Oleh Aninah Janang
22 Mei 2022, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sudah tersurat dalam sejarah bahawa bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957. Penobatan itu tidak akan memberikan makna hakiki jika penghayatan dan pelaksanaannya tidak disertai oleh semua warganegara dalam semua sektor dan peringkat.

Dengan iltizam yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan yang diamanahkan untuk memugar bahasa di negara ini akan menggalas amanah ini bersama-sama dengan semua pihak lain bagi mengangkat bahasa negara kita ke mercu yang setinggi-tingginya di peringkat kebangsaan dan persada dunia.

Salah satu pernyataan penting YAB Perdana Menteri di Dewan Negara pada 23 Mac 2022 dan dalam ucapan lain ialah pentingnya Akta DBP 1959 dipinda untuk memungkinkan DBP bergerak dengan lebih berwibawa. Akta DBP 1959 lebih menjurus kepada penetapan prasarana dalam konteks peningkatan tarafnya daripada jabatan kerajaan menjadi badan berkanun.

Wibawa penguatkuasaan, penarafan, pengiktirafan dan pelesenan tidak terangkum dalam akta versi 1959 itu sehingga secara ringkas dapat dikatakan bahawa DBP bergerak sebagai badan dakwah bahasa yang sekadar dibolehkan “memberikan nasihat, teguran dan bimbingan dalam bentuk kursus”.

Pindaan Akta DBP yang selaras dengan keperluan zaman melibatkan peningkatan wibawa DBP sebagai “pihak berkuasa bahasa” di negara ini yang dapat menjadi pengisi dan penggerak peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan negara ini.

“Kami amat berharap bahawa pernyataan YAB Perdana Menteri tentang pentingya Akta DBP dipinda diberi perhatian dan sokongan oleh semua pihak berkuasa agar cadangan pindaan yang dikemukakan oleh DBP dapat diabsahkan di Parlimen bagi melaksanakan amanat YAB Perdana Menteri.”

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu menjadi himpunan terbesar tokoh bahasa dari serata dunia.

“Maka itu, DBP memberikan komitmen yang tinggi dengan menjadi penganjur bersama simposium ini sebagai sokongan padu kepada gagasan dan hasrat YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh dan berkesan sebagai wasilah tamadun negara dan pada masa yang sama melonjakkannya sebagai bahasa serantau dan antarabangsa, taraf yang sebenarnya telah dicapai oleh bahasa Melayu lebih dua alaf lalu, tetapi kini perlu digemilangkan semula.”

Saya memetik kata kunci YAB Perdana Menteri dalam pertemuan dengan wakil-wakil pejuang bahasa pada 10 Mac 2022, iaitu “kesinambungan kegemilangan bahasa Melayu perlu diwujudkan terus-menerus” dan oleh itu beliau menegaskan pentingnya bahasa Melayu diperkukuh di dalam negara dan dijadikan bahasa rasmi kerajaan dalam urusan di pentas dunia.

Maka itu simposium ini bukan sahaja menjadi wadah bicara ilmiah yang rutin, bahkan bermaksud untuk mengangkat satu agenda besar berkaitan dengan martabat bahasa Melayu, baik di peringkat negara mahupun di persada dunia,” tegas YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dalam ucapan alu-aluannya bersempena dengan Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung pada pagi ini, di Wisma DBP.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Awang Sariyan semasa ucapan aluan-aluan bersempena dengan Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Beliau turut merujuk ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia, dalam sidang Dewan Negara pada 23 Mac 2022  yang mendapat perhatian umum, iaitu perihal bahasa Melayu mempunyai keunggulan dan kelebihan yang tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

Keyakinan beliau bahawa suatu hari nanti bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa rasmi ASEAN, bermula sebagai bahasa rasmi kedua, bukan tidak berasas. Sejak tahun 1980-an telah disuarakan cadangan itu dengan asas yang sama dengan yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu penyebaran bahasa Melayu yang meluas di rantau Asia Tenggara, meliputi negara berbahasa Melayu, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam serta negara lain yang turut mempunyai penutur bahasa Melayu, iaitu Singapura, Thailand, Filipina, Kampuchea, Vietneam, Laos dan Myanmar.

Dalam kalangan negara ASEAN, empat buah negara mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura, meskipun Indonesia menggunakan istilah “bahasa Indonesia” yang berkaitan rapat dengan perancangan pembinaan jati diri warganegaranya.

