Oleh Suria Janib
11 April 2022, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi rantau ini tidak sepatutnya menjadi isu kerana pada asasnya bahasa ini daripada satu bahasa, iaitu bahasa Melayu. Menurut Felo Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, bahasa Indonesia yang kini mahu dianggap sebagai bahasa tersendiri atau bahasa baharu dengan menafikan bahasa Melayu sebagai asasnya, dengan mengaitkan kosa katanya yang banyak dipinjam itu bukan sahaja tuntutan meleset, malah bahasa tersebut sama sekali tidak benar apabila diteliti secara ilmiah.

Sifat campuran kosmopolitan yang dimiliki oleh bahasa Indonesia pada kosa katanya, seperti yang dihujahkan oleh Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, agensi kebahasaan unggul di Republik itu sebagai ‘dalil’ untuk menyatakan bahasa itu tidak sama lagi dengan bahasa Melayu yang merupakan induk awalnya, seperti yang masih dituturkan di beberapa daerah oleh etnik Melayu di Indonesia, waima di luar Indonesia, antaranya termasuklah Malaysia, Singapura dan Brunei, sama ada sebagai bahasa etnik Melayu ataupun bahasa negara.

Katanya, pandangan sosiolinguistik begini tidak terpakai walaupun bahasa itu merupakan nasionalisme linguistik bahasa Indonesia yang bukan sahaja tulen tetapi berkobar-kobar lagi dengan rasa bangga, cinta dan setia akan bahasa yang amat luar biasa. Hal ini demikian kerana faktor linguistik sahaja yang berupa wadah pengenalpastian jitu untuk menentukan pertalian kekeluargaan sesuatu bahasa itu dengan yang lain.

Oleh itu, disiplin linguistik perbandingan digunakan untuk memastikan hubungan genetik antara bahasa Indonesia yang didakwa sebagai banyak mencapah sehingga boleh dianggap sebagai bahasa yang tidak sama lagi dengan bahasa Melayu yang memang diakui sebagai sumber asalnya.

 

Menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo lagi, walaupun dengan ribuan kata pinjaman itu, bahasa Indonesia disahkan tanpa sebarang keraguan sebagai bahasa Melayu berdasarkan beberapa kriteria linguistik. Antaranya termasuklah kata asasnya, iaitu bilangan kecil dalam bentuk angka 1 hingga 10, rujukan bahagian badan seperti hidung serta panggilan kepada kegiatan dasar seperti makan, selain nama untuk unsur alam seperti air.

 

Selanjutnya, bahasa Indonesia yang semacam mahu didakwa sebagai jauh lebih moden daripada bahasa Melayu, hanya merupakan bahasa daerah tertentu sahaja di Indonesia, yang bukan sahaja masih memiliki tetapi tetap utuh menggunakan semua ciri asas dan yang asal juga yang ada pada struktur bahasa Melayu di mana-mana tempat sahaja, baik dari segi fonetik, fonologi, morfologi mahupun sintaksisnya.

“Oleh itu, bahasa Indonesia akan tetap berupa bahasa Melayu kerana sistem linguistiknya ialah sistem bahasa Melayu. Antaranya termasuklah morfologi derivatif menerusi proses pengimbuhan untuk menghasilkan kata, misalnya berpotensi, memfavoritkan dan penstabilan daripada kata pinjaman Inggeris, iaitu potential, favourite dan stable,” katanya lagi.

Faedah Bersama antara Semua Pihak

Dalam pada itu, sasterawan dan budayawan tanah air, Dr. Lim Swee Tin sangat optimis bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ASEAN disebabkan negara anggota pertubuhan ini banyak yang menggunakan bahasa Melayu, selain Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.

Selain itu, bahasa  Indonesia yang dimaksudkan itu terlalu luas sifatnya yang meliputi bahasa-bahasa daerah dan wilayah yang sangat berbeza. Tidak timbul isu terjejasnya keharmonian kesan daripada Malaysia membangkitkan cadangan ini, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Persoalan tentang isu kebahasaan masih boleh dicari jalan penyelesaiannya yang tidak menggeserkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Jika dilihat dari sudut pencapaian, andai berjaya kelak cadangan ini menjadi kebanggaan kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia. Tidak timbul persoalan siapa-siapa yang membolot faedahnya. Kedua-dua negara seharusnya bersepakat memperjuangkan hasrat ini.

Menurut Dr. Lim Swee Tin, jika kembali kepada hakikat sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa serumpun, tidak adanya keperluan yang diutamakan untuk meletakkan bahasa Melayu atau bahasa Indonesia sebagai terulung di rantau sebelah sini.

Sesungguhnya Malaysia telah lama berjaya membakukan bahasanya sehingga menjadi bahasa kebangsaan yang diterima seluruh rakyat. Kenyataan ini tidak dinikmati oleh banyak negara lain yang bahasanya sukar disatukan apabila masing-masing pemilik bahasa mempertahankan hak dan ingin mendaulatkannya oleh ciri kedominanannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.