12 April 2022, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Saranan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat. Ada juga segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa pemilihan bahasa Melayu itu akan meminggirkan bahasa Inggeris. Tanggapan ini kurang tepat kerana penggunaan bahasa Melayu tidak menjejaskan penguasaan terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa Melayu dilihat sebagai satu pengukuhan terhadap fungsinya sebagai lingua franca di negara ASEAN.

Menurut Profesor Madya Dr. Shahidi A. Hamid, pensyarah di Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, saranan YAB Perdana Menteri Malaysia tersebut sangat baik dan wajar disokong. Pelbagai senario yang wujud akibat saranan ini tidak harus terjadi sekiranya masyarakat menelusuri kembali fakta sejarah kewujudan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca telah lama wujud sebelum era imperialisme Barat di wilayah Nusantara. Seawal abad ke-7 Masihi lagi, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi, bahasa perdagangan, bahasa perundangan, bahasa persuratan dan bahasa hubungan antarabangsa bagi kerajaan lama yang wujud di Nusantara. Antaranya termasuklah Kerajaan Sriwijaya, Kerajaan BentanTemasik, Kerajaan Riau, dan Kerajaan Melaka. Jatuh bangun pusat-pusat pemerintahan ini tidak langsung memudarkan keberadaan bahasa Melayu di rantau ini. Sesuai dengan sifatnya yang dinamik dan praktis, bahasa Melayu terus perkasa menerusi penyesuaian setempat dan seiring dengan perkembangan zaman dan pemodenan negara penuturnya.

Profesor Madya Dr. Shahidi A. Hamid.

 

Menurut beliau, dengan melihat sejarah penggunaan bahasa Melayu yang meluas pada suatu ketika dahulu membuktikan bahawa bahasa ini sebuah bahasa yang unggul dan kukuh penguasaannya. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Melayu juga mampu mempertingkatkan sinergi negara-negara ASEAN demi kesepakatan serantau dan masyarakat ASEAN.

 

Tambah beliau, sejarah telah menunjukkan bahasa Melayu tersebar luas di luar Nusantara pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Nusantara kerana keunikan dan keindahan bahasanya yang mudah untuk dituturkan dan difahami. Sehubungan dengan itu, pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN tepat pada masanya kerana bahasa ini mewakili wilayah penutur Melayu yang luas dengan pensejarahan yang kukuh.

Dalam pada itu, pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di Malaysia juga perlu diperkukuh dalam setiap aspek kehidupan rakyat agar kita yang mencadangkan penggunaannya di luar Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara-negara ASEAN yang lain. Pemupukan rasa cinta terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat dalam segenap aspek kehidupan perlu wujud sebagai jati diri bangsa.

Malaysia perlu bangkit untuk menjadi contoh terbaik sebagai pengguna bahasa Melayu bagi memastikan hasrat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN tercapai. Selain itu, masyarakat penutur bahasa Melayu di rantau ini juga perlu bersama-sama memartabatkan penggunaan bahasa ini dalam setiap aspek kehidupan tanpa melihat perbezaan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!