15 Mei 2022, 08:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gagasan mengantarabangsakan bahasa Melayu yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menuntut komitmen berterusan daripada pelbagai pihak dalam usaha merealisasikannya. Tanpa usaha dan komitmen tersebut, gagasan tersebut akan tinggal sebagai cakap kosong semata-mata. Atas faktor tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengundang tiga ahli panel yang berpengalaman untuk berkongsi maklumat mengenainya dan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bertindak sebagai moderator dalam Rancangan Sembang Tamu: Bahasa Melayu di Persada Dunia Siri 4, yang bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP semalam.

Para panel dan moderator ketika bersiaran secara langsung.

Pengarang dan Penggiat Budaya, Puan Zalina Abdul Aziz, yang lebih dikenali sebagai Ninot Aziz menyatakan bahawa kita tidak mungkin mencapai kekuatan ekonomi sebagai sebuah bangsa dalam arus globalisasi tanpa kekuatan seni budaya dan warisan termasuklah dari aspek bahasa. Beliau memberikan contoh negara seperti Korea, yang mempamerkan kekuatan budaya mereka dari pelbagai segi termasuklah dalam dunia perfileman, teknologi dan penggunaan bahasa.

Tambahnya lagi, setelah 20 tahun, gelombang Korea atau Hallyu, filem Korea telah menerima pengiktirafan sebagai filem bukan berbahasa Inggeris pertama yang memenangi Anugerah Filem Terbaik dalam Pesta Filem Akademi pada tahun 2019. Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi melalui dasar kebudayaan yang terperinci setelah bertahun lamanya. Semua pihak dalam negara ini sebenarnya perlu mendukung bahasa Melayu jika mahu membawa kepada pengantarabangsaan bahasa Melayu dan menerimanya sebagai satu penyatuan negara seperti ketika era tahun 1970-an sehingga tahun 1990-an.

Dalam usaha untuk membuat masyarakat jatuh cinta akan bahasa, mereka perlu mengenali hikayat atau legenda Melayu serti Hang Tuah, Bidasari atau segala filem P. Ramlee dan menjadikannya sebagai suatu kecintaan. Beliau mencadangkan agar pelaksanaan dasar bahasa dan budaya diperkukuh dalam semua bidang termasuklah pendidikan. Selain itu, usaha membudayakan bahasa dan budaya melalui industri kreatif dan mempromosikan bahasa dan budaya di persada antarabangsa perlu giat dilaksanakan jika ingin menerajui agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu,

Tun Dr. Ismail Abdul Rahman merupakan negarawan hebat yang hadir dalam sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1957 dengan memakai persalinan lengkap baju Melayu dengan keris. Beliau pernah mengungkapkan agar setiap rakyat yang memberikan taat setia kepada negara melengkapkan diri dan mempelajari bahasa kebangsaan. Pemimpin pada hari ini perlu percaya akan keunggulan bahasa Melayu dan tidak boleh hanya melakukannya secara santai sahaja tetapi melakukan transformasi bahasa dan budaya tamadun kita dengan mencontohi tamadun seperti negara China.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan pula, negara memerlukan sasterawan, negarawan dan budayawan dinamik yang mampu mengolah, membaca dan menterjemahkan kekuatan dalaman yang dimiliki oleh karya agung negara ini dan mampu menggabungkan segala kekuatan elemen tersebut bagi membuanakan dan mengantarabangsakan tradisi ilmu tersebut.

Moderator turut menambah bahawa masyarakat Malaysia perlu memahami dan mengetahui bahawa pada zaman moden ini, UNESCO sebenarnya mengiktiraf beberapa karya klasik Melayu seperti Sulatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, manakala pantun dan Dondang Sayang dari aspek kebudayaan.

Tambah ahli panel lagi, tidak ada salahnya gagasan mengantarabangsakan bahasa Melayu oleh YAB Perdana Menteri itu sebagai suatu tindakan politik atau suatu usaha mencari satu kekuatan politik kerana Perdana Menteri terdahulu juga berbuat sedemikan.

Bahasa Melayu sebenarnya sudah terbukti dalam sejarah sebagai bahasa ASEAN pada suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, pelbagai cara perlu dilakukan bagi memastikan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN menjelang tahun 2025. Contohnya, dengan mencontohi tindakan negara jiran seperti Indonesia yang menyediakan guru bahasa di pihak kedutaannya di seluruh ASEAN dan dunia.

Ahli panel ketiga, iaitu YBhg. Datuk Periasamy Muthan, selaku penganalisis politik pula berkata, apabila sesuatu hasrat telah diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, sewajarnya agensi yang berkaitan dengan komunikasi menjalankan pelbagai kempen bagi merealisasikan hasrat tersebut. Oleh itu, perlu ada satu gelombang atau gerakan yang melibatkan semua lapisan masyarakat dalam merealisasikan hasrat tersebut kerana bahasa Melayu merupakan milik semua dan bukan hanya milik orang Melayu semata-mata.

Kita perlu menghidupkan roh bahasa Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 152. Setakat ini, hanya YAB Perdana Menteri yang dilihat menggunakan bahasa Melayu ketika berurusan di luar negara tetapi menteri lain masih belum menyahut seruan tersebut dan sewajarnya hasrat tersebut dilakukan secara kolektif.

Sebelum mengakhiri perbincangan, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa isu-isu yang dibicarakan ini akan dilanjutkan perbincangannya dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang akan berlangsung pada 22 Mei  2022 hingga 24 Mei 2022 di DBP dan mengalu-alukan penyertaan semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.