Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa (DBP) 1959 sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus menjadikannya sebagai bahasa ilmu. Jelas Perdana Menteri, YAB Dato’ Ismail Sabri Yaakob, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberikan kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa. Menerusi pindaan tersebut, DBP akan memperoleh kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada di peringkat daerah, negeri dan persekutuan.
“Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada tahun 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1). Sehubungan dengan itu, langkah memartabatkan bahasa Melayu juga merupakan usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.”
Tambah beliau, banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Sehubungan dengan itu, rakyat negara ini sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa usaha mendaulatkan bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara.
“DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu kepada peranannya yang sewajarnya. Oleh itu, peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan dengan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.”
Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menegaskan betapa pentingnya semua sektor di Malaysia menggunakan bahasa Melayu secara menyeluruh kerana bahasa Melayu merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.