27 April 2022, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Keindahan lirik lagu dapat mengangkat martabat bahasa Melayu dalam industri muzik. Pemilihan kata-kata yang menarik dan puitis amat penting untuk mencipta lirik lagu selain melodi yang sedap didengar. Begitu juga dengan keindahan bahasa yang menggunakan bahasa yang santun dan baik dari segi makna dan betul istilahnya dapat memberikan nilai estetika yang meninggalkan kesan mendalam di hati para pendengar lagu dari zaman lampau hingga kini.

Menurut Datuk Habsah Hassan, iaitu penulis lirik tanah air terkenal, lirik yang baik terhasil apabila dapat mengenal cerita dalam lagu itu terlebih dahulu. Kemudian, diikuti dengan mencari kata-kata yang indah yang menggunakan bahasa yang baik dan betul.

Karya seni juga harus datang dari hati dan lirik yang indah dipilih berdasarkan mutu dan estetika bahasa yang indah. Lirik lagu pada hari ini juga bagus liriknya, namun perlu menggunakan bahasa dan bait-bait lirik yang betul dari segi istilah bahasa Melayu.

Tambah Fauzi Marzuki pula, iaitu seorang penggubah dan pencipta lagu terkenal, ketika menggubah dan mencipta lagu, perkara utama yang dititikberatkan ialah menjaga kualiti lagu dari segi melodi dan lirik tanpa merosakkan keindahan bahasanya.

Menurut penyanyi tanah air yang terkenal dengan lagu “Janji Manismu”, iaitu Dato’ Aishah, setiap bait lirik mempunyai maksud yang tersendiri dan amat terkesan di hati seseorang sekiranya dihayati dengan sepenuh jiwa dan perasaan. Beliau turut menjelaskan bahawa lirik lagu yang baik dan betul dapat mengangkat bahasa Melayu yang bukan sahaja dalam kalangan pendengar tempatan, malah pendengar di luar negara yang seterusnya dapat memupuk minat mereka untuk mengenali bahasa Melayu dengan lebih dekat.

Moderator dan para panel undangan ketika bersiaran secara langsung.

Bagi penyanyi generasi baharu, iaitu Aina Abdul, keindahan lirik lagu dalam lagu-lagu lama lebih terkesan di hatinya. Hal ini disebabkan oleh kekuatan bahasa Melayu yang digunakan dalam lirik lagu yang sangat indah dengan susunan yang baik dan sempurna.

Pendapat yang sama turut diakui oleh Na’im Daniel, seorang penyanyi popular dan penulis lirik yang semakin meningkat namanya. Baginya, lirik lagu yang dihasilkan adalah mengikut peredaran zaman, namun pengekalan bahasa yang baik dan santun perlu dikekalkan. Katanya lagi, melodi lagu-lagu lama begitu tulus dengan seni kata yang sangat indah dan menarik sehingga menjadi begitu terkesan di hatinya.

Tambah penyanyi Eric Fuzi pula, estetika bahasa dalam lirik lagu yang menggunakan bahasa yang puitis dan santun boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada para panel undangan dalam Rancangan Lidah Rakyat: Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman yang juga bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi tadi yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Program ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja. Yang turut hadir dalam program ini ialah Adlin Aman Ramlie sebagai moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.