Oleh Periasamy Muthan
10 Mei 2022, 12:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hasrat murni Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan bahasa Melayu jelas tergambar dengan penggunaan bahasa tersebut dalam lawatan rasminya ke luar negara seperti Brunei, Thailand dan Indonesia baru-baru ini. Bahkan, beliau mengambil satu lagi langkah yang lebih pragmatik dengan menyusulkan bahasa Melayu supaya dijadikan sebagai bahasa kedua ASEAN.

Walaupun cadangan Perdana Menteri Malaysia tersebut diterima baik oleh Presiden Indonesia pada awalnya, namun kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang menteri Indonesia telah mengubah keadaan. Menteri Indonesia tersebut menolak cadangan tersebut dan sebaliknya menyatakan bahawa bahasa Indonesia lebih sesuai untuk dijadikan bahasa kedua ASEAN. Hujahan bahawa bahasa Indonesia dipertuturkan oleh lebih daripada 250 juta orang berbanding dengan bahasa Melayu dijadikan sandaran untuk kenyataannya.

Cadangan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob tersebut bukanlah sesuatu yang dibuat tanpa sebarang pertimbangan teliti. Sebaliknya, beliau berani mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN setelah meneliti kedudukan bahasa Melayu dari aspek sejarah. Kajian dan catatan sejarah yang telah dijalankan sebelum ini mendapati bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca di Nusantara seawal abad ke-6 lagi. Para pedagang dari China dan India yang singgah di Kepulauan Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara mereka dengan orang tempatan. Malahan, ramai daripada mereka mempelajari bahasa Melayu kerana menyedari akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan.

Sementara itu, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara yang merupakan seorang pejuang bahasa, budaya dan warisan Melayu tersohor menyatakan bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai lingua franca di Nusantara, bahkan bahasa Indonesia itu sendiri didasari oleh bahasa Melayu. Beliau menyatakan bahawa pejuang kemerdekaan Indonesia dalam Sumpah Pemuda 1945 ketika Kongres 1928 dan 1938 memperakukan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa wilayah atas dasar kedudukannya sebagai satu daripada bahasa terawal di Asia Tenggara.

YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim turut mengukuhkan pandangannya dengan menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa asas bagi tujuh negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Brunei,Singapura, Selatan Thailand dan juga bagi golongan minoriti Kemboja dan Selatan Filipina. Oleh itu, beliau menuntut bahawa bagi mengelakkan sebarang pergeseran geopolitik, bahasa Melayu lebih layak dan sesuai dijadikan bahasa kedua ASEAN.

Begitu juga dengan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, turut menyuarakan pendapatnya. Menurut beliau, dalam sejarah itu sendiri tercatat bahawa bahasa Melayu amat sinonim dengan penduduk rantau ini. Beliau juga berpendapat  bahawa bahasa Melayu ialah bahasa supra yang digunakan di Nusantara sejak beberapa abad.

Sehubungan dengan usaha pemerkasaan bahasa Melayu, kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan DBP untuk mengambil langkah-langkah yang jitu dan  sewajarnya bagi mengangkat martabat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi sehingga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, di samping meningkatkan penggunaan bahasa Melayu  dalam bidang ilmu, komunikasi, diplomasi dan seni budaya.

Dalam merealisasikan hasrat dan harapan kerajaan tersebut, Sidang Meja Bulat bagi Pemartabatan Bahasa Melayu telah dianjurkan oleh DBP. Persidangan tersebut dihadiri lebih daripada 45 orang pemimpin dan pejuang bahasa Melayu yang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan di Kuala Lumpur. Persidangan Meja Bulat tersebut dipengerusikan oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim yang merupakan seorang peneraju pemartabatan bahasa Melayu.

Para pemimpin dan pejuang bahasa menghadiri Sidang Meja Bulat bagi Pemartabatan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh DBP.

Dalam peristiwa bersejarah tersebut, semua pihak bersetuju dan sebulat suara menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk meminda dan memperkasakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang akan memberikan kuasa yang lebih luas kepada DBP terhadap pengurusan hal-hal yang berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia. Malahan, para perwakilan meja bulat turut mengesyorkan agar meletakkan DBP di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Langkah memperkasakan Akta DBP itu pastinya akan menghidupkan dan melestarikan roh bahasa Melayu seiring dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Bahasa Melayu bukanlah milik sesuatu kaum tertentu tetapi milik setiap penduduk di Nusantara. Adalah menjadi harapan agar bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kedua ASEAN yang menjadi elemen penting dalam sosiobudaya masyarakat di rantau ini. Rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan budaya yang menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, sewajarnya berusaha menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi rasmi dan tidak rasmi. Malahan, kita juga harus berasa bangga dan menyokong usaha pemimpin negara ini untuk menjadikan bahasa Melayu  sebagai  bahasa kedua ASEAN.

Kita perlu sedar bahawa walaupun YAB Dato’ Sri Ismail Sabri berusaha memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan tanggungjawabnya kepada agensi kerajaan seperti DBP, namun sebagai rakyat Malaysia, kita juga harus berkongsi tanggungjawab tersebut sebagai usaha nasional. Dengan tanggungjawab dan komitmen kesemua pihak, maka akan terjamin kejayaan pemartabatan bahasa Melayu  kelak. Bak kata peribahasa, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

 

Datuk M. Periasamy, Penganalisis Sosial−Politik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.