Oleh Kho Thong Eng
9 Mei 2022, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singkatan, akronim dan inisialisme ialah bentuk ringkas bagi mewakili satu atau lebih perkataan. Bentuk yang ringkas itu menjadi pilihan pihak tertentu atau masyarakat umum kerana lebih mudah ditulis, disebut dan diingat oleh para pengguna bahasa.

Singkatan berkaitan dengan bentuk ringkas bagi satu perkataan atau lebih, manakala akronim melibatkan pembentukan satu kata melalui pencantuman bahagian kata daripada dua perkataan atau lebih. Singkatan tidak bertaraf kata tetapi akronim bertaraf kata tunggal. Sila lihat contoh singkatan yang berikut:

  1. Tempat. Contohnya, Kuala Lumpur (KL)
  2. Tahun. Contohnya, Tahun Masihi (TM)
  3. Organisasi. Contohnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
  4. Gelaran, Jawatan, Pangkat dan Sapaan. Contohnya, Yang Amat Berhormat (YAB),

Profesor (Prof.), Yang Berusaha (YBrs.)

  1. Kata umum. Contohnya, salinan kepada (s.k.), dan sebagainya (dsb.)
  2. Lambang atau simbol. Contohnya, sentimeter (cm)
  3. Kata pinjaman Arab yang popular. Contohnya, Allah Subhanahuwataala (Allah SWT), Ibrahim alaihissalam (Ibrahim a.s.)

Akronim ialah kata tunggal yang terhasil dengan menggabungkan bahagian kata daripada dua perkataan atau lebih. Setiap akronim harus mempunyai vokal pembunyi, dan akronim dianggap sebagai kata tunggal. Dalam hal ini, akronim terbahagi kepada beberapa jenis, seperti yang berikut:

  1. Akronim kata nama khas yang melibatkan pencantuman huruf pangkal sejumlah kata. Akronim jenis ini ditulis dengan huruf besar keseluruhannya, dan meliputi akronim dengan satu suku kata atau lebih.

Contohnya ialah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), IPTAR (Institut Penyiaran Tun Abdul Razak) dan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), RAM (Random Access Memory) pada komputer, dan kad SIM (subscriber identification module).

  1. Akronim kata nama khas yang melibatkan pencantuman huruf dan suku kata daripada sejumlah perkataan. Akronim jenis ini ditulis dengan berpangkalkan huruf besar.

Contohnya ialah Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) dan Mara (Majlis Amanah Rakyat).

  1. Akronim yang terbentuk dengan mencantumkan bahagian awal kata. Akronim jenis ini mungkin kata nama khas atau kata nama am.

Contohnya ialah Bernama (Berita Nasional Malaysia), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), pawagam (panggung wayang gambar), dan cerpen (cerita pendek).

  1. Akronim yang terbentuk dengan mencantumkan bahagian awal kata pertama dengan bahagian lain kata atau seluruh kata yang mengikutinya.

Contohnya ialah asbut (asap kabut), hakis (habis kikis), jentolak (jentera tolak) dan jenama (jenis nama).

  1. Akronim yang terbentuk daripada campuran singkatan dan akronim.

Contohnya ialah CD-ROM, iaitu campuran singkatan CD (compact disk) dan ROM (Read-only memory).

Inisialisme merupakan singkatan yang terhasil dengan menggabungkan huruf awal setiap kata dalam sesuatu kata majmuk. Dalam hal ini, terdapat pelbagai jenis inisialisme, seperti yang berikut:

  1. Inisialisme yang ada vokal pembunyi tetapi disebut huruf demi huruf.

Contohnya ialah SOP (Standard Operating Procedure), EPU (Economic Planning Unit), UM (Universiti Malaya) dan BAM (Badminton Association of Malaysia).

  1. Inisialisme yang tiada vokal pembunyi.

Contohnya ialah PWTC (Putera World Trade Centre), PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

Ada bentuk ringkas yang ada vokal pembunyi, tetapi mempunyai dua variasi sebutan. Jika disebut huruf demi huruf, bentuk itu ialah inisialisme. Namun demikian, jika disebut sebagai satu kata, bentuk itu ialah akronim. Contohnya ialah MAS (Malaysian Airline System).

Biasanya akronim nama khas dan inisialisme tidak dapat ditambah imbuhan.  Walau bagaimanapun, akronim dan inisialisme itu dapat wujud dalam kata majmuk.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Akronim kata nama khas dalam kata majmuk.

Contohnya ialah penerbangan MAS, Pasar Tani Felda, Maktab Rendah Sains Mara, dan peneroka Felda.

  1. Inisialisme dalam kata majmuk.

Contohnya ialah Setiausaha Agung PBB, pelaksanaan GST, ahli FAM, dan kajian EPU.

Sesetengah akronim nama am dapat ditambah imbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:

debunga:       mendebungakan, pendebungaan, terdebunga

jenama:          berjenama, menjenamakan, penjenamaan

hakis:             menghakis, terhakis, hakisan, penghakisan

purata:            memutarakan, pemutaraan

Dalam hal pembentukan singkatan atau akronim, kata hubung atau gandaan dalam deretan kata yang berkenaan tidak diambil kira. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Kata hubung

Dewan Bahasa dan Pustaka:                                                        DBP

Pegawai Tadbir dan Diplomatik:                                                   PTD

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara         Perhilitan

  1. Gandaan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu                                         PBB

Ada akronim atau inisialisme yang dapat digandingkan dengan kata ganti nama diri orang ketiga -nya. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Operasi komputer itu lambat kerana RAM-nya hanya lapan gigabait.
  2. Kad SIM-nya sudah rosak.
  3. CD-ROM-nya masih baharu.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.