Oleh Kho Thong Eng
11 April 2022, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015 : 263), kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemerihal kepada predikat atau perangkai antara subjek dengan frasa utama dalam predikat. Kata pemeri dalam bahasa Melayu ialah kata ialah dan adalah.

1a.  Aminah ialah jururawat.

1a.  Hobinya ialah (aktiviti) berenang

1b.  Warna kegemarannya ialah (warna) putih.

Kata pemeri ialah harus diikuti oleh kata nama, frasa nama atau kata lain seperti kata kerja atau kata adjektif yang dapat berfungsi sebagai frasa nama. Dalam ayat 1a, kata pemeri ialah diikuti kata nama jururawat. Dalam ayat 1b, kata pemeri ialah diikuti kata kerja berenang yang menjadi penerang frasa nama aktiviti berenang. Dalam ayat 1c, kata pemeri ialah diikuti oleh kata adjektif putih yang merupakan penerang bagi frasa nama warna putih.

Kata pemeri adalah harus diikuti oleh kata adjektif atau frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Aminah adalah cerdik.

2b.  Hadiah ini adalah untuk Aminah.

Dalam ayat 2a, kata pemeri adalah diikuti oleh kata adjektif cerdik dan dalam ayat 2b, kata pemeri adalah diikuti frasa sendi nama untuk Aminah. Dalam hal ini, adalah merupakan kata hubung huraian atau kualitatif.

Kata pemeri ialah biasanya hadir dalam ayat yang subjek dan predikatnya bersifat persamaan atau ekuatif. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Malaysia.

3b.  Bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Melayu.

 

4a.  Aminah ialah jururawat.

4b.  *Jururawat ialah Aminah.

Ayat 3a bersifat ekuatif. Oleh itu, subjek dan predikatnya dapat diterbalikkan tanpa menjejaskan maksud ayat. Walau bagaimanapun, ayat 4a menampilkan persamaan tetapi tidak betul-betul ekuatif. Oleh itu, makna ayat 4a akan terjejas maksudnya jika kedudukan subjek dan predikatnya diterbalikkan seperti dalam ayat 4b. Hal ini dikatakan demikian kerana bukan semua jururawat ialah Aminah atau bernama Aminah.  Dalam hal ini, kata jururawat bersifat umum, manakala kata Aminah bersifat khusus.

Oleh sebab subjek ayat bahasa Melayu mesti terdiri daripada frasa nama, penggunaan silap kata sendi nama antara di hadapan ayat sebagai subjek menjejaskan sifat ekuatif ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  *Antara tetamu yang hadir ialah Aminah.

5b.  Antara lain, tetamu yang hadir ialah Aminah.

5c.  Tetamu yang hadir, antara lain, ialah Aminah.

5d.  Aminah antara tetamu yang hadir.

5e.  Aminah adalah antara tetamu yang hadir.

5f.   Aminah termasuk dalam kalangan tetamu yang hadir.

5g.  Tetamu yang hadir meliputi Aminah.

Ayat 5a salah kerana frasa sendi nama antara tetamu yang hadir tidak boleh menjadi subjek ayat. Sebaliknya, frasa sendi nama antara lain harus dijadikan sebagai keterangan tambahan bagi tetamu yang hadir. Frasa itu boleh diletakkan pada awal atau di tengah ayat, seperti dalam ayat 5b dan 5c. Pilihan lain ialah frasa antara tetamu yang hadir dijadikan predikat ayat. Dalam hal ini, kata pemeri adalah boleh ditambah sebagai unsur opsyenal (ayat 5e). Dalam ayat 5f, kata kerja termasuk yang bermaksud “tergolong” dengan frasa sendi nama seperti  dalam kalangan boleh ditambah sebagai pilihan. Dalam hal ini, kata pemeri ialah atau adalah tidak boleh dijadikan sebagai unsur iringan dalam ayat. Satu lagi pilihan ialah kita menggunakan kata kerja meliputi, mencakupi atau merangkumi untuk membina variasi struktur dengan makna yang sama ayat (5g).

Oleh sebab kata pemeri adalah tidak boleh diikuti kata hubung, binaan ayat sedemikian dianggap salah. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  *Bantuan itu adalah untuk menyantuni orang miskin.

6b.  *Bantuan itu untuk menyantuni orang miskin.

6c.  Bantuan itu disediakan untuk menyantuni orang miskin.

6c.  Bantuan itu untuk orang miskin.

6d.  Projek itu adalah untuk orang miskin.

Ayat 6a tidak betul kerana kata pemeri adalah tidak boleh diletakkan di hadapan kata untuk yang merupakan kata hubung keterangan tujuan yang berada pada pangkal klausa subordinat keterangan untuk menyantuni orang miskin. Selain itu, ayat itu tidak ada klausa bebas. Ayat 6b masih salah kerana tiada klausa bebas. Ayat 6c betul kerana ayat majmuk itu terdiri daripada klausa bebas dan klausa subordinat. Ayat 6c betul kerana kata untuk ialah kata sendi nama dalam ayat tunggal yang mempunyai struktur Frasa Nama + Frasa Sendi nama. Dalam ayat 6d, kata pemeri adalah merupakan unsur iringan yang opsyenal.

Kata pemeri ialah dan adalah, sebagai kata perangkai antara subjek dengan predikat, bersifat opsyenal, dan boleh digugurkan tanpa menjejaskan struktur binaan ayat. Hal ini berbeza daripada kata perangkai copula seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia ialah guru.

7b.  Dia guru.

8a.  Dia adalah di sana.

8b.  Dia di sana.

9a.  Mereka adalah pandai.

9b.  Mereka pandai.

10a.  He is a teacher.

10b.  *He a teacher.

11a.  She was over there.

11b.  *She over there.

11a.  They are clever.

11b.  *They clever.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.