22 Mei 2022, 23:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha memartabatkan bahasa Melayu di Rantau ASEAN berbeza bagi setiap negara di ASEAN. Sehubungan dengan itu, perkara ini dibincangkan dalam Forum Dunia Melayu Dunia Islam yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN”, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Sekitar Forum Dunia Melayu Dunia Islam yang sedang berlangsung.

Di Malaysia, bagi memartabatkan bahasa Melayu, Akta Dewan bahasa dan Pustaka 1959 akan dipinda. Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, DBP diberi kuasa untuk menegur tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya teguran itu dilakukan. Tambah beliau lagi, perkara ini menimbulkan kekecewaan dan kemarahan masyarakat kerana DBP tidak mengambil tindakan terhadap kerancuan bahasa yang berlaku.

Sehubungan dengan itu, pindaan akta ini akan membolehkan DBP bertindak sebagai “Badan Berkuasa Bahasa” yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.

Dari kiri: Prof. Dr. Hussin Mutalib, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Prof. Tan Sri Dr. Abdul Latif Bakar

Di Indonesia, terdapat lebih 1000 suku (etnik) dan 700 bahasa ibu (bahasa etnik). Melalui Kongres Pemuda Kedua (28 Oktober 1928), Indonesia telah memutuskan bahasa persatuan itu bahasa Indonesia. Dari segi geopolitik, bahasa itu disebut sebagai bahasa Indonesia. Walau bagaimanapun, menurut Prof. Dato’ Perdana Hj. Abdul Malek, bahasa Indonesia itu berasal daripada bahasa Melayu-Riau. Tambah beliau, tidak ada penduduk Indonesia yang tidak tahu berbahasa Indonesia. Sebanyak 270 juta penduduk Indonesia yang boleh berbahasa Indonesia secara baik sesuai dengan konteksnya.

Situasi tersebut pula berbeza bagi bahasa Melayu yang penduduknya terdiri daripada minoritinya orang Melayu. Bahasa Melayu di Singapura masih bertahan walaupun dalam jumlah minoriti di Singapura. Prof. Dr. Hussin Mutalib menyatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar bagi kelas-kelas agama Islam secara umumnya.

Tambahnya lagi, sokongan daripada pemerintah dan aktifnya persatuan bahasa dan budaya Melayu membantu mempertahankan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, menurut beliau, cabaran terkini di Singapura telah memberikan kesan kepada bahasa Melayu. Kehidupan di Singapura yang bercorak kosmopolitan, terbuka dan sejagat mengakibatkan seluruh budaya dan kehidupan masyarakat lebih mengutamakan bahasa Inggeris termasuklah orang Melayu sendiri.

Keadaannya juga sama di Selatan Thailand. Dr. Kumajdi Yamirudeng dari Thailand menjelaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu di Thailand menghadapi banyak cabaran. Bahasa Melayu dialek Patani di Thailand hanya digunakan dalam pertuturan sahaja. Tulisan Jawi pula hanya digunakan di sekolah-sekolah pondok dalam Pendidikan Islam sahaja. Beliau menjelaskan, martabat bahasa Melayu hanya dalam pengajaran pendidikan Islam sahaja tetapi tidak meliputi bidang akademik.

Dari kiri: Dr. Ku Majdi Yamirudeng, Prof. Madya Dr. H. Abdul Malik dan Prof. Dr. Muslimin Machmud.

Mengulas lanjut tentang usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di rantau ASEAN, Prof. Dr. Muslimin Macmud pula menjelaskan bahawa idea pelaksanaan itu sangat tepat dan mempunyai asas yang kukuh. Menurut beliau, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Laos, Kemboja dan Vietnam mempunyai masyarakat yang bercakap dalam bahasa Melayu menerusi pelbagai dialek. Di Timor Laste juga mempunyai sejarah bahasa Melayu kerana pernah bergabung dengan Indonesia. Beliau menyebut, dalam melaksanakan seruan ini semua pihak tidak perlu bertelagah dalam soal nama atau intonasi (dialek) yang akan digunakan kelak. Bagi beliau, perkara tersebut terpulang kepada setiap kepala negara masing-masing yang menggunakan bahasa Melayu yang sesuai dengan dialek dan intonasi setiap negara.

Sementara itu, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar yang bertindak sebagai moderator menutup forum ini dengan menyimpulkan bahawa bahasa Melayu melalui dua sudut. Yang pertama, sebagai geobudaya, bahasa Melayu dilihat sebagai bahasa ilmu, bahasa yang mempunyai jati diri dan bahasa penyatuan. Perkara ini perlu diusahakan oleh golongan intelektual. Dari sudut geopolitik pula, semua pihak perlu menghormati fikrah dan pemikiran politik masing-masing tentang bahasa Melayu. Walaupun di Indonesia, bahasa ini disebut sebagai bahasa Indonesia tetapi akarnya tetap bahasa Melayu. Di Malaysia, keadaannya berbeza kerana bahasa kebangsaan itu bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.