14 April 2022, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Perasmian Kursus Bahasa Melayu dan Kelas Pertama anjuran Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (PROTON), telah diadakan pada pukul 5.30 petang semalam secara dalam talian. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Puan Salawati Mohd Yusoff (Ketua PROTON Group Communications), Encik Amran Mohd Tomin (Pengarah Kanan, Human Capital of PROTON), YBrs. Dr. Li Chunrong (Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON) dan YBhg. Dato’ Goh Hin San, iaitu Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, yang juga Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).

Tetamu kehormat dan para peserta kursus semasa Majlis Perasmian Kursus Bahasa Melayu dan Kelas Pertama yang bersiaran langsung secara dalam talian.

Kursus anjuran PROTON ini merupakan antara inisiatif yang cukup baik yang dirancang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Sehubungan dengan itu, Kursus Bahasa Melayu ini merupakan yang julung-julung kalinya diadakan kepada pelabur China yang melabur di PROTON,  mencatatkan era baharu dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di Malaysia.

Menurut YBhg. Dato’ Goh Hin San, Pusat Kebudayaan Han Malaysia diberi tugas untuk mengelolakan buku teks, tenaga pengajar dan latihan kepada pelabur dan pakar asing dari negara China. Kursus ini yang diadakan ini diharapkan dapat menjadi satu teladan kepada semua pelabur asing yang datang ke Malaysia untuk belajar bahasa kebangsaan negara, iaitu bahasa Melayu.

Menurut beliau, kursus ini penting untuk memberikan pendedahan  kepada para pelabur tentang bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan yang diperjuangkan selama ini.

Walaupun kursus ini tidak melibatkan peserta yang banyak, iaitu hanya 21 orang tetapi implikasi dan maknanya sangat besar bagi saya. Saya juga telah mendapat sokongan daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran atas usaha dan penganjuran kursus ini oleh PROTON.

Tambah beliau lagi, kursus ini merupakan inisiatif PROTON, khususnya YBrs. Dr. Li Chunrong yang mengumpulkan pakar mereka untuk belajar bahasa Melayu. Melalui kursus ini, para peserta atau pelabur diharapkan dapat mempelajari bahasa Melayu secara lebih sistematik seperti konsonan dan perkataan harian yang mudah supaya mereka dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu dengan cepat. Selain itu, kemahiran berbahasa Melayu ini juga penting bagi pelabur untuk berkomunikasi dengan semua kakitangan PROTON dan juga dengan masyarakat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.