8 April 2022, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Polemik yang berkaitan dengan bahasa kedua ASEAN kini menjadi topik perbincangan hangat di mana-mana sahaja, bukan sahaja di media sosial milik warga ASEAN bahkan menghiasi media arus perdana ASEAN. Ternyata bahawa gagasan daripada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia agar bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa antarabangsa, seterusnya menyerlahkan kewibawaan bahasa ini sebagai bahasa kedua ASEAN telah menerbitkan satu desakan untuk mengkaji semula gagasan ini.

Gagasan yang mendapat maklum balas positif rakan sejawat, iaitu Presiden Indonesia, Joko Widodo, meledak dengan pantas dan menimbulkan pelbagai reaksi. Antaranya termasuklah kenyataan Nadiem Makarim, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, yang menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua rasmi ASEAN. Penolakan beliau itu berintikan cadangan agar satu kajian dan perbincangan lanjut perlu dilakukan ke atas saranan Perdana Menteri Malaysia itu.

Para panel undangan ketika bersiaran secara langsung.

Sehubungan dengan itu, menerusi FB Live TV Majlis Profesor Negara, satu wacana telah diadakan yang bertajuk “Bahasa MelayuIndonesia sebagai Bahasa Antarabangsa”. Wacana ini menampilkan Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara (Malaysia), Prof. Dr. Ir Ari Purbayonto, Ketua Asosiasi Profesor Indonesia (Indonesia) dan Prof. E. Aminuddin Aziz, Asosiasi Profesor Indonesia (Indonesia) dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Felo Kluster Wanita dan Masyarakat, Majlis Profesor Negara.

Menurut Prof. Datuk Dr. Raduan Rose, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara, bahasa Melayu telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia berdasarkan sejarah yang ditelusuri oleh bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca serta terakam dalam Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu yang menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu yang dibuat bersama-sama pemimpin negara Malaysia semasa mencapai kemerdekaan. Sejak itu, bahasa Melayu terus berkembang dengan pesat dan mendorong YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mengangkat bahasa ini ke taraf antarabangsa khususnya sebagai bahasa kedua ASEAN.

Prof. Dr. Kamaruddin M. Said pula mencadangkan bahasa Melayu yang pernah dinamakan sebagai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan diteliti semula. Sekiranya disebut bahasa Melayu itu juga ialah bahasa Malaysia, mungkin tidak timbul pertentangan atau perbezaan ketara bagi menempatkan bahasa MalaysiaIndonesia sebagai bahasa ASEAN.

Beliau juga menyatakan bahawa pencapaian yang telah diraih oleh bahasa Indonesia di peringkat antarabangsa jauh lebih luas daripada bahasa Melayu dan boleh dianalogikan dengan budaya maritim di Alam Melayu ini, iaitu bahasa Indonesia sebagai kapal induk kerana mempunyai penutur lebih daripada 278 juta orang serta algoritma bahasa Indonesia yang lebih mantap.

Bahasa Melayu pula dianggap sebagai kapal pengiring yang akan memperkukuh kedaulatan serta kekuatan bahasa yang terbit daripada akar bahasa Melayu di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Tambahnya lagi, walaupun mempunyai bahasa serumpun tetapi tidak serupa dan dengan menggunakan analogi ini, beliau berhasrat agar permuafakatan bagi merealisasikan hasrat YAB Perdana Menteri ini akan menemukan jalan yang terbaik.

Prof. Datuk Dr. Raduan Rose, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara.

Dalam pada itu, menurut Prof. Dr. Ir. Purbayonto, penolakan Indonesia terhadap saranan ini berteraskan kedaulatan Undang-undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945. Menurut beliau, Indonesia mempunyai sejumlah 718 bahasa dan bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa daerah atau etnik Indonesia. Harus difahami oleh semua, bagaimana bahasa Melayu dan bahasa-bahasa daerah yang lainnya mengakari bahasa Indonesia lalu ditetapkan sebagai bahasa negara dan dinamai dengan nama bahasa Indonesia dan dimajukan serta akhirnya mempersatukan seluruh kepelbagaian rakyat Indonesia yang mempunyai 278 juta rakyat.

Walaupun diakari oleh bahasa Melayu Riau dan memiliki persamaan yang jelas dengan bahasa Melayu di Malaysia, kosa kata yang terdapat dalam bahasa Indonesia jelas ada perbezaannya kerana dipengaruhi oleh bahasa dari daerah yang telah diserap ke dalam bahasa Indonesia seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Sulawesi, Papua dan lain-lain. Demikianlah bagaimana bahasa Indonesia telah diperkasakan dan diperluas di serata dunia. Di negara tertentu, bahasa Indonesia juga telah menjadi bahasa kedua dan ketiga.

Prof. E. Aminuddin Aziz pula menjelaskan tentang pencapaian besar yang telah diraih oleh bahasa Indonesia sehingga meletakkan bahasa ini sebagai bahasa antarabangsa yang pertama kerana didasari oleh perlembagaan negara ini pada 28 Oktober 1928. Bahasa Melayu yang mengakari bahasa negara Indonesia dinamai dengan bahasa Indonesia agar senafas dengan iltizam kemerdekaan atas Sumpah Pemuda yang ketiga yang menyebut bahasa Indonesia merupakan bahasa persatuan bangsa Indonesia dan kemudiannya ditetapkan dalam Undang-undang Dasar 1945 Bahasa Negara Bahasa Indonesia.

Sejak itu, Indonesia tidak lagi menoleh ke belakang dalam usahanya memajukan korpusnya dengan memastikan 718 jenis bahasa yang meliputi 87 ragam dialek termasuklah bahasa Melayu dibina, dikembangkan hingga ke peringkat antarabangsa. Hingga kini, terdapat 47 negara di dunia merangkumi 428 institusi yang bertindak sebagai pusat pengembangan bahasa Indonesia dan mempunyai sejumlah 142 ribu pelajar asing yang aktif belajar bahasa ini. Hal ini menurutnya berdasarkan penelitian yang amat rinci oleh agenda politik bahasa negara ini yang meletakkan agenda bahasa juga merupakan misi untuk mengangkat kedaulatan negara Indonesia.

ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967 telah menggunakan bahasa Inggeris dalam urus tadbirnya kepada negara-negara anggota dan ketetapan untuk penggunaan bahasa MelayuIndonesia yang dicadangkan ini menurut pandangan beliau juga sama ada akan dilaksanakan di peringkat organisasi ataupun masyarakat ASEAN itu sendiri. Ujarnya lagi, bahasa itu harus berkembang secara semula jadi dan melalui strategi yang tepat agar dapat memberikan impak yang positif yang bukan secara paksaan.

Ketiga-tiga panel turut mencapai persetujuan bersama bahawa satu perancangan yang dianggotai oleh pakar bahasa dan pentadbir negara Indonesia, Malaysia dan Brunei khususnya daripada MABBIM serta negara ASEAN lainnya akan dipertemukan untuk perbincangan lanjutan bagi permuafakatan menetapkan bahasa kedua ASEAN.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!