unsur yang diterangkan (D). Sila lihat contoh yang berikut:

Mengikut Hukum D-M

tayangan perdana

menteri muda

pusat transformasi bandar

 

Kecualian daripada Hukum D-M

perdana menteri

timbalan menteri

ibu pejabat

dua sikat pisang

Megat Ali

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.