Oleh Kho Thong Eng
27 April 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata untuk dan kata bagi tergolong sebagai kata tugas, iaitu golongan kata yang heterogen dan menjalankan tugas tatabahasa dalam ayat. Secara sekali imbas, kedua-dua kata tugas ini seolah-olah sama namun hakikatnya lebih rumit daripada yang disangka.

Kata untuk dan kata bagi dapat berfungsi sebagai kata hubung keterangan tujuan, iaitu kata hubung yang menghubungkan klausa bebas dengan klausa subordinat yang merupakan klausa keterangan tujuan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Ali berusaha untuk berjaya.

1b.  Ali berusaha bagi berjaya.

Dalam ayat 1a dan 1b di atas, terdapat klausa bebas Ali berusaha, dengan subjek Ali dan predikat kata kerja berusaha. Selain itu, terdapat klausa keterangan tujuan untuk berjaya atau bagi berjaya yang meliputi kata hubung keterangan tujuan untuk atau bagi, subjek Ali yang digugurkan dan predikat kata kerja berjaya. Oleh itu, kata untuk dan kata bagi dapat digunakan secara bertukar ganti dalam ayat kelompok 1.

Kata untuk dapat berfungsi sebagai kata hubung pancangan komplemen tetapi kata bagi tidak dapat berfungsi sedemikian. Dalam hal ini, klausa pancangan komplemen menjadi subjek ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Untuk Ali berjaya agak sukar.

2b.  *Bagi Ali berjaya agak sukar.

Selain menjadi kata hubung, kata untuk dan kata bagi juga merupakan kata sendi nama. Dalam hal ini, kata untuk mendukung maksud “bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan”, manakala kata bagi tidak dapat berfungsi sedemikian. Selain itu, kata untuk berada pada frasa sendi nama yang menjadi predikat ayat. Hal ini tetap benar jika ayat yang berkenaan disongsangkan atau diubah jenisnya kepada ayat tanya. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Hadiah ini untuk Ali.

3b.  Untuk Ali hadiah ini.

4a.  *Hadiah ini bagi Ali.

4b.  *Bagi Ali hadiah ini.

5a.  Untuk Alikah hadiah ini?

5b.  *Bagi Alikah hadiah ini?

Sendi nama untuk boleh menduduki pangkal sendi nama keterangan tetapi tidak begitu bagi kata bagi. Sebagai frasa sendi keterangan, frasa untuk Ali dapat dialihkan kedudukannya dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Hadiah ini dibeli untuk Ali.

6b.  Untuk Ali dibeli hadiah itu.

7a.  *Hadiah ini dibeli bagi Ali.

7b.  *Bagi Ali dibeli hadiah ini.

Jika kita membandingkan kelompok ayat 3, 4 dan 5 dengan kelompok ayat 6 atau 7, kita akan mendapati bahawa maksud “bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan” cukup jelas pada sendi nama untuk dalam kelompok ayat 6 dan 7. Apabila kata kerja dibeli digugurkan, kita akan mendapati struktur dan maksud ayat yang berkaitan tetap sama.

Sebagai kata sendi nama, kata untuk dan bagi dapat hadir secara bervariasi dalam bahagian penerang ayat. Dalam hal ini, frasa sendi nama penerang untuk Ali atau bagi Ali boleh berada pada kedudukan subjek atau predikat ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Hadiah untuk Ali sudah dibeli.

8b.  Hadiah bagi Ali sudah dibeli.

 

9a.  Dia sudah membeli hadiah untuk Ali.

9b.  Dia sudah membeli hadiah bagi Ali.

Dalam kelompok ayat 8 dan 9, frasa sendi nama untuk Ali dan bagi Ali merupakan frasa sendi nama penerang bagi kata nama hadiah yang menjadi inti frasa nama hadiah untuk Ali atau hadiah bagi Ali. Sebagai frasa sendi nama penerang, frasa untuk Ali dan bagi Ali tidak boleh dipisahkan dari inti frasa nama, iaitu hadiah. Oleh itu, seluruh frasa nama hadiah untuk Ali atau hadiah bagi Ali harus dialihkan kedudukannya bersama-sama. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Sudah dibeli hadiah untuk Ali.

10b.  Sudah dibeli hadiah bagi Ali.

11a.  Sudah dibeli hadiah untuk Ali dia.

11b.  Sudah dibeli hadiah bagi Ali dia.

Sendi nama bagi dapat berpadanan dengan kata kerja seperti menurut dan mengikut. Hal ini tidak berlaku bagai sendi nama untuk. Keadaan yang sama tetap berlaku dalam ayat susunan biasa atau songsang. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Bagi Ali, hal itu karut.

12b.  Menurut Ali, hal itu karut.

12c.  Mengikut Ali, hal itu karut.

12d.  Hal itu karut bagi Ali.

13a.  *Untuk Ali, hal itu karut.

13b. *Hal itu karut untuk Ali.

 

Kata untuk dapat ditambah imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan dengan maksud yang pelbagai. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Harta pusaka itu belum beruntuk.

14b.  Sudah teruntuk dividen bagi para pemegang saham syarikat itu.

14c.  Kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk projek itu.

14d.  Dia menguntukkan wang untuk membiayai persekolahan anaknya.

14e.  Peruntukan untuk bidang kesihatan tidak mencukupi.

Kata bagi tidak diberi berimbuhan dalam bahasa baku. Penambahan imbuhan hanya berlaku dalam bahasa percakapan atau bahasa basahan. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  *Dia tidak membagi saya untuk bercuti.

15b.  Dia tidak mengizinkan saya untuk bercuti.

16a.  *Mereka membagikan hasil tangkapan.

16b.  Mereka membahagikan hasil tangkapan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.