8 April 2022, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha memperkukuh status bahasa Melayu di persada antarabangsa yang diterajui YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan ke beberapa negara di rantau ASEAN telah memberikan nafas baharu kepada bahasa ibunda kita. Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim dalam kenyataannya pula menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Sehubungan dengan itu, sebagai rakyat Malaysia, perlu ada agenda untuk memartabatkan bahasa Melayu agar tercapai hasrat untuk menawan ASEAN. Sebagai bahasa perantaraan, konsep bahasa serantau perlu difahami dari perspektif ilmiah ataupun politik. Bahasa Melayu yang bervariasi bergantung kepada masyarakat yang menuturnya. Oleh itu, masyarakat perlu memperkasakan dan memantapkan bahasa Melayu di negara sendiri terlebih dahulu sebelum meluaskannya ke peringkat yang lebih jauh.

Para panel undangan ketika bersiaran secara langsung.

Menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, mantan Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya, apabila negara merdeka, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa orang Melayu tetapi bahasa untuk rakyat Malaysia tidak mengira kaum. Banyak juga orang Melayu yang tidak berasa bangga dengan bahasa ibunda mereka dan lebih bermegah dengan bahasa asing. Sekiranya tiada rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri, maka akan hilanglah konsep jati diri. Yang paling penting ialah sikap. Gerakan untuk menyedarkan orang Melayu ini perlu diadakan bagi memulihkan kembali jati diri masyarakat agar mencintai bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara Malaysia.

Sebelum kita hendak menjual bahasa sendiri ke negara luar, kita perlu ada usaha untuk mencintai bahasa kita agar bahasa kita dihormati.

Tambah Yang Berhormat Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia pula, persoalan bahasa masih belum selesai dalam negara ini. Ahli politik muda banyak yang memperkecilkan usaha murni kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu ke pentas antarabangsa. Sikap ini perlu diubah kerana kita sepatutnya bangga akan identiti kita termasuklah dalam isu dasar budaya kebangsaan. Masyarakat perlu mempunyai satu identiti yang teguh untuk dijadikan benteng bagi berdepan dengan arus globalisasi.

Tidak salah jika kita bertutur dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa walaupun kita fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Kita boleh menjadikan bahasa Melayu sebagai satu strategi pemasaran yang baik kerana bahasa ibunda boleh menjadi sumber ekonomi yang dapat memajukan negara.

Hal ini turut dipersetujui oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, iaitu Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyatakan bahawa banyak ahli masyarakat yang tiada jati diri yang menyebabkan punca kegagalan dalam beberapa aspek pembentukan negara bangsa. Seharusnya sebagai rakyat Malaysia, kita harus berjiwa besar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Sudah terbukti bahawa bahasa ialah alat untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.

Apabila kita merdeka, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa orang Melayu. Jika orang Melayu tidak berbangga dengan jati dirinya, maka mudah untuk mereka menerima unsur dari luar. Oleh itu, jati diri masyarakat perlu dipulihkan kembali dengan mencintai bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara Malaysia.

Tambah Zack Kirana, iaitu Tutor Bahasa Melayu, dari MC Plus, orang Malaysia mempunyai dasar keterbukaan yang terlalu meluas terhadap bahasa asing. Istilah luar mudah mempengaruhi masyarakat kerana pengaruh dasar keterbukaan kita untuk menerima budaya dan bahasa asing yang begitu besar dalam masyarakat.

Kita perlu lantang dalam menegakkan kebenaran bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang wajib diaplikasikan.

Berdasarkan pengalamannya sebagai guru, banyak kosa kata dan peribahasa Melayu yang masih tidak diketahui oleh masyarakat. Oleh itu, kita perlu memulihkan bahasa sendiri yang tenat ini dalam kalangan masyarakat kita terlebih dahulu dalam usaha untuk memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu ke peringkat ASEAN.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada para panel undangan dalam Program Wacana Siri 336, terbitan Sinar Harian yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Sinar Harian termasuk di FB Sinar Harian dengan judul “Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN” pada pukul 3.00 petang tadi. Moderator program pula ialah Ismail Adnan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!