17 Mei 2022, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Proses pembelajaran bahasa berlaku dalam minda sedar manusia apabila pelajar perlu menguasai tatabahasa bahasa kedua sehingga bahasa itu dikuasai sepenuhnya. Menurut Kamarudin Haji Husin dalam buku Pedagogi Bahasa Perkaedahan, maksud bahasa kedua ialah “bahasa yang kedua dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang diperoleh”.

Bahasa kedua diperoleh dan dikuasai menerusi proses pembelajaran. Hal ini dipersetujui oleh Zuraini Ramli dalam artikelnya yang bertajuk “Psikolinguistik dalam Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua”, yang menyatakan bahawa penguasaan bahasa kedua selalunya diperoleh menerusi pembelajaran, bukannya pemerolehan.

Proses ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal, serta memerlukan banyak latihan dan pengulangan sehingga menjadi satu tabiat. Pembelajaran yang bersifat formal ini menekankan proses latihan dan pengulangan kerana proses tersebut dapat membentuk suatu kebiasaan.

Proses ini merupakan satu daripada prinsip pembelajaran bahasa kedua yang sangat penting yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan ahli sarjana bahasa dan pendidikan dari dahulu hingga kini. Oleh sebab pelajar bukan natif tidak mempunyai intuisi bahasa, pelajar tersebut lebih cenderung untuk memilih bentuk yang kurang tepat ketika berbahasa kerana banyak dipandu oleh pengetahuan struktur dan tatabahasa sahaja.

Pada era tahun 1980-an, Abdullah Hassan pernah menyatakan bahawa seseorang guru yang mengajar bahasa kedua haruslah memastikan pelajar melalui proses latihan yang begitu rapi, terutamanya bagi pelajar yang sering gagal menguasai pembelajaran bahasa kedua disebabkan oleh lakuan bahasa ibunda. Edwin Ray Guthrie dalam bukunya, iaitu Psychology of Learning menyatakan bahawa pembelajaran berlaku dengan adanya rangsangan dan diikuti oleh gerak balas.

Jika suatu gerak balas pernah berlaku dalam suatu keadaan tertentu, gerak balas yang sama akan berlaku sekali lagi apabila berada dalam keadaan tersebut pada masa yang lain. Apabila ada rangsangan dan tindak balas, maka berlakulah pembelajaran. Pada masa yang sama, menerusi kaedah pembelajaran di dalam kelas atau kursus tertentu, aspek tatabahasa dan pembelajaran secara kontekstual berjaya dikuasai oleh pelajar.

Oleh sebab itu, proses latihan dan pengulangan merupakan suatu proses yang sangat ideal untuk mempelajari lakuan baharu, terutamanya dalam pembelajaran bahasa kedua. Proses ini menghasilkan perubahan tingkah laku dan menyebabkan tingkah laku baharu tersebut tekal dalam diri pelajar yang mempelajari bahasa kedua dan memberikan kesan yang positif kepada pelajar kerana aktiviti latihan dan pengulangan dapat memberikan kefahaman yang mendalam.

Pelajar juga berjaya menguasai nahu dengan cara hafalan dan membuat latihan. Pada masa ini, pelajar berpeluang menguasai bahasa kedua melalui usaha menyusun kata dan menghasilkan ayat yang mematuhi rumus tatabahasa. Apabila rumus tatabahasa ini dihafal dan diaplikasikan secara kerap, penguasaan bahasa kedua pelajar semakin meningkat. Setiap kesalahan penggunaan rumus tatabahasa yang dilakukan turut perlu dijelaskan kepada pelajar. Pelajar juga diberi peluang untuk menghasilkan dan membetulkan ayat mengikut rumus tatabahasa.

Kaedah yang dijalankan dalam suasana kelas secara bersemuka atau secara dalam talian ini memerlukan usaha daripada guru kerana guru lebih berperanan sebagai model bahasa kedua yang betul. Guru akan membantu pelajar memberikan tumpuan terhadap aspek yang masih kurang tepat atau aspek yang memberikan masalah kepada pelajar. Dalam hal ini, guru akan meminta pelajar mengulang-ulang tingkah laku tersebut.

Dalam artikel “Psikolinguistik dalam Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua”, Zuraini Ramli menyatakan bahawa pelbagai cara latih tubi boleh dilaksanakan seperti pengulangan (pelajar mengulangi ayat apabila mendengar rangsangan), infleksi (pelajar menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang dijadikan rangsangan dengan bentuk infleksi yang lain apabila diulang), penggantian (pelajar menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang dijadikan rangsangan dalam perkataan yang lain), dan penyataan semula (pelajar mengolah semula ayat yang diperdengarkan sebagai rangsangan). Hal ini memberikan kepuasan kepada guru dan pelajar walaupun memerlukan masa yang agak panjang.

Berdasarkan pengalaman guru ketika melaksanakan proses latihan dan pengulangan terhadap pelajar bukan natif bahasa Melayu, guru tersebut mendapati bahawa proses latihan dan pengulangan dapat menghasilkan tindak balas yang positif dan memberikan kesan yang bermakna terhadap pembelajaran bahasa kedua. Dalam hal ini, pelajar lebih memahami pelajaran bahasa disebabkan oleh pengalaman yang diperoleh ketika proses latihan dan pengulangan yang mengupayakan pelajar untuk mengetahui klu bagi sesuatu kesalahan, seterusnya membetulkannya.

Selain itu, pelajar juga mampu meramalkan jawapan kerana proses latihan dan pengulangan mewujudkan pengetahuan yang baharu kepada pelajar. Keupayaan pelajar bukan natif yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua menerusi proses latihan dan pengulangan ini meningkatkan motivasi diri, seterusnya menyebabkan pelajar seronok untuk terus mempelajari bahasa Melayu.

Namun begitu, guru perlu menyediakan perancangan yang teliti sebelum melaksanakan proses latihan dan pengulangan. Dalam hal ini, guru perlu memastikan bahawa bahan latihan yang disediakan bersesuaian dengan tahap kognitif pelajar. Guru juga perlu kreatif dan inovatif supaya bahan latihan yang disediakan tidak menjemukan pelajar.

Pada masa yang sama, guru perlu bijak memanipulasikan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi agar latihan dan pengulangan yang dirancang dapat dilaksanakan dalam bentuk yang interaktif, menghiburkan, santai dan dapat dicapai serta dilakukan menerusi interaksi waktu nyata.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!