Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan konsep dan pernyataan. Selaras dengan peredaran zaman yang menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai medium komunikasi, masyarakat seharusnya bijak dan peka terhadap penggunaan bahasa yang bersesuaian untuk mengelakkan penggunaan ragam bahasa yang tidak tepat dalam konteks tertentu.

Kewujudan media sosial, seperti Facebook, Instagram, Youtube, Twitter, dan WhatsApp, membolehkan masyarakat berkomunikasi secara maya dalam rangkaian yang lebih luas, seterusnya melewati batas waktu dan jarak fizikal. Menurut Mohd Sobhi dan Azizah Sarkowi, laporan World Stats pada tahun 2017 menunjukkan bahawa pengguna media sosial di Malaysia, khususnya pengguna Facebook mencapai 90 peratus.

Walaupun medium ini dapat menambahkan kosa kata baharu dalam konteks media sosial, seperti kata “swafoto” , “swafoto bersama” , “tuna foto” , “sohor kini” dan “tular”, medium ini turut mengundang masalah. Contohnya, penggunaan bahasa singkatan yang menjejaskan kegramatisan struktur kata yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Bahasa singkatan merupakan hasil pemendekan huruf atau gabungan huruf yang jelas mempunyai struktur kata yang berbeza daripada struktur kata bahasa Melayu asal seperti yang dinyatakan oleh Kridalaksana. Penggunaan bahasa ringkas dapat menjejaskan kemurnian dan keaslian bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Tay Meng Guat dalam artikelnya yang bertajuk “Analisis Linguistik terhadap Penggunaan Bahasa SMS dalam Kalangan Guru Pelatih”.

Menurut Nur Azlina Jalaluddin dan Nurhasyinda Shahidan pula, pencemaran bahasa menyebabkan masalah kerancuan bahasa. Rozali Rejab turut menjelaskan bahawa kerancuan bahasa meliputi kecelaruan, kekacauan, pencemaran, kesalahan dan kesilapan dalam penggunaan bahasa. Kerancuan bahasa pasti memberikan kesan terhadap bahasa Melayu, termasuklah penggunaan bahasa singkatan yang digunakan secara meluas dalam media sosial. Oleh hal yang demikian, masalah ini perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan martabat bahasa kebangsaan dapat dipelihara daripada gangguan pelbagai anasir yang dapat menjejaskan sistem dan struktur bahasa tersebut.

Pembentukan kata singkatan ini biasanya melalui pelbagai proses. Pertama, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran vokal seperti dalam kata “saya”, “cantik” dan “pula” yang ditulis sebagai sy, cntk dan plk. Kedua, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran konsonan seperti dalam kata “boleh” yang ditulis sebagai bole. Ketiga, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran vokal dan konsonan seperti dalam kata “juga”, “sendiri”, “untuk”, “tengok” dan “nanti” yang ditulis sebagai gak, sdri, utk, tgk dan nt.

Yang keempat, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran suku kata seperti dalam kata “tidak”, “sudah”, “boleh” dan “assalamualaikum” yang ditulis sebagai tak, dah, leh dan askum. Kelima, pembentukan disebabkan oleh penggunaan angka, huruf dan simbol seperti dalam kata “dan”, “di”, “dua”, “sama-sama”, “selepas itu”, “tidak” dan “atau” yang ditulis sebagai n, d, 2, sama2, pas2, x dan @. Akhir sekali, pembentukan disebabkan oleh penggantian bahasa Inggeris seperti kata do it yourself, private message dan thank you yang ditulis sebagai DIY, pm dan tq.

Pada dasarnya, penggunaan bahasa singkatan berlaku disebabkan oleh kebebasan bersuara dalam media sosial. Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Malaysia memberikan kebebasan bersuara kepada rakyatnya. Konsep kebebasan bersuara ini diperuntukkan di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, konsep kebebasan bersuara ini disalah tafsir oleh sesetengah individu yang menganggap bahawa mereka bebas meluahkan pendapat walaupun dengan cara yang salah. Begitu jugalah yang berlaku dalam penggunaan kata singkatan kerana penulis bebas menulis pandangan dalam bentuk yang diinginkan.

Selain itu, pengaruh media sosial merupakan faktor yang menyebabkan berlakunya penggunaan bahasa singkatan dalam media sosial. Menurut Nik Lah, penutur mementingkan isi mesej dan kepantasan menghantar mesej berbanding dengan penggunaan bahasa yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, struktur ayat dan gaya bahasa.

Tambahan pula, penggunaan bahasa singkatan dianggap sebagai trend dalam penulisan mesej di media sosial. Oleh itu, seseorang individu itu akan dianggap sebagai ketinggalan zaman, berfikiran konvensional dan tidak kreatif jika menggunakan cara penulisan yang mengikut struktur nahu yang betul.

Penggunaan bahasa singkatan yang tidak terkawal boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu. Selagi pembaca memahami maksud perkataan yang ingin disampaikan, pematuhan terhadap penggunaan bahasa yang betul tidak akan dititikberatkan.  Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong pula berpendapat bahawa amalan komunikasi di media sosial banyak mengubah sifat kata bahasa Melayu apabila golongan muda suka bereksperimen dan mengambil risiko ketika berbahasa, yang akhirnya membuka ruang kepada kemerosotan kualiti bahasa Melayu itu sendiri.

Seterusnya, penggunaan bahasa singkatan yang tidak terkawal menyebabkan kekeliruan berbahasa. Menurut Zaidi Ismail, kualiti bahasa kini ditentukan oleh pengguna. Kuasa penentuan penggunaan bahasa, sama ada mematuhi peraturan linguistik yang tepat atau tidak bergantung sepenuhnya kepada pengguna. Apabila pengguna tidak menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul, kualiti bahasa yang digunakan dalam media sosial menjadi celaru, yang akhirnya menimbulkan kekeliruan berbahasa, selain menyebabkan pengguna bahasa tidak dapat membezakan cara ejaan kata yang tepat kerana amalan ini menjadi rutin dalam komunikasi harian.

Media sosial banyak membantu untuk menyampaikan komunikasi kerana sifatnya yang mudah, murah dan pantas. Namun begitu, kerancuan bahasa yang digunakan dalam medium tersebut seperti penyingkatan kata merupakan masalah yang boleh menjejaskan kemahiran berbahasa penutur, malah menggugat bahasa Melayu itu sendiri. Oleh hal yang demikian, pengguna perlu peka akan perkara ini dan meminimumkan penggunaan bahasa yang tidak tepat termasuklah, bahasa singkatan ketika berkomunikasi. Pengguna juga harus bijak menggunakan bahasa yang betul mengikut situasi supaya citra dalam penggunaan bahasa yang betul dapat diteladani oleh semua pihak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!