22 Mei 2022, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, telah berlangsung pembentangan kertas kerja oleh empat orang sarjana dari dalam dan luar negara yang bertemakan “Bahasa Melayu dalam Pelbagai Bidang Pendidikan”. Pembentangan kertas kerja bagi sidang kedua yang dipengerusikan oleh Kol. (B) Prof. Madya Dr. Mohd Zaini Salleh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini menampilkan Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dari Malaysia, Dr. Kang Myoung Sook dari Korea Selatan dan Dr. Mohamad Zain Musa dari Kemboja sebagai pembentang.

Seiring dengan harapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk menyaksikan bahasa Melayu menjadi satu daripada bahasa dunia, iaitu bermula dengan mengangkatnya menjadi bahasa rasmi kedua ASEAN pada peringkat awal, Pejabat Perdana Menteri, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini menghimpunkan puluhan tokoh bahasa dan pembentang kertas kerja yang dapat merealisasikan harapan tersebut dalam simposium selama tiga hari ini.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, bahasa ialah alat utama bagi pejuang terdahulu untuk menyatukan anak bangsa tanpa mengira bahasa dan etnik. Kini penyelidik perlu terus mempergiat usaha untuk menyebarkan ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu tanpa mengehadkannya kepada bidang tertentu seperti budaya dan sebaliknya memfokuskan semua bidang yang ada di Malaysia.

Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.

Bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, beliau juga menyenaraikan cabaran yang perlu dihadapi bersama oleh semua pihak. Yang pertama, cabaran untuk menyatukan bahasa Melayu Nusantara yang sekian lama terpisah oleh sempadan yang dicipta oleh penjajah. Dalam hal ini, bangsa Melayu harus bersatu dalam memartabatkan bahasa Melayu demi menjadikannya bahasa antarabangsa. Kedua, cabaran untuk menggalakkan bangsa bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu. Cabaran ini dapat diatasi dengan cara memperkukuh ekonomi dan teknologi orang Melayu. Pengukuhan ekonomi dan teknologi ini sebenarnya telah terbukti meningkatkan permintaan terhadap sesuatu bahasa, seperti bahasa Cina. Cabaran ketiga pula ialah usaha untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu tanpa menghapuskan bahasa lain. Pemartabatan bahasa Melayu harus dilakukan secara terancang tanpa meminggirkan bahasa lain yang terdapat di Malaysia.

Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman pula menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah penanda bagi identiti, serta pemancar imej dan lambang kedaulatan negara. Tambahnya lagi, tamadun Melayu tercipta daripada bahasa Melayu oleh bangsa Melayu itu sendiri. Jika diimbas pada abad ke-17 dan abad ke-18, jika ada sesiapa yang tidak mengetahui bahasa Melayu, orang tersebut akan dianggap sebagai tidak berpendidikan dan buta huruf. Yang lebih uniknya, perkara ini masih berterusan pada peringkat antarabangsa.

Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman.

Menurut beliau, Hikayat Raja Pasai wujud lebih awal daripada karya agung Inggeris yang pertama. Begitu juga dengan Sulalat al-Salatin yang dikarang pada tahun 1612 menjadi bukti sejarah agung bahasa Melayu yang mendahului karya agung bangsa lain. Beliau juga menegaskan bahawa metafora bahasa Melayu mempunyai ciri implisit dan tersirat, sedangkan metafora bahasa Inggeris hanya mengandungi ciri ekspisit sebagai bukti pemikiran aras tinggi bagi bangsa Melayu. Oleh sebab itu, pengguna bahasa Melayu perlu meyakini keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Bagi Dr. Kang Myoung Sook pula, bahasa Melayu telah digunakan dalam sektor pendidikan di Korea Selatan sejak era 1960-an dengan dimulai oleh bahasa Indonesia. Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan besar yang boleh diperbaiki. Berdasarkan pengalamannya ketika datang ke Malaysia dengan berbekalkan pengetahuan dalam bahasa Indonesia, beliau yakin mampu berkomunikasi dengan masyarakat di Malaysia tanpa masalah. Namun begitu, rupa-rupanya bahasa Indonesia berbeza daripada bahasa Melayu dan menyebabkan beliau tidak berjaya menyampaikan mesej yang dihajati kerana difahami secara berbeza oleh orang yang mendengarnya.

Dr. Kang Myoung Sook.

Selain itu, beliau juga berharap agar lebih banyak kamus dan buku dapat diterbitkan untuk membantu warga Korea Selatan mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya bahasa bacaan dan rujukan, terutamanya kamus, yang dapat digunakan sebagai rujukan ketika mempelajari bahasa Melayu.

Sebagai pembentang terakhir, Dr. Mohamad Zain Musa yang menulis sehingga 100 artikel dalam saluran kebangsaan dan antarabangsa menyatakan bahawa bagi sektor pendidikan di Kemboja, ibu bapa cenderung untuk menghantar anak ke sekolah yang menyediakan subjek Bahasa Melayu, sama ada yang menggunakan tulisan Rumi atau Jawi. Hal ini dilakukan semata-mata untuk mengeratkan talian persaudaraan antara orang Melayu dengan orang Kemboja.

Dr. Mohamad Zain Musa.

Pada peringkat yang lebih tinggi, beliau turut mencadangkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu, tetapi istilah yang sedia ada perlu dimantapkan terlebih dahulu. Beliau juga berharap supaya simposium ini tidak berakhir begitu sahaja dan sebaliknya dapat menjurus kepada suatu usaha yang lebih giat oleh semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.