19 Mei 2022, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk terus memartabatkan bahasa Melayu, Akademi DBP telah diamanahkan untuk mengembangkan bahasa Melayu dengan menawarkan kursus penataran bahasa pada peringkat serantau dan antarabangsa bagi membina dan memperkukuh kefahaman, sekali gus memperteguh sikap dan memupuk kecintaan warganya dan masyarakat awam terhadap bahasa, sastera dan penerbitan melalui pelbagai aktiviti latihan dan penataran pelbagai bidang.

Walau bagaimanapun, masih banyak orang yang tidak mengetahui akan kewujudan akademi ini dan fungsinya. Oleh itu, Bernama Radio telah menjemput Ketua Akademi DBP, Dr. Haji Santrol Abdullah untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan Akademi DBP menerusi slot Cakna Bahasa, kelolaan penyampainya, Nazira Noran.

Menurut Dr. Haji Santrol Abdullah, Akademi DBP merupakan satu bahagian di DBP yang diwujudkan untuk merangka strategi dan kaedah pelaksanaan program pendidikan sepanjang hayat khususnya dalam pengajaran bahasa Melayu, sastera dan penerbitan.

Akademi DBP mula beroperasi pada 4 November 2011 dan telah menyediakan pelbagai program latihan dan penataran dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan kepada kakitangan DBP, golongan profesional dan masyarakat awam.

Tambahnya lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu, terdapat empat bentuk kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP, iaitu Kursus Individu (Berbayar), Kursus Berpakej, Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing dan Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP (bidang editorial).

Antara kursus yang menjadi rebutan termasuklah kursus bahasa khususnya tentang Kursus Wacana Profesional Berimpak Tinggi seperti Kursus Penulisan Surat Rasmi, memo, kertas cadangan dan laporan, pengucapan awam, tatabahasa dan sebagainya.

Selain itu, kursus penerbitan yang memfokuskan penerbitan berkualiti juga sering mendapat permohonan daripada khalayak umum. Antara kursus penerbitan yang ditawarkan termasuklah penyuntingan karya kreatif, pemantapan penulisan blurb dan resensi buku, pemantapan penyuntingan berketerampilan, penulisan buku teks dan lain-lain lagi.

Menerusi perkongsiannya itu juga, kebanyakan kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP merupakan kursus jangka pendek yang dilaksanakan dalam jangka masa antara dua hari hingga tiga hari.

Akademi DBP juga ada menyediakan Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing yang bukan sahaja untuk warga asing, bahkan untuk warganegara yang ingin mempelajari bahasa Melayu. Terdapat tiga peringkat bagi kursus ini, iaitu peringkat atas, tengah dan lanjutan.

Beliau juga memaklumkan bahawa jumlah penyertaan bagi setiap kursus yang ditawarkan tidak melebihi 40 orang dalam usaha untuk memberikan keselesaan dan kefahaman kepada para peserta yang terlibat. Bagi mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkaitan dengan kursus yang ditawarkan bolehlah melayari laman Facebook DBP kerana Akademi DBP selalu mempromosikan kursus-kursus yang ditawarkan.

Tambah beliau, bahasa merupakan satu elemen penting dalam hidup seseorang. Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa utama penduduk negara ini, bahasa ini juga perlu dipelajari terutamanya yang berkaitan dengan komunikasi rasmi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!