13 Mei 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Masyarakat Malaysia acap kali terkeliru dengan ejaan perkataan dalam bahasa Melayu sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kesalahan bahasa. Kebanyakannya juga tidak menyedari bahawa perkataan yang dieja tersebut salah. Dalam usaha membantu menyedarkan, memperbetul kesalahan dan meningkatkan kefahaman masyarakat akan bahasa kebangsaan, Bernama Radio telah menjemput Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Abdul Ghani Abu untuk berkongsi isu yang berkaitannya dalam slot Cakna Bahasa, kelolaan Nazira Noran.

Menurut  Abdul Ghani, kesalahan bahasa pada Hari Raya dapat dilihat dari tiga aspek, iaitu kesalahan ejaan perkataan umum, kesilapan ejaan nama kuih-muih dan kata sapaan atau kata panggilan dalam keluarga. Menurutnya lagi, terdapat beberapa kata umum yang acap kali salah ejaannya ketika digunakan dalam media sosial.

Hari Lebaran atau Hari Lembaran. Lebaran dan lembaran ialah dua perkataan yang berbeza jika merujuknya dalam Kamus Dewan Perdana. Penggunaan yang tepat ialah Hari Lebaran. Menurut Kamus Dewan Perdana, Hari Lebaran bermaksud hari yang dimuliakan dan hari yang dirayakan oleh umat Islam, iaitu pada 1 Syawal. Manakala lembaran pula bermaksud helaian buku atau helaian akhbar.

Tambahnya lagi, kesalahan ejaan perkataan “Aidilfitri” juga berlaku. Namun begitu, masih ada yang masih mengejanya secara terpisah. Hari Raya pula yang sebenarnya perlu dieja secara terpisah kerana merupakan dua perkataan yang berbeza. Walau bagaimanapun, masih ada dalam kalangan kita yang mengejanya secara salah, iaitu “Hariraya”.

Encik Abdul Ghani Abu ketika bersiaran secara langsung.

Penggunaan perkataan “saling” juga acap kali digunakan secara salah oleh masyarakat. Beliau menyatakan bahawa penggunaan perkataan “saling” akan menyebabkan kelewahan atau pembaziran bahasa. Frasa kerja berimbuhan yang digandakan sebenarnya sudah membawa maksud saling. Tidak perlu menggunakan perkataan “saling” sebelum perkataan tersebut agar tidak terjadinya lewah. “Saling” bermaksud secara berbalas-balasan oleh dua pihak.

Tambahnya lagi, banyak orang sering menulis dan menyebut “saling kunjung-mengunjungi” sedangkan itu salah. Sebaliknya, kita hanya perlu menulis “saling mengunjungi”. Contoh kesalahan lain yang selalu digunakan ialah “saling maaf-memaafkan” dan yang sebetulnya ialah “saling bermaafan”.

Perkataan “balik kampung” juga sebenarnya salah dan yang betulnya ialah balik ke kampung. Hal ini demikian kerana penggunaan kata sendi “ke” perlu dalam situasi tersebut. Kebanyakan orang juga sering menggunakan perkataan “mertua” tetapi penggunaan yang betul dan tepat ialah “mentua”. Antara ejaan perkataan lain yang selalu menimbulkan kekeliruan termasuklah “sampin” atau “samping” dan sebutannya yang betul “sampin”.

Menurut beliau, kebanyakan masyarakat juga sering mengeja “nasi impit” tetapi ejaan sebenarnya ialah “nasi himpit”. Perkataan “impit” tiada dalam Kamus Dewan Perdana, sebaliknya hanya ada perkataan “himpit” yang bermaksud menekan dan menindih hingga mampat. Ada juga yang sering mengeja perkataan “satay” dan “sate”, “baulu” dan bukannya “bahulu” serta “semperit” dan bukannya “semperet”. Ada juga yang menggunakan tanda sempang pada perkataan ketupat-rendang sedangkan penggunaannya itu salah.

Demikian antara penerangan menarik oleh panel program dan beliau turut berharap agar pengguna bahasa dapat menggunakan bahasa yang betul dan tepat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.