Oleh Mohamad Ibrahim
27 April 2022, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 24 Februari 2015 telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum memberikan lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam.

PBT bertanggungjawab memastikan pelaksanaan peruntukan bahasa melalui Undang-undang Kecil Iklan, Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan, Garis Panduan Papan Iklan Luar dan lain-lain lagi. Pada asasnya, DBP dan PBT perlu bekerjasama dan berpadu tenaga untuk membentuk, memupuk dan melestarikan persekitaran bandar dan daerah dengan wajah dan citra Malaysia melalui bahasa kebangsaan.

Lantaran itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWTgh) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong, dan Majlis Daerah Raub telah melaksanakan program pemantauan bahasa di tempat awam di sekitar Temerloh, Bentong dan Raub.

Program ini disertai oleh Munsyi Dewan (Encik Mohd Asri Abdul Razak), pegawai Majlis Perbandaran Temerloh, pegawai Majlis Perbandaran Bentong, pegawai Majlis Daerah Raub dan pegawai DBPWTgh. Pemantauan bahasa kebangsaan di tempat awam ini dilaksanakan memandangkan masih banyak kesalahan bahasa yang dilakukan di tempat tumpuan awam.

Selain itu, DBP dapat menilai keakuran pemilik iklan mematuhi arahan KPKT dan undang-undang kecil iklan PBT dengan memperagakan iklan yang telah disahkan oleh DBP sahaja. Pemantauan bahasa ini dilaksanakan secara sinergi dengan Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Raub.

Pemantauan ini dijalankan bersama-sama dengan Bahagian Pelesenan atau Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Raub untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan pentadbiran masing-masing dan untuk mewajibkan pemohon mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu daripada DBP terlebih dahulu sebelum memohon lesen atau permit iklan.

Hasil dapatan pemantauan mendapati bahawa penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan tanda dan papan iklan di sekitar Temerloh, Bentong  dan Raub secara keseluruhannya memuaskan. Banyak usaha telah dan sedang diteruskan untuk memaparkan ejaan, terjemahan, pemilihan kata dan penggunaan tatabahasa yang betul. Dalam konteks ini, ukuran papan iklan premis perniagaan turut dititikberatkan.

Sesuatu yang amat mengaspirasi ialah penggunaan tulisan Jawi pada nama jalan dan bahagian permulaan papan tanda papan premis perniagaan. Kebanyakan premis perniagaan mengambil inisiatif dengan menukar papan tanda baharu atau menampal pelekat bertulisan Jawi di atas papan tanda sedia ada.

Kerajaan negeri Pahang juga mewajibkan penggunaan tulisan Jawi selari dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada bulan November 2018 supaya tulisan Jawi diperkasakan dan dibudayakan di negeri Pahang. Nama taman perumahan juga menggunakan frasa tempatan dan flora serta menampilkan tulisan Jawi seperti Taman Anggerik, Taman Mawar, Taman Raub Jaya, dan Taman Muhibah.

Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa kebangsaan bersama-sama bahasa asing dan penggunaan bahasa asing sepenuhnya masih terdapat pada papan iklan perniagaan. Ada juga aspek ejaan, tatabahasa dan terjemahan yang tidak tepat di beberapa papan tanda.

Penggunaan bahasa Melayu dan bercampur dengan bahasa Inggeris.

 

Contoh perkataan yang tidak tepat dan menggunakan kombinasi bahasa Melayu dan bahasa asing adalah seperti pasaraya, kedai handphone, tengah hari, hakmilik, urusniaga, temujanji, bag, reverse parking, penyaman udara dan saloon. Terdapat nama jalan dan taman perumahan yang menggunakan tulisan Jawi tetapi angkanya ditulis dalam tulisan Rumi.

Nama taman perumahan yang menggunakan tulisan Jawi tetapi angkanya ditulis dalam tulisan Rumi.

 

Kesilapan ejaan untuk perkataan hak milik.

 

Tiada penggunaan dwibahasa untuk arahan tempat parkir tersebut.

Program pemantauan bahasa kebangsaan di tempat awam seperti yang dilakukan di Temerloh, Bentong dan Raub ini dilaksanakan untuk mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat awam seperti pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah bahasa kebangsaan. Program ini adalah untuk merakam, menegur dan mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar yang segera.

Secara khususnya, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menilai tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang; menilai keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang seperti yang diperuntukkan oleh Undang-undang Kecil Iklan yang diterima pakai oleh PBT; mengenal pasti kesilapan bahasa, dan mengenal pasti punca masalah tersebut serta membuat teguran kepada pihak yang berkaitan; dan meningkatkan kerjasama dengan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta dengan menawarkan kursus kebahasaan, khidmat nasihat bahasa dan sebagainya untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan atau papan tanda.

Dalam pada itu juga, DBP telah menerbitkan buku Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan (2015) sebagai satu daripada usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu melalui pelbagai saluran penyampaian maklumat bahasa kepada masyarakat pengguna bahasa.

Buku ini mengandungi koleksi nama dan ungkapan yang melambangkan citra kebangsaan dengan ciri identiti nasional berdasarkan kumpulan kata yang merangkumi jenis flora, pakaian, makanan, permainan dan alat muzik di negara ini. Pemilihan kosa kata klasik dan moden dalam bahasa Melayu yang mendukung makna yang baik dan penggunaan bahasa yang betul dan indah selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995 pula memaktubkan bahawa pemantauan bahasa di tempat awam merupakan tugas dan tanggungjawab DBP untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul supaya digunakan dengan meluas bagi segala maksud melalui arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.

Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar 2009 menggariskan bahawa penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah merujuk dan mendapat pengesahan daripada DBP.

Jenis papan iklan luar pula meliputi iklan papan tanda (billboard), iklan di bumbung bangunan,  iklan di dinding, iklan digital/elektronik (LED), iklan di jejambat, jejantas, di galang, di  tiang, iklan pada LRT/MRT/BRT, iklan kain rentang/poster/bunting, iklan di pagar, iklan kotak bercahaya dan pelbagai iklan lain.

Selain itu, DBP juga menyediakan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP) bagi membantu menyelesaikan masalah dan kekeliruan yang berkaitan dengan hal kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan, pengurusan dan khidmat korporat DBP. KNDBP menyediakan perkhidmatan membantu menyelesaikan masalah penggunaan bahasa dari segi tatabahasa, ejaan Rumi atau Jawi, istilah dan tanda baca.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.