19 Mei 2022, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Satu Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan diadakan selama tiga hari, iaitu pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022 untuk memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia. Simposium tersebut akan menghimpunkan banyak tokoh tempatan dan luar negara dari 15 buah negara. Antaranya termasuklah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Singapura, Korea Selatan, Australia, China, Rusia, Perancis, Azerbaijan, Kampuchea, Uzbekistan, Amerika Syarikat dan Belanda.

Sehubungan dengan itu, slot Selamat Pagi Malaysia, terbitan RTM pada pagi tadi menampilkan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, Pegawai Khas Perdana Menteri, yang juga merangkap Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Simposium ini bakal menjadi sejarah penting buat negara dan melakarkan kejayaan kepada bahasa Melayu pada hari ini dan pada masa akan datang.

Sebagai tanda sokongan terhadap gagasan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, simposium ini diwujudkan dalam usaha memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Menurut Profesor Datuk Seri Awang Sariyan, banyak pakar bahasa dari serata dunia akan membincangkan pelbagai topik yang berkaitan dengan bahasa Melayu yang pastinya dapat mengumpulkan banyak data dan maklumat serta kajian terperinci berkaitan dengan bahasa Melayu. Melalui simposium ini juga, masyarakat akan lebih jelas mengenai fungsi DBP itu sendiri yang turut berperanan dalam usaha merealisasikan gagasan ini.

Selain itu, menurutnya lagi, dalam simposium ini juga akan diadakan Mesyuarat Meja Bulat Khas pada 23 Mei 2022, iaitu pada Isnin depan untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan bahasa Melayu khasnya cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Beliau berkata, sidang meja bulat tersebut adalah untuk merangka pelan tindakan dari segi ilmiah dan diplomasi bersama-sama negara ASEAN lain. Selain itu, melalui meja rundingan ini, beliau turut  berharap agar sebarang isu pertikaian tentang bahasa Melayu di peringkat ASEAN juga dapat diatasi.

Profesor Datuk Seri Awang Sariyan ketika berkongsi maklumat berkaitan dengan simposium.

Sementara itu, Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff pula berkata, banyak maklum balas yang diterima oleh Pejabat Perdana Menteri berhubung dengan kenyataan dan gagasan YAB Perdana Menteri yang serius mahu memartabatkan bahasa Melayu di peringkat nasional, ASEAN dan antarabangsa dan hal tersebut telah mendapat perhatian YAB Perdana Menteri sendiri.

Menurut Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, pelbagai aktiviti kebahasaan diadakan untuk menyemarakkan lagi simposium ini.

“Beliau sendiri mengutarakan pandangan selepas pertemuan dan perbincangan dengan pakar dan pejuang bahasa berkenaan dengan situasi yang melanda bahasa Melayu selepas pengumumannya itu.”

Menurutnya lagi, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan bagi menyemarakkan lagi simposium ini seperti Forum Memartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN, Debat Terbuka Keluarga Malaysia, Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 dan pameran.

Simposium anjuran bersama Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP dan ATMA, ini  akan dirasmikan Perdana Menteri pada hari Ahad ini. Oleh itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan simposium ini serta melonjakkan lagi semangat mencintai bahasa kebangsaan. Jangan lupa untuk melayari media sosial rasmi DBP untuk perkembangan terkini simposium ini. Tonton video penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!