Oleh Aninah Janang
22 Mei 2022, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang kini sedang berlangsung di Wisma DBP, Kuala Lumpur, turut diadakan Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang menyaksikan 15 slot persembahan yang menghimpunkan pasukan daripada alumni debat universiti awan dan universiti swasta di negara ini, peserta dari luar negara dan pelajar sekolah yang terpilih.

Debat Keluarga Malaysia berlangsung selama tiga hari di Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Debat Terbuka Keluarga Malaysia, pada pagi ini dimulakan dengan Persembahan Pidato Antarabangsa 1 yang bertajuk “Keluarga Malaysia” dan dipersembahkan oleh peserta dari Rusia, Olga Vasilevskaya. Persembahan Pidato Antarabangsa 2 pula disampaikan oleh Aminata Koutoub Sano, dari Republik Guinea dengan tajuk “COVID-19, antara Musibah dengan Hikmah”.

 

Peserta dari Rusia, Olga Vasilevskaya, mempersembahkan pidatonya yang bertajuk Keluarga Malaysia.

Usul dengan tajuk “Pelaksanaan Gaji Minimum Penawar Masalah Ekonomi Rentan” menjadi persembahan untuk debat sesi pertama dengan pendebat Nur Ain Aqilah Rosli, Muhammad Jufri Firdaus Mahathir, dan Pavithra Panir Selvam sebagai kerajaan. Sementara itu, Muhammad Izzat Amirul Mohamed Saidey, Laila Sabiha Md Saberi, dan Alageasan Dhayalan sebagai pencadang.

Debat sesi kedua dengan usul bertajuk “Laut Cina Selatan: ASEAN Pilih Barat” menjadi pilihan pendebat Adib Aiman, Azzairi Rosle, dan Johan Mat, sebagai kerajaan. Sementara itu, Azri Abdullah, Osman Safee, dan Mohamed Zulfadhli, sebagai pencadang.

Usul dalam sesi ketiga pula bertajuk “Kestabilan Politik Lebih Penting daripada Kestabilan Ekonomi” menjadi pilihan pendebat Noor Ismahisham, Nur Habibah, dan Muhammad Syafiq Jebat, sebagai kerajaan, manakala pendebat Azizul Hakim Abdul Aziz, Shameerul Abd Samad, dan Osman Safee, sebagai pencadang.

Penggunaan bahasa Melayu yang cukup baik dalam kalangan para pendebat.

Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang berlangsung selama tiga hari yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 24 Mei 2022, menyaksikan pelbagai usul yang dibahaskan oleh para pembahas termasuklah Majikan Wajib Memberikan Pilihan Kerja dari Rumah kepada Pekerja; Bahasa Melayu Sudah Bersedia sebagai Bahasa ASEAN; Muhasabah Bencana COVID-19; Semangat Kenegaraan Penghalang Penyatuan Keluarga Malaysia; Demi Menjunjung Perkara 152, Mandat Penguatkuasaan Perlu Diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka; Anak Muda Kita sudah Bijak Berpolitik; Perang Dagang: Tindakan Berkecuali Menguntungkan; Bencana Alam Mengeratkan Keluarga Malaysia; JPN Wajar Memberikan Kerakyatan kepada Golongan Tidak Bernegara; Cukai Khas terhadap Pempengaruh di Media Sosial Wajar Dilaksanakan; dan Dewan Ini akan Memansuhkan Pembelian Terus dalam Perolehan Kerajaan.

Sepanjang Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang berlangsung pada hari pertama, diyakini program sebegini dapat menjadi wadah pemartabatan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan belia di negara ini dan pada peringkat antarabangsa amnya untuk terus menyakini bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang seharusnya dijulang sebagai bahasa pemersatu dalam pembentukan jati diri anak bangsa.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!