Asas pengembangan bahasa Melayu serantau telah diletakkan kira-kira 50 tahun lalu melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972 dan kemudian pada tahun 1985 menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Singapura dan Thailand menjadi anggota pemerhati MABBIM.

“Selanjutnya, gagasan YAB Perdana Menteri untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa selaras dengan satu daripada bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri pada 7 Disember 2021, iaitu program Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi unsur pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Fakta itu seiring pula dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1, Tahun 2020, iaitu “Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangaan dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, yang antara lain menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat kepada pihak di luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. Malah cadangan itu telah mula dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia pada tahun 2011 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9.”

Jelas Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi, pada tahun 2011, fungsi DBP dalam program pengantarabangsaan merupakan satu daripada unsur dalam pindaan Akta DBP kerana fungsi itu tidak terdapat dalam akta versi 1959 walaupun sejak tahun 1980-an DBP telah menggerakkan program pengantarabangsaan bahasa dan sastera Melayu.

Pada tahun 1997 pula, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarbangsa Bahasa Melayu (MABM) yang urus setianya DBP dan badan itu telah menyemarakkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu. Sebahagian besar pemakalah dari luar Malaysia yang menyumbangkan buah fikiran dalam simposium ini merupakan penggerak MABM.

DBP amat berharap agar diberi peruntukan kewangan yang cukup untuk memungkinkan MABM bergerak dengan lebih berkesan melalui prasarana dan pelan tindakan yang telah disusun dan dipiagamkan dalam sidang pertamanya pada tahun 2000 serta telah berjaya dilaksanakan sebahagiannya.

“Terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Ismail bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, yang bukan sahaja merestui rancangan awal simposium bahkan mencadangkan supaya diundang tokoh-tokoh dari negara-negara ASEAN dan dari seluruh dunia sehingga simposium yang asalnya berskala sederhana untuk menghimpunkan tokoh-tokoh dalam negara bertukar tarafnya menjadi simposium yang bersifat antarabangsa dengan penyertaan tokoh-tokoh dari 17 buah negara sedunia, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, Republik Rakyat China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Kampuchea dan Filipina, selain tokoh-tokoh di Malaysia.

Kejayaan menganjurkan wacana antarabangsa yang biasanya mengambil waktu satu tahun persiapannya, Alhamdulillah dapat digerakkan dalam tempoh sebulan lebih sahaj untuk simposium ini, berkat dorongan semangat daripada YAB Perdana Menteri sendiri dan juga berkat jaringan kerjasama negara ini, khasnya melalui DBP dengan tokoh-tokoh sedunia sejak puluhan tahun lalu.”

Maka itu, atas cadangan YAB Perdana Menteri jua, simposium ini dimeriahkan dengan tiga program iringan yang cukup bermakna, iaitu Sayembera Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa, Pameran Kemajuan Bahasa Melayu di Malaysia dan di Peringkat Antarabangsa, dan Debat Terbuka Keluarga Malaysia.

DBP berharap agar kerajaan dapat menjadikan wacana antarabangsa seperti simposium ini sebagai agenda tahunan yang diselaraskan dengan program Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Demikian juga, Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa wajar dijadikan kembar bagi Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang dimulakan pada tahun 2007.

PABM mewakili wacana ilmu bagi bahasa Melayu, sementara Sayembara Deklamasi Puisi mewakili sisi estetik bahasa Melayu yang sama pentingnya untuk mencapai keseimbangan peranan bahasa dalam pengembangan tamadun. Insya-Allah DBP dan Gabungan Penulis Malaysia (GAPENA) bersedia menjadi penganjurnya bersama-sama dengan Pejabat Perdana Menteri.

“DBP merakamkan penghargaan yang tinggi dan ucapan terima terima kasih kepada penganjur bersama simposium ini, iaitu Pejabat Perdana Menteri (khususnya YBhg Dato’ Nor Nazimah binti Hashim Ketua Setiausaha Sulit YAB Perdana Menteri dan Dr. Kamarul Zaman bin Hj. Yusoff Pegawai Khas YAB Perdana Menteri), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Peradaban Melayu (IPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan seterusnya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di samping pihak-pihak lain yang membantu menjayakan simposium ini.

Ucapan penghargaan juga kepada semua anggota jawatankuasa penggerak simposium ini, pemakalah, anggota panel forum, pengerusi sesi, media dan pelbagai pihak lain yang memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam penganjuran program yang bersejarah ini,” ucap Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, kerana mencatat lembaran sejarah dengan  perancangan dan pelaksanaan mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat negara dan di persada dunia. 

                  

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.