22 Mei 2022, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejarah tercipta apabila wadah bicara ilmiah diangkat sebagai satu agenda besar untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat negara dan antarabangsa. Bahasa Melayu yang selama ini didendangkan dengan kegemilangan masa lalu akan diberi roh yang bukan sahaja akan menghidupkan semangatnya, malah menjulangkannya tinggi ke awan, seterusnya menerbangkannya merentasi seluruh pelosok dunia oleh pahlawan bahasa. Seiring dengan itu, berpencak silatlah segala pahlawan bahasa ini di Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Daripada enam gelanggang yang dibuka pada hari ini, satu gelanggang memfokuskan isu “Bahasa Melayu dan Ekonomi”. Dengan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob dari Universiti Putra Malaysia, para panel berkongsi pandangan seperti Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dan Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul dari Malaysia berserta dengan Prof. Dr. Tan Xiao dari China dan Haji Yatiman Yusof dari Singapura.

Sebagai pemula bicara, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dengan bangganya menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan oleh lebih 300 juta pengguna. Dalam dunia digital baharu, bahasa Melayu digunakan oleh lebih 34% pengguna Internet dengan kadar pertumbuhan tahunan yang melebihi 25%. Penggunaannya yang sangat meluas ini dipengaruhi oleh sifat keluwesan bahasa Melayu yang menjadikannya mudah mengadaptasi dan diadaptasi di seluruh dunia. Bahasa Melayu dipaksa berkembang dengan kadar pesat dengan mengadaptasikan banyak istilah. Pada masa yang sama, pengadaptasian istilah ini diterima dengan sangat baik oleh ilmuan dan pengamal dalam bidang istilah tersebut.

Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai.

Namun begitu, beliau turut menegaskan bahawa terdapat cabaran besar yang perlu dihadapi oleh pahlawan bahasa untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca buat kali kedua. Cabaran pertama ialah kepercayaan, keyakinan dan minat untuk memajukan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Cabaran ini memerlukan usaha yang berterusan dengan cara meneroka dunia media baharu dan mengurangkan penonjolan bahasa Inggeris.

“Cabaran kedua pula ialah sokongan semua pihak, khususnya pemerintah, kerajaan dan perkhidmatan awam di seluruh pelosok negara. Cabaran besar ini memerlukan komitmen yang mengatasi aspek politik dan populariti. Seterusnya, cabaran ketiga adalah untuk mengatasi isu semantik dan sikap bangga anak bangsa. Penggunaan bahasa Melayu ini dilihat sebagai menggunakan bahasa rasmi Malaysia dan keadaan ini tidak boleh diterima di negara kepulauan Melayu, seperti Indonesia, Brunei, Kemboja dan Thailand.

Bagi Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul pula, bahasa Melayu telah mencapai kesempurnaan yang amat tinggi dalam pelbagai domain kehidupan, seperti kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara, ekonomi dan perniagaan. Hal ini terbukti apabila bahasa Melayu memiliki martabat sebagai bahasa besar dalam bidang ekonomi dalam tempoh melebihi satu alaf. Beliau menyuarakan keyakinannya bahawa tidak mustahil bagi bahasa Melayu untuk kembali bersinar di persada antarabangsa.

Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul.

Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul menyenaraikan beberapa strategi yang perlu dilaksanakan untuk melestarikan bahasa Melayu. Antara strategi yang diutarakan termasuklah memperbanyak penterjemahan buku ekonomi dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dan memantau bidang penyiaran dan media massa, terutamanya bahasa pengiklanan secara berterusan. Selain itu, beliau juga mengemukakan strategi dari segi meningkatkan program latihan dan pembangunan dalam organisasi tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan ekonomi dan perniagaan.

Pembentangan pada sidang keempat ini agak unik apabila pembentang ketiga, iaitu Prof. Dr. Tan Xiao membentangkan kertas kerjanya secara maya. Hal ini membuktikan bahawa jarak bukanlah alasan untuk bersama-sama berkongsi idea dan cadangan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ini. Pembentang ini berkongsi tentang Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Cina (CATTI) yang dilaksanakan di China sebagai suatu bentuk pensijilan. Pelancaran CATTI Bahasa Cina Bahasa Melayu pula bakal membawa impak yang besar, sama ada di China atau Malaysia.

Prof. Dr. Tan Xiao.

Menurut Prof. Dr. Tan Xiao lagi, pelajar bahasa Melayu antarabangsa di China mengalu-alukan kemasukan bahasa Melayu dalam CATTI ini. Kemasukan ini menyebabkan pelajar tersebut teruja dan meningkatkan motivasi pembelajaran. Ada pelajar yang teruja dengan pengantarabangsaan bahasa Melayu yang menyebabkan permintaan bahasa Melayu meningkat di seluruh dunia, seterunya membuka lebih banyak peluang untuk memilih pekerjaan dalam pasaran tenaga kerja semasa.

Pembentang terakhir, iaitu Haji Yatiman Yusof pula sangat gembira dan berbangga dengan penganjuran simposium ini kerana simposium ini menjadi titik permulaan bagi usaha bersama antara negara serantau untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Namun begitu, beliau mengingatkan khalayak bahawa momentum pengantarabangsaan bahasa Melayu ini masih tidak disokong oleh kegiatan yang padu dari negara serantau.

Haji Yatiman Yusof.

Beliau turut mengutarakan beberapa langkah untuk membantu mengantarabangsakan bahasa Melayu. Antara langkah yang paling penting termasuklah meminggirkan isu yang menimbulkan perdebatan, terutamanya antara negara serantau. Perdebatan ini tidak baik dalam usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu. Beliau juga menjadikan contoh negara Amerika Syarikat dan Kanada yang tidak bertelagah, sebaliknya sepakat untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa negara. Oleh sebab itu, pembentang ini menekankan kesatuan dalam mencari jalan keluar daripada segala perbezaan yang ada antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